- Iklan -
Kolum

Mengharapkan kenikmatan ‘tortilla’

Dari Pakistan terbang jauh ke Belgium.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Bila aku menjejakkan kaki ke Belgium pada musim sejuk tahun 1982, aku tak tahu langsung tentang negara yang membebaskan aku dari penjara Bombay di India.

Tiga bulan aku ditahan atas tuduhan masuk ke India dengan menggunakan pasport palsu.

Sebenarnya aku lari dari kapal terbang “Aeroflot” milik Rusia yang nak menghantar aku pulang ke Siam.

Untuk memudahkan pendakwaan di mahkamah, polis India menuduh aku masuk ke negara itu menggunakan pasport Siam palsu.

Kerajaan Belgium menerima aku sebagai suaka politik. Aku diberi pilihan untuk menetap di wilayah Walloon atau di wilayah Flemish.

Walloon menggunakan bahasa dan budaya Perancis. Flemish menggunakan bahasa Belanda.

Tanpa berfikir panjang aku memilih bahasa dan budaya Perancis. Air anggur, gadis cun dan filem Perancis menjadi asas pilihan aku.

Aku ditempatkan di Rumah Orang Pelarian di Braine-le-Comte. Braine-le-Comte wilayah warga kelas menengah Walloon, 18 batu dari Brussels, ibu kota Belgium.

Dalam pekan kecil ini aku sesat kerana sepatah habuk pun aku tak tahu bahasa Perancis.

Madame Olga dan Madame Anne menjaga kami di banglo tiga tingkat milik Gereja.

Ramai orang pelarian bersama aku. Tapi bukan ini cerita yang hendak aku surahkan.

Olga mengajar kami asas bahasa Perancis. Dia bukan cikgu bahasa yang terlatih.

Maka Madame Anne mencadangkan aku masuk ke sekolah di Wavre di mana ada pembelajaran bahasa Perancis khusus untuk menyediakan pelajar luar masuk ke universiti di Belgium.

Minggu ketiga di Belgium, aku dimasukkan ke sekolah L’Athénée Royal Maurice Carême di Wavre, 32 batu dari Brussels.

Maknanya setiap hari aku wajib naik kereta api selama sejam untuk ke sekolah.

Aku masih ingat lagi di sekolah ini ada seorang pelajar dari Amerika Syarikat, dua dari Hong Kong, seorang dari Sri Lanka, seorang dari Syria, seorang dari Palestin dan lima dari Amerika Latin.

Semuanya anak gadis kecuali dari Sri Lanka, pelajar Arab dan aku.

Semua sedang melamar untuk masuk ke universiti di Belgium. Wavre terletak lima batu dari Universiti Katholik Leuven le Neuve.

Wavre boleh dianggap kota universiti. Justeru itu, sekolah bahasa diwujudkan oleh Majlis Bandaran Wavre.

Aku belajar percuma kerana status aku sama saperti warga Belgium. Setiap hari aku berulang alik 52 batu dari Braine -le- Comte ke Wavre. Setiap hari aku melintasi Brussels.

Elien pelajar dari Hong Kong menunjukkan simpati kerana aku tinggal amat jauh.

Dia mencadangkan agar aku mencari bilik di Wavre. Elien membantu aku. Akhirnya kami bertemu bilik loteng atas kedai pertanian.

Lalu aku berpindah ke Wavre. Kami ada dua guru, Madame Michoux dan Andre Imberechts.

Aku menjadi murid Andre. Awalnya aku tidak tahu siapa sebenarnya Andre.

Beberapa bulan kemudian aku mula mengetahui Andre ini adalah seorang penyair Francopone yang popular di Belgium. Andre menggunakan nama pena William Cliff.

Dia menghasilkan tujuh buku puisi yang diterbitkan oleh Gallimard, penerbit tersohor di Paris.

Kami yang tidak ramai dalam satu kelas amat senang menjadi mesra. Awalnya kami menggunakan Bahasa Inggeris untuk bercakap.

Pelajar Latin menggunakan bahasa Sepanyol. Aku perhatikan pelajar Latin cepat menangkap apa yang diajar.

