- Iklan -
Kolum

Adakah kita berhak mematikan?

Malaysia malangnya dalam 56 negara yang masih melaksanakan hukuman mati bersama-sama China, Jordan, Singapura dan Mesir.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Baru-baru ini, Amnesty Malaysia menayangkan sebuah filem pendek sekitar 30 minit dengan judul “Menunggu Masa” di dalam talian.

Filem tersebut adalah garapan Seira Sacha Abu Bakar dan Sherrie Razak Dali (kedua-duanya adalah peguam).

Tayangan ini dianjurkan sempena “Minggu Aksi Penghapusan Hukuman Mati” yang berlangsung sepanjang minggu lalu.

Filem ini dari genre dokumentari dan berpusat mengenai kes Mainthan Arumugam.

Suara latar dengan gambar bergerak sederhana menghiasi seluruh naratif filem. Filem dimulai dengan perbualan ayah dan anak di belakang; manakala imej Penjara Kajang bersilih ganti dengan foto-foto peribadi, lantas beralih kepada butir gerimis gugur di hujung atap zink.

Menunggu Masa memperihalkan nasib Mainthan Arumugam; seorang bapa yang menanti hukuman di tali gantung. Masa telah bergulir selama 14 tahun.

Tiada apa yang terjadi, dan keluarganya merana rasa sepanjang tempoh itu.

Menunggu Masa bercita-cita menjadi sebuah filem dokumentari bertenaga yang mempersoalkan hukuman mati di negara ini. Akan tetapi ada beberapa masalah yang dihadapi sebagai sebuah filem.

Sebagai sebuah filem non fiksi, kehadiran Agilandewari Mainthan yang kali akhir didakap bapanya ketika berusia 3 tahun merupakan momen penuh emosi.

Pun, momen pertama ini tidak cukup mengharukan. Mainthan dijatuhkan hukuman mati ekoran dakwaan membunuh.

Apa yang sepatutnya menjadi momen syahdu dalam dokumentari ini ialah pembunuhan itu tidak pun berlaku.

Dokumentari selama 30 minit ini disiarkan secara dalam talian baru-baru ini.

Filem bahkan mendedahkan bagaimana 19 orang hakim mendengar kes ini tetapi tetap meletakkan Mainthan di belakang jeriji besi untuk menunggu masa dimatikan.

Ketidakadilan ini tidak tampil dengan kemas sehingga berdaya membujuk penonton agar benar-benar menolak hukuman mati. Ia patut menjadi momen kedua yang berharga.

Filem berusaha memberikan titik penting untuk dinilai penonton, peguam Mainthan iaitu Amer Hamzah Arshad menemukan bukti baru bahawa Manivaran anak lelaki Vellasamy yang dikatakan mangsa bunuh sebetulnya warga India yang boleh dipertikaikan identitinya.

Manakala mangsa yang benar-benar berada di tempat kejadian iaitu Devadas, sebetulnya tidak pun meninggal dunia setelah dipukul.

Devadas malah muncul di mahkamah dan dalam filem, seraya menjelaskan pada tahun 2017 dia ikut membantu agar Mainthan dapat dibebaskan. Ini wajar menjadi satu momen kejutan. Namun ia muncul suam kuku.

Tiga momen di atas adalah detik dramatik yang wajar digunakan sepenuhnya di dalam filem Menunggu Masa, malang dialpakan.

Sebagai sebuah filem, Menunggu Masa memerlukan gambar atau imejan kukuh untuk dipersembahkan.

Maka untuk itu, pembikin filem ini mengekori hidup harian Vasanthy isteri Mainthan.

Awal pagi, Vasanthy keluar berjalan kaki untuk bertugas sebagai tukang cuci di sbeuah sekolah.

Kemudian bergulir imej empat orang anak Mainthan menuju ke Penjara Kajang di hari Deepavali tetapi gagal menemui bapa mereka.

Kata Vasanthy yang menyentuh hati ialah: “Mana tahu Agong akan bagi dia bebas ke?”.

Dia kekal mengharap dan menunggu masa. Vasanthy sebagai isteri yang waras dan sabar, menunaikan tugasnya sebagai seorang ibu dan dengan penuh kepercayaan mengharap Yang Maha Kuasa akan mendengar permintaannya.

Tentu, untuk sebuah dokumentari; latar watak real ini tidak boleh dicipta-cipta. Maka kita melihat kejiranan kumuh, dapur sesak yang comot dan tempat pemujaan berhala yang disetanggikan.

Semua ini begitu menarik tetapi berlalu bergitu sahaja. Saya akan membincangkannya lagi kemudian.

Dokumentari ini berusaha untuk mencetuskan perbicaraan di luar mahkamah mengenai hukuman mati yang perlu direviu.

Ia berharap untuk memberi keadilan kepada Mainthan dengan cara ini. Harapannya adalah suara Mainthan akan ditemukan dan bersipongang di luar.

Akan tetapi adakah matlamat ini tercapai dengan 30 minit imej bergerak?

Masalah dengan filem atau dokumentari ini ialah wacana yang dihulurkan kurang meyakinkan.

Ia misalnya boleh berusaha memahamkan bahawa apa yang menimpa Mainthan memang sangat-sangat tidak adil.

Penonton masih kabur – mengapa misalnya – 19 orang hakim tidak melihat bukti yang dipersembahkan peguam.

Selain itu, untuk memenangi wacana anti hukuman mati ini perdebatan sehala tidak menjayakannya.

Dokumentari ini sebagai contoh boleh sahaja membawa juga suara mereka yang pro hukuman mati, secara bergilir dengan hujah-hujah anti hukuman mati; dan didatangkan ketidakadilan yang menimpa Mainthan.

Jalan begini akan menampakkan betapa hukuman mati ini wajar dihapuskan.

Peguam terbenam dalam hujah lingkungan dan terlupa penentangan mereka yang pro hukuman mati.

Hasrat untuk tidak terlalu kaku dalam mengetengahkan wacana ini masih mengambil jalan dua orang peguam yang belum cukup berseni (memandangkan kedua-dua pembikin filem juga adalah pengamal undang-undang).

Dokumentari ini sebagai contoh boleh sahaja membawa juga suara mereka yang pro hukuman mati, secara bergilir dengan hujah-hujah anti hukuman mati; dan didatangkan ketidakadilan yang menimpa Mainthan.

Sebagai filem, bahasa seninya adalah gambar bergerak tetapi karyawan nampaknya tercari-cari imej atau lambang untuk ditampilkan.

Padahal gambar bergerak ini terlalu banyak tersedia.

Tempat pemujaan, kamar yang semak, juadah yang terjerang di atas dapur, sepasang kaki yang bergerak, atau lopak air malah boleh menjadi cukup dramatik tetapi Menunggu Masa akhirnya menjadi cantuman atau suntingan beberapa video yang tidak cukup hidup.

Seolah-olahnya kedua pembikin filem kekurangan stok filem semasa melakukannya.

Sebuah dokumentari bukan hanya meletakkan beberapa individu dengan suara bergetar untuk dirakam.

Ia harus disulam imej metaforik, malah ia juga harus digarap dengan kreatif dan penuh seni.

Tentu, jika bertanya kepada penggiat hak asasi manusia, hukuman mati perlu dimansuhkan.

Akan tetapi untuk menang perdebatan ini, satu kes seperti Mainthan sahaja tidak memadai untuk menjuarai perbincangan.

Terdapat sejumlah 142 negara yang sudah memansuhkan hukuman mati atau mengumumkan moratorium terhadap hukuman itu, sementara 56 negara lagi masih mengekalkannya.

Dari 142 negara itu, 106 buah negara memansuhkannya sama sekali, tujuh pula memansuhkan sebahagian manakala 29 lagi menangguhkan hukuman.

Malaysia malangnya dalam 56 negara yang