- Iklan -
Kolum

Monsoon di luar kerangka queer

Henry Golding, pelakon kelahiran Malaysia yang kini sudah menempa nama di Hollywood membawa satu kelainan. Bukan kerana kali ini dia memilih untuk melakonkan watak seorang gay, tetapi kerana dia berhasil membawa watak berat yang ditanggungnya. Golding membintangi Monsoon arahan Hong Khaou (pengarah British kelahiran Kemboja) dan pasti akan lebih diperhatikan di Hollywood selepas ini. Untuk […]

Faisal Tehrani
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Henry Golding, pelakon kelahiran Malaysia yang kini sudah menempa nama di Hollywood membawa satu kelainan.

Bukan kerana kali ini dia memilih untuk melakonkan watak seorang gay, tetapi kerana dia berhasil membawa watak berat yang ditanggungnya.

Golding membintangi Monsoon arahan Hong Khaou (pengarah British kelahiran Kemboja) dan pasti akan lebih diperhatikan di Hollywood selepas ini.

Untuk membawa watak berat ini, dia perlu memainkan watak sepenuh perasaan sebagai seorang kelahiran Vietnam yang meninggalkan negeri itu di usia 6 tahun, dan perlu kembali untuk menabur abu mendiang ibunya.

Tema pulang mencari identiti biasanya mudah, dan jika tidak ditangani dengan kemas akan meninggalkan kesan simplistik.

Henry Golding dalam filem Monsoon.

Khusus jika identiti yang dicari dan ingin digali itu bertentangan dengan dunia aktor yang bakal membawa watak tersebut.

Akan tetapi tema ini juga menjanjikan khusus untuk mereka yang ingin menggarapnya secara artistik.

Makanya memilih Golding mungkin menjadi malapetaka, tetapi saat saya menonton Monsoon, tanggapan awal terhadapnya itu ternyata meleset.

Monsoon menjadi sebuah filem yang mendalam dan berbekas, meskipun hanya sekitar 85 minit oleh kebolehan Golding menukar dirinya menjadi Kit.

Bermula dengan syot jauh dari atas yang menunjukkan kesibukan jalan raya di Saigon, dan kamera langsung memperlihatkan wajah Kit yang tercangak canggung setelah tidak pernah pulang selama 30 tahun, filem ini bergerak lambat dan mendekati mikro realisme.

Lihat sahaja tumpuan Kit yang terganggu di awal filem dengan abu ibunya, lantas mengalihkan letak duduk kotak kayu itu dua kali, bermenung, melenguh dan terbenam dalam memori.

Syot-syot jauh begitu menguasai filem ini demi memaparkan kecamuk rasa Kit. Ia menjelaskan kepada audien, watak utama sedang mencari dan nanar.

Golding dengan bersungguh menjauhkan dirinya dari watak anak Cina kaya manja di dalam Crazy Rich Asian untuk menjelma dalam diri seorang anak muda Vietnam yang sedang hilang di tanah asal.

Untuk mencari hayat lalu, Kit perlu menjadi semacam pelancong di tanah air, mengalir ke pelbagai tempat dan ceruk kota.

Dia cuba mencantum setiap episod masa lampau yang dijahit menerusi watak teman sepermainannya, Lee lakonan David Tran.

Dan melalui pelajaran budaya dan sejarah oleh pemandu pelancong lakonan Molly Harris sebagai Linh.

20 minit pertama Monsoon benar-benar memaparkan kebingungan Kit, kesendirian dalam keriuhan; dan kesepian dalam dunia yang menjadi asalnya.

Bukan sahaja Kit perlu hadir sebagai seorang asing yang kembali ke dunia kelahirannya, tetapi juga ia perlu mencermati diri oleh nestapa yang dipilih ibu-bapanya.

Golding berjaya menggunakan sepenuh rasa dalam, terbit pada riak dan mimik mukanya.

Lakonan itu tidak akan berhasil jika garapan kamera cuai atau gagal.

Wajah mendung Golding sebaga Kit ternyata berguna dalam filem ini.

Benjamin Kracun sebagai sinematografer, begitu pintar memainkan syot dekat dan sisi wajah Kit lakonan Golding untuk meraih rasa dalam itu.

Kit hadir sebagai satu simbol diaspora Vietnam yang dicekam perang bertembung dengan orang asal yang sudah melupakan malapetaka lalu dan ingin terus mengharap, khusus membuka diri mereka kepada kapitalisme.

Seperti kata Kit kepada Lewis, anak seorang tentera marin Amerika yang membuka perusahaan baju t-shirt: “To exploit cheap labour”.

Selain syot yang begitu mempesonakan mendukung lakonan Golding, filem ini berusaha mengupas rasa terperangkap seorang penghijrah yang mengharap dunia sepeninggalannya kekal sama.

Namun demikian itu sukar terjadi, Kit malah terpaksa melawan persoalan-persoalan yang muncul akibat telingkah politik masa lalu.

Seperti kata Kit kepada Lewis, anak seorang tentera marin Amerika yang membuka perusahaan baju t-shirt: “To exploit cheap labour”.

Kepada abangnya dalam panggilan dalam talian, dia memberitahu mengenai Lewis (kekasihnya) adalah seorang warga Amerika.

Untuk Lewis, buat seketika keupayaan menerkam Kit menimbulkan rasa menang.

Akan tetapi kita dapat melihat dia yang paling terpukul oleh cinta kepada Kit, yang mana Kit tidak sampai begitu terpengaruh olehnya.

Di Hanoi, Kit malah mencari pekerja seks untuk memenuhi rasa sengsaranya.

Terdapat sebab ketara mengapa watak Kit ditampilkan sebagai seorang gay, padahal ia boleh diketengahkan sebagai lelaki heteroseksual.

Hong Khaou ingin meletakkan Kit dalam keliru oleh jatidiri bangsa dan nusa, bukan pada orientasi seksualnya.

Malah sepanjang filem, Kit tidak berasa terasing dengan gender atau keinginan seksnya.

Akan tetapi yang meletakkan dia dalam meraba-raba ialah keperluan untuk mendakap dirinya semula sebagai seorang lelaki Asia yang tumbuh di tanah Inggeris.

Untuk itu Monsoon menjadi sebuah filem dari genre queer yang sama sekali lain.

Dialog Monsoon ternyata memikat dan berupaya menagih kita untuk terus menonton.

Pilihan muzik latar karya John Cummings khusus di hujung Monsoon memberi kesan yang pedih perit.

Sebagai filem dengan kos 800 ribu paun, hasil kerja Monsoon serasa bergaya dan bercitarasa seni.

Filem ini tidak perlu pun berleter mengenai sejarah atau derita Vietnam di waktu perang.

Ia malah menunjukkan semua derita dan keterasingan itu menerusi lip-lap lampu (kadang-kala tari di disko) atau pameran seni, dan curahan hujan yang begitu mencekam.

Golding tentu sahaja berjudi untuk melakonkan watak sebagai Kit ini.

Dia malah mungkin dijauhi peminat tempatan kerana keberanian dan kenekadan memikul kerja protagonis dalam Monsoon.

Akan tetapi, sebagai pelakon; kariernya pasti berkembang oleh Monsoon di dalam senarai filemografi.

Tidak mustahil Golding akan meraih lebih banyak watak-watak penting, dan kian menyinar di Barat.