Ini kerana tata bahasa Sepanyol tak jauh bezanya dari bahasa Perancis – asasnya Latin.

Aku yang baru sampai dari negara Republik Islam Pakistan agak terbuka mata.

Pakaian pelajar Latin ini fesyen terkini, entah dari Paris, entah dari Madrid. Agak mengancam kejantanan aku – ketat dan sendat.

Aku merasakan rata-rata mereka ini datang dari kelas menengah. Belajar dengan perbelajaan sendiri di negara Eropah.

Aku cuba merapati Gloria, Innes, Lorena dari Colombia.

Aku ingin mencuba nasib untuk merasa nikmat sakeping “tortilla. Aku gagal. Bahasa menjadi halangan sebelum aku sempat melempar buah dadu mencuba nasib.

Aku perhatian ada sesuatu tentang Innes. Gadis cun ini aku rasa belum melintasi 25 tahun.

Pakaian bertukar saban hari, aku rasakan fesyen terkini dari Paris.

Macam baru keluar dari “cat-walk”. Kadang-kadang kelihatan bersendirian.

Sesekali aku ternampak dia berdiri bersendirian menghisap rokok. Innes agak berbeza dari Lorena dan Gloria yang aku rasa seperti baru selesai tingkatan enam.

Satu petang sebelum kelas bermula aku ternampak sebuah Mercedes putih berhenti di hadapan sekolah. Innes turun dari Mercedes ini.

Biasanya pelajar Latin ini datang dengan bas. Aku tak ambil pot. Mungkin hari ini Innes terlambat.

Sesekali aku ternampak dia berdiri bersendirian menghisap rokok. Innes agak berbeza dari Lorena dan Gloria yang aku rasa seperti baru selesai tingkatan enam.

Habis belajar petang biasanya aku dengan Andre akan masuk ke pekan Wavre mencari “café”.

Kami berlabun dalam bahasa Inggeris. Andre berkisah yang dia pernah mengembara hampir enam bulan merayau di Amerika Syarikat dan Amerika Latin.

“Machu Picchu… memberikan aku inspirasi untuk menghasilkan sebuah buku……”.

Tiba-tiba pada petang itu sebuah Mercedes putih melintas di hadapan café kami.

Aku ternampak Innes dalam kereta itu. Andre yang sedang menikmati sagelas Stella tidak mengambil perhatian langsung.

“Isham… kamu tak sampai lagi ke sana… ha ha.. Colombia.. gadisnya .. kokainnya …ha ha ha.. ..tapi awas kau akan terjumpa ‘black widow’ di sana,” Andre mengangkat tangan ingin memesan sagelas lagi Stella.

Semenjak dari petang itu aku selalu ternampak Innes datang dengan Mercedes putih.

Aku tidak ternampak rupa sosok si “Mamat” yang menghantar Innes. Aku sedar Belgium bukan Republik Islam Pakistan.

Takda siapa ambil pot untuk menjaga tepi kain orang. Apa yang jelas kepada aku ialah Innes sudah mendapat kekasih warga Belgium.

Aku gagal untuk menikmati sakeping tortilla. Hanya aku berharap cinta gadis Latin dengan jantan Belgium ini berkekalan. Amin.

Hari berjalan musim berubah. Hubungan sesama kami makin rapat. Di satu hujung minggu dipermulaan musim bunga Andre mengajak pelajar datang berkenduri di kampungnya, di daerah Gembloux.

Andre ingin berterima kasih kepada kami pelajar luar yang membolehkan dia menjadi guru setelah lama “chomage” atau menganggur.

Kami semua menapak ke kampong Andre yang terletak dalam ladang gandum. Innes datang lambat. Mercedes putih datang menghatar dan terus beredar.

Dua minggu kemudian Innes mengajak aku bertandang pergi ke Brussels.

“Une soire a Brussels… Isham… avec my boyfriend,”Innes menjemput untuk bercanda-canda di Brussels atas jemputan kekasihnya.

Innes bukan hanya mengajak aku malah menjemput semua termasuk Andre.

