- Iklan -
Rencana

Kisah tiga Tuhan dalam diri manusia

Tuhan hadir kepada setiap hambanya dengan cara yang berbeza

Afiq Mohd Noor
5 minit bacaan
Kongsi
Tuhan akan selalu hadir dalam kehidupan setiap manusia.
Tuhan akan selalu hadir dalam kehidupan setiap manusia.

Pagi itu saya tiba di Yogyakarta, Indonesia lebih kurang pukul 1, setelah menempuh 8 jam perjalanan dari Stesen Keretapi Gambir di Jakarta.

Memandangkan saya cuma sehari di sini untuk memenuhi janji dengan teman dari Malaysia yang ingin berkunjung ke Pesantren Waria Al Fatah, saya berencana untuk berehat sahaja di Masjid Gedhe Kauman dan setelah solat subuh berangkat untuk bertemu dengan teman tersebut.

Saya berjalan keluar dari stesen keretapi untuk mencari lesehan (gerai makanan) kerana perut sudah mula berkeroncong.

Tidak terlalu jauh dari stesen, saya berjalan sehingga akhirnya tiba di Jalan Pasar Kembang atau lebih sering dipanggil Sarkem oleh penduduk tempatan.

Sarkem tidak jauh berbeza dari Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur.

Setelah duduk dan memesan makanan, saya disapa oleh seorang perempuan bergaun kuning cair, “Halo mas, gimana kabarnya?” Dia memperkenalkan diri sebagai Astri, 21 tahun berasal dari Boyolali, Jawa Tengah.

Baru beberapa bulan di Yogyakarta kerana menurutnya sulit mendapatkan pekerjaan di tempat asalnya.

Tak lama setelah berbasa-basi, Astri langsung ke ‘tajuk utama’ menawarkan saya ke kostnya (bilik sewa) yang hanya kurang 50 meter dari tempat kami bertemu.

Saya senyum dan bertanya, “Piro (berapa)?”. “500,000…” balas Astri singkat. “Mahal, saya pernah ke Jagir Wonokromo, di situ baru 150,000” kata saya tersenyum. “Iya udah 150,000 aja mas….” Kata Astri tersenyum kelat.

Saya mempelawa Astri duduk dan memesan makanan, selanjutnya menyatakan hasrat untuk hanya berbual dengan Astri.

Beliau terkejut tidak percaya, “…tapi aku masih dibayar kan mas?” tanya Astri Melongo.

Setelah berjanji untuk membayarnya walaupun hanya berbual, beliau membuka tas tangan yang dibawa dan mengeluarkan rokoknya.

Saya terlihat sebuah buku kecil berwarna keemasan di dalam tas tangan Astri. Saya bertanya untuk meminta kepastian adakah benar seperti telahan saya bahawa buku tersebut adalah ‘Majmu’, iaitu himpunan surah dan doa-doa amalan yang biasa dibaca di Nusantara.

Beliau mengiyakan pertanyaan saya. Kata Astri beliau tidak pernah lepas daripada membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat sebelum keluar mencari pelanggan di sekitar Sarkem.

Beliau juga tidak pernah meninggalkan solat fardhu, puasa Ramadan dan bersedekah semampunya setiap Jumaat.

Hairan, saya bertanya kenapa pekerja seks seperti beliau masih taat melakukan ibadah walaupun sering dicemuh oleh masyarakat?

“Aku memang kotor mas, tapi setiap aku punya masalah aku berdoa kepada Tuhan pasti dibantu, ternyata Tuhan baik… masih sayang orang bandel (nakal) kayak (seperti) aku…”

Astri punya cita-cita besar untuk menghantar ibunya ke Mekah dengan wang hasil pekerjaannya.

Setelah berbual lebih kurang 2 jam, saya menghulurkan 150,000 yang telah dijanjikan kepada Astri.

Sebelum berpisah saya bertanya, tidakkah beliau rasa berdosa dan salah menggunakan wang hasil kerja seks untuk menghantar ibunya ke Mekah?

“Pejabat yang naik haji pakai duit korupsi halal ngak?”, kata Astri tersenyum meninggalkan saya sendirian di meja.

“Aku memang kotor mas, tapi setiap aku punya masalah aku berdoa kepada Tuhan pasti dibantu, ternyata Tuhan baik… masih sayang orang bandel (nakal) kayak (seperti) aku…”

Zul si pemandu e-hailing

Setelah mengucapkan selamat tinggal, saya turun dari ruang parkir yang terletak di tingkat 3 sebuah universiti swasta di Shah Alam.

Jam sudah menunjukkan hampir 12 malam. Sementara menanti lif tiba saya memesan perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke Kajang.

Tidak lama setelah turun, pemandu yang akan menghantar saya pulang ke rumah pun tiba.

Seperti biasa, saya berbual untuk menghilangkan kebosanan sewaktu menyusuri Lebuhraya Persekutuan yang agak lengang malam itu.

Daripada pertanyaan standard – ‘Dah berapa lama abang bawa?’ sehinggalah pertanyaan yang lebih peribadi kami bualkan.

Tiba-tiba Zul, pemandu e-hailing yang membawa saya pulang ke Kajang bertanya, “Kalau abang nak tanya sikit boleh?”.

Saya mempersilakan beliau bertanya. “Abang rasa, soalan ni macam soalan bodoh sikit, tapi sebab adik belajar agama jadi abang nak tau… nanti hari kiamat binatang akan masuk syurga dan neraka macam kita juga ke?” soal Zul sambil matanya memerhatikan saya dari cermin pandang belakang Proton Exora hitam miliknya.

Saya tersenyum sambil mengingat-ingat apa yang pernah saya baca daripada pendapat para ulama untuk menjawab soalan Zul.

Setelah memberikan jawapan, saya bertanya kepada beliau apakah yang menyebabkan beliau bertanya soalan tersebut.

“Abang sebenarnya ada jaga anjing liar, kebetulan dia selalu datang main dekat kawasan rumah. Abang bagi makan hari-hari. Lama-lama anjing tu jadi jinak. Kalau abang balik kerja dia dah tunggu depan rumah.

Abang joging pagi-pagi dia ikut. Lama-lama kita pun tak sampai hati, jadi sayang… abang bela je lah.

Tiap-tiap malam abang bawa dia jalan. Ya lah kalau bawa waktu siang orang mengata, tahulah kawasan Melayu…abang curious nak tahu la binatang macam anjing ni nanti masuk syurga tak?

Sebab kita tahu lah anjing ni binatang haram tapi dia pun makhluk tuhan juga kan…orang kata nanti kita akan jumpa orang yang kita sayang dalam syurga, kalau abang sayang anjing ni macam mana?..” jawab Zul.

Sejujurnya, saya hilang kata-kata, tidak tahu bagaimana untuk merespon.

Dari kecil, saya sering membaca tentang istimewanya kambing yang menggantikan Ismail daripada disembelih ayahnya Nabi Ibrahim, unta betina yang keluar dari celahan batu di zaman Nabi Shaleh, ikan paus yang menelan Nabi Yunus dan anjing yang bersama-sama tujuh orang pemuda seperti yang diceritakan al-Quran dalam Surah Al Kahfi, tapi jarang sekali saya mengambil pelajaran daripadanya.

Mungkin saya merasakan sebagai manusia saya lebih superior dan istimewa berbanding anjing dan kucing sehingga saya tidak rasakan isu anjing dan kucing sebagai perbincangan teras dalam bertuhan dan beragama.

Kereta yang dipandu Zul berhenti di hadapan rumah saya. Sebelum turun saya menyampaikan penghargaan dan rasa terima kasih saya kepada beliau untuk pelajaran malam ini. Saya berdoa mudah-mudahan tuhan mempertemukan beliau dengan anjing kesayangannya di syurga nanti.

Insan bernama Neelofa

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya”.

Begitulah kapsyen yang di ungah dari laman Instagram milik selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor pada 15 Oktober 2020 yang memetik terjemahan Surah Yunus ayat 26.

Hari ini Neelofa mengambil keputusan besar dan berani dalam hidupnya untuk berniqab.

Sudah pasti ramai yang memuji dan tidak kurang juga yang sinis dengan langkah berani Neelofa.

Saya pasti, beliau punya alasan tersendiri berbasis moral mahupun teologi yang mendasari keputusan tersebut.

Tidak sedikit selebriti yang mengambil keputusan untuk berhijab atau berniqab berhadapan dengan risiko kehilangan sebahagian dari sumber pendapatan sama ada melalui pengiklanan, penajaan oleh syarikat dan brand antarabangsa serta airtime di televisyen.

Keputusan yang berisiko ini pasti dibuat kerana percaya bahawa ia sebahagian daripada amal soleh dan pengorbanan dalam mendekatkan diri dengan tuhan.

Pengertian Tuhan

Dalam fiqh, para ulama berbeza pendapat tentang berniqab. Wajibkah atau sunnah. Terlepas daripada perbahasan teknikal tentang niqab, manusia beragama dan bertuhan dengan cara yang berbeza.

Ketenangan spiritual adalah sesuatu yang peribadi dan tidak boleh dipaksakan.

Jika berniqab membuatkan Neelofa selesa dan merasakan ia adalah sarana untuk mendekatkan diri dengan tuhannya, siapakah kita untuk masuk campur dengan urusan antara dia dengan kekasihnya?

Tuhan hadir kepada setiap hambanya dengan cara yang berbeza.

Tuhan yang hadir dalam kehidupan Astri, seorang pekerja seks di Jalan Malioboro Yogyakarta pasti tidak sama dengan tuhan yang hadir dalam kehidupan Neelofa, seorang selebriti di Malaysia atau Zul seorang pemandu e-hailing.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman- ‘Ana ‘inda zhanni ‘abidi bi’ (Aku adalah atas sangkaan hambaku kepada ku).

Hadis ini memberikan kebebasan pada setiap hamba untuk mentafsirkan tuhan sesuai dengan apa yang difahaminya.

Tidak pernah ada kesalahan dalam mentafsirkan tuhan kerana tuhan berbeza dengan makhluk dan tidak dapat dijangkau oleh nalar fikiran manusia.

Apa yang dibayangkan sebagai tuhan oleh manusia pada hakikatnya hanyalah sebatas sangkaan dan andaian yang boleh jadi betul dan boleh jadi salah.

Sebagai sebuah sangkaan sangat mungkin seseorang memahami tuhan secara berbeza dengan seorang yang lain walaupun nama dan sebutannya sama.

Tidak ada satu formula atau rumus tunggal yang mendefinisikan tuhan atau lebih tepatnya kebertuhanan.

Tuhan akan selalu hadir dalam kehidupan setiap manusia. Tuhan hadir kepada pemimpin negara, ulama, guru dan buruh kasar.

Dia juga hadir dalam kehidupan pekerja seks, pencuri dan perompak. Berbeza tapi ada.

Wahai tuhan, saksikanlah hambamu telah menyampaikan.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.