- Iklan -
Rencana

Tanah Melayu setaraf empayar British

Persoalan mengenai Tanah Melayu dijajah secara total oleh British boleh disangkal dengan mudah.

Asyraf Hakimi
4 minit bacaan
Kongsi
Sejarah negara yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia. Gambar: Facebook
Sejarah negara yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia. Gambar: Facebook

Kebelakangan ini makin banyak persoalan mengenai peranan negeri-negeri di Malaysia yang sering dilontarkan oleh orang ramai, khususnya berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah dan juga perihal Bangsa Johor.

Meskipun perkara berkaitan Sabah dan Sarawak adalah sesuatu topik yang berbeza – kedua-dua negeri itu menjadi sebahagian dari Malaysia bermula 16 September 1963 – Apa yang bakal dibicara ini lebih kepada Semenanjung secara khususnya.

Umumnya, rakyat Malaysia menganggap Semenanjung Malaysia, Malaya ataupun Tanah Melayu, pernah dijajah secara total oleh pihak British sehingga 31 Ogos 1957. Namun jika kita meneliti fakta-fakta dan rekod sejarah yang ada, naratif sebegini dengan mudahnya boleh disangkal.

Di perkarangan Istana Buckingham sendiri terdapat beberapa tiang yang mencatatkan negara yang pernah mereka jajah, ataupun di bawah naungan/pengaruh/perlindungan empayar British ketika itu, termasuk Tanah Melayu.

Namun jika kita teliti balik sejarah, Kesultanan Melayu itu sendiri tidak pernah hilang kuasa, malah kedaulatan dan kelangsungan di sembilan buah negeri di Semenanjung telah berjaya dipertahankan oleh Sultan-Sultan kita.

Berlainan dengan negara bekas jajahan British yang lain seperti India, di mana warisan empayar Mughal bersama dengan maharajanya dimusnahkan begitu sahaja.

Sesetengah pihak akan mengatakan bahawa kejatuhan Kota Melaka itu sendiri merupakan titik pertama penjajahan kuasa Barat ke atas Tanah Melayu.

Ini adalah sebuah pandangan yang terlalu simplistik. Walaupun benar Kota Melaka itu sendiri telah berjaya ditakluk oleh Portugis, namun Kesultanan Melaka, yang mewarisi kedaulatan Kerajaan Srivijaya terdahulu, tidak jatuh dan ditundukkan – malah mekar berkembang lagi di negeri-negeri lain bermula dengan Kesultanan Johor dan Perak.

Kita juga perlu lihat dari segi geografi wilayah pengaruh Melaka itu sendiri.

Kejatuhan Kota Melaka bukan bermakna kejatuhan Kesultanan dan wilayah pengaruhnya yang luas – dari Pattani, Thailand sehingga ke Jambi, Indonesia.

Berlainan dengan negara bekas jajahan British yang lain seperti India, di mana warisan empayar Mughal bersama dengan maharajanya dimusnahkan begitu sahaja.

Wilayah-wilayah jajahan takluk Melaka itu sendiri mempunyai pengalaman yang berlainan dengan kedatangan kuasa Barat di daerah mereka.

Dalam skop Tanah Melayu itu sendiri, Sultan-Sultan di sembilan buah negeri tidak pernah melepaskan kuasa kepada pihak British, sebaliknya hanya menerima bantuan mereka sebagai penasihat hal-hal yang berkait dengan pengurusan negeri dan wilayah.

Berlainan dengan Melaka dan Pulau Pinang, negeri-negeri Tanah Melayu yang lain mempunyai sistem penasihat/residen yang berbeza, di mana kuasa Sultan itu sendiri masih mempunyai kata keputusan ataupun final say.

Malah, pihak British, melalui pelbagai dokumen perundangan, juga mengakui kedaulatan Sultan dan negeri kita.

