- Iklan -
Editorial

Editorial: Adakah kami silap dengan laporan kami?

Dalam mendedahkan "sisi hodoh" pandemik politik, kami mungkin mengalihkan perhatian rakyat Malaysia terhadap ancaman lebih besar.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Dalam tempoh 24 jam lalu, kami menerbitkan dua laporan mengenai perbalahan terkini politik tanah air.

Pada dasarnya, laporan kami adalah mengenai empat individu – dua di usia penghujung 60-an, seorang berusia 70-an dan seorang lagi dalam lingkungan 40-an – kesemua mereka yang disebut itu terperangkap dalam rancangan mereka sendiri tetapi bersama, untuk menumbangkan kerajaan dengan pembelotan.

Ya, laporan kami membuatkan kami terkenal, tidak sampai sebulan selepas bermula pada September lalu.

Telefon kami tak henti-henti berbunyi sepanjang hari, pelayan laman sesawang kami dipenuhi dengan trafik, dan saudara terdekat serta rakan-rakan semuanya mengharapkan maklumat tambahan “dalaman”.

Sama seperti mana-mana portal berita lain, kami meraikan skup tersebut, yang merupakan cerita paling hangat sejak beberapa minggu ini mengenai kisah Anwar Ibrahim merancang untuk menjadi perdana menteri.

Dan kemudian, kira-kira pukul 6 petang tadi, kami menyedari ia mungkin bukan keputusan yang terbaik untuk menyiarkan berita skup itu. Kementerian Kesihatan mengumumkan 869 jangkitan baru Covid-19, yang tertinggi dalam tempoh 10 bulan sejak pandemik itu dikesan di Malaysia.

Ini bermakna 869 orang lagi perlu dirawat petugas barisan hadapan dalam beberapa hari dan minggu mendatang.

Sebanyak 869 katil diperlukan di hospital kita, 869 peralatan berbeza akan digunakan, dan 869 alasan untuk rasa bimbang pandemik terburuk dalam sejarah ini masih belum berakhir.

Secara tak langsung, kami rasa bersalah kerana mengalihkan tumpuan masyarakat Malaysia daripada peperangan menentang pandemik.

Kami mengalih perhatian rakyat negara ini kepada sekumpulan ahli politik yang tindakannya boleh menyebabkan berlaku pilihan raya umum, iaitu istilah yang di musim pandemik membawa maksud “pembunuhan beramai-ramai atas nama demokrasi”

Kami mengejutkan ahli-ahli politik yang kami namakan – atau lebih tepat, pengikut mereka, kerana  Anwar Ibrahim, Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Maszlee Malik membisu seribu bahasa berkenaan laporan mengaitkan mereka.

Kami dimarahi pengikut setia mereka, kerana kami membuatkan mereka tercengang dan rasa dikhianati.

Kami mengundang kemarahan daripada orang-orang suruhan mereka, yang menuduh kami membuat laporan palsu.

Kami bukan laman hantu. Kami adalah sekumpulan pemberita yang dinamakan, dengan pejabat dengan sidang editorial.

Jadi, jika kami menyebarkan laporan palsu, laporkan kami, saman kami.

Tetapi itu bukan apa yang kami bimbangkan. Sebenarnya, kami menyesal dengan gangguan hujung minggu yang kami lakukan.

Semua ini kerana berpuluh-puluh ribu barisan hadapan sedang sibuk menangani pandemik, tidak cukup tidur untuk menjaga orang lain, malah ada mangsa yang menunggu maut dan akan tersenarai dalam laporan harian Dr Noor Hisham Abdullah yang kita ikuti dengan penuh kebimbangan.

Secara tidak langsung, kami mendedahkan orang-orang berebut kuasa, bukan berdolak-dalik untuk berkuasa  ketika pandemik sedang melanda.

Di zaman kemusnahan sosial dan ekonomi, hanya mereka yang tidak waras yang mahu menduduki jawatan tertinggi, melainkan mereka sebenarnya mahu menyelamatkan diri daripada musibah yang akan menimpa kehidupan mereka.

Namun, ketika kami lakukan itu, kami sedar kami mungkin membuatkan rakyat Malaysia lupa kepada penderitaan dan pengorbanan sebahagian besar penduduk negara ini.

Kami memohon maaf di atas gangguan itu. Tetapi ia tindakan yang wajar sekiranya apa yang kami lakukan membuka mata orang ramai terhadap pandemik politik angkara mereka yang menang pilihan raya sebelum ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.