Malam Sabtu yang dijanjikan kami bertemu dalam sebuah restoran “chic” dalam kota Brussels. Lorena, Gloria dan Mopid dari Palestin datang. Andre warga Brussels mencadangkan restoran tempat berjumpa.

Dalam restoran ini untuk pertama kali kami berkenalan dengan pemilik Mercedes putih, Monsieur Victor kekasih Innes.

Malam itu Victor bersurah bagaimana dia ternampak Innes sedang “hitch hike” di tepi jalan berhampiran dengan Universitu Leuven a Neuve.

Dia menghantar Innes ke sekolah. Semenjak petang itu cinta mereka bercambah.

Aku rasa si Victor ini sudah melintasi 40-an atau mungkin lebih.

Pada hemat aku mustahil Victor ini bujang. Atau mungkin sudah berpisah kerana di Eropah cerai-berai ini satu pekara biasa.

Lepas makan malam kami berpindah ke sebuah kelab malam.

Victor dan Innes hilang entah kemana. Aku masih lagi cuba menjual buah dadu untuk mendapatkan sakeping tortilla.

Andre tersenyum memerhatikan anak anak murid sedang berlatih menggunakan bahawa Perancis.

Malam itu aku cukup seronok. Kenapa tidak? Semua bil dibayar oleh Victor.

Aku rasa si Victor ini mahu menyatakan pada Innes cintanya cukup kuat sehinggakan kawan-kawan Innes pun dia belanja.

Belgium negara Katolik. Bulan April ada cuti dua minggu yang bersangkutan dengan Nabi Isa.

Aku naik kapal menyeberang Selat Inggeris ke Dover dan terus ke London. Aku melupakan bahasa Perancis dan tortilla.

Di London aku memasang lukah cuba nasib untuk menangkap “fish and chips”. Belum pun sempat mengangkat lukah cuti habis.

Petang Isnin apabila kelas bermula aku tak nampak Innes.

Mungkin masih bersantai ke Paris atau di Amsterdam. Tidak pula aku tanya tentang Innes dari Gloria atau Lorena.

Petang Rabu berikutnya aku nampak Mercedes putih terpacak di tepi sekolah.

Gloria berbisik mengatakan Victor datang mencari Innes. Aku melambai tangan pada Victor yang menuju bilik guru.

Aku tak tahu apa yang berlaku. Aku terus masuk ke bilik darjah. Andre memulakan kelas agak lewat.

Habis kelas Andre dan aku terus ke café tempat biasa kami minum. Aku tak sabar nak tahu apa yang sudah berlaku.

“Ha ha… jantan Belgium sudah kena sengat black widow… baru dia sedar. Victor ada anak bini… ha ha ha… I’m sure his wife is happy now,” kata Andre sambil ketawa.

Aku mengasak Andre untuk bersurah penuh. Barulah aku tahu apa yang terjadi.

Mengikut Victor, Innes mendapat telegram. Ibu Innes di Bogota jatuh sakit. Innes wajib pulang serta merta.

Victor membelikan tiket pulang dan memberi duit. Innes merancang tidak akan lama di Bogota kerana universiti akan dibuka untuk menerima pelajar baru.

“Victor menelefon berkali-kali. Tapi bukan Innes yang menjawab… bukan nombor telefon Innes… Victor hantar telegram… telegram dipulangkan kembali… alamat tak betul. Banyak duit Victor diambil oleh Innes,” Andre bersurah sambil memegang gelas Stella.

“Isham… ramai jantan Belgium tak tahu gadis Latin… gadis dari Amerika latin… mereka licik dan berpengalaman… mereka datang ke Eropah bukan saja-saja… mereka ada rancangan… Isham kau pergi Amsterdam.. lihat dalam gelas itu… majoriti dari mana?.. Kau tak perlu pergi jauh…pergi ke Gare Midi di Brussels..pasti kau jumpa seratus Innes”.

Aku terperanjat mendengar surah Andre. Aku faham makna “black widow” bukan hanya labah-labah. Lalu aku membuat keputusan untuk tidak lagi mengidamkan tortilla. Amin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.