Contohnya seperti kes pembunuhan oleh Ethel Proudlock pada tahun 1911 di Kuala Lumpur – di mana King George V mengakui beliau tidak boleh mengurniakan pengampunan kepada Ethel kerana Selangor adalah sebuah negeri yang mempunyai undang-undang dan pemerintahnya sendiri, justeru hanya Sultan Selangor pada ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Shah, yang boleh memberikan sebarang pengampunan.

Sultan Alauddin Sulaiman Shah

Kes ini berakhir apabila Tuanku Sultan telah mengampunkan Ethel Proudlock, walaupun telah dinasihati sebaliknya oleh pegawai British. Ini jelas menunjukkan kedaulatan Sultan di Tanah Melayu yang tidak pernah hilang, malah diiktiraf oleh pihak British.

Pada masa yang sama, terdapat satu lagi kes yang membuktikan kedaulatan Sultan-Sultan kita, Kes Mighell v. Sultan of Johore (1894) menunjukkan Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor ketika itu, mempunyai kedaulatan sendiri sebagai pemimpin ulung Johor – justeru tidak boleh dibicarakan oleh pihak kehakiman di Britain atas sebab Johor itu sendiri adalah sebuah negeri yang bebas dan berdaulat dan setaraf dengan Empayar British sendiri.

Maharaja Abu Bakar, Bapa Pemodenan Johor yang merupakan sahabat kepada Ratu Victoria.

Malaya seperti yang kita tahu, yang juga dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, merupakan persekutuan negeri-negeri di bawah pemerintahan Sultan di Tanah Melayu, serta negeri Melaka dan Pulau Pinang yang terletak di bawah pentadbiran total pihak British.

Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 kemudiannya bergabung dengan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia.

Jika dilihat secara total, penjajahan pihak British itu sendiri tidak pernah komprehensif ataupun sempurna, dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu juga tidak boleh wujud tanpa persetujuan sembilan Sultan di Malaya.

Penggubalan dan pembentukan Perlembagaan kita sendiri melalui Suruhanjaya Reid juga belaku atas izin dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu – setiap pelantikan anggota dalam Suruhanjaya tersebut pada ketika itu harus berdasarkan perkenan Sultan-Sultan kita.

Contohnya, pelbagai perenggan awal dalam laporan Suruhanjaya Reid menegaskan tentang “pelantikan atas nama Permaisuri Britain dan Yang Mulia Raja-Raja Melayu,” serta “Persetujuan dengan Majlis Raja-Raja” jelas menunjukkan kedudukan penting dan kedaulatan Sultan-Sultan di Tanah Melayu sebelum 31 Ogos 1957 lagi.

Kewujudan Perseukutan Tanah Melayu, dan seterusnya Malaysia, itu sendiri adalah hasil daripada kedaulatan dan kelangsungan Raja-Raja Melayu.

Majlis Raja-Raja Melayu, serta para pembesar dan juga pegawai British, tahun 1957

Ramai di kalangan kita pada hari ini suka untuk menyebarkan naratif bahawa “penjajahan” yang berlaku di negara kita pada masa lampau berpunca daripada kelemahan Sultan-Sultan Tanah Melayu, walhal perkara ini sudah tentu jauh daripada kebenaran yang nyata dan termaktub.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tradisi dan sejarah kita, kita harus berusaha untuk mengekang ideologi dan naratif liberal sebegini sebelum ia tersebar.

Mana mungkin Tanah Melayu itu sendiri pernah dijajah seperti negara lain apabila kesultanan Melayu sering diiktiraf sebagai kerajaan setaraf oleh empayar Britain itu sendiri?

Jika kita benar-benar dijajah secara total, sudah tentu perkenan Sultan-Sultan kita tidak termasuk dalam Suruhanjaya Reid dan proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri.

Kelangsungan negara kita Malaysia ini adalah hasil daripada kegigihan dan kesepakatan Majlis Raja-Raja Melayu, serta orang-orang Sabah dan Sarawak.

Dalam menempuhi cabaran-cabaran yang akan datang, adalah amat wajar jika kita sebagai sebuah negara berdaulat terus mempelajari dan mengaplikasikan kegigihan dan kesepakatan yang ditunjukkan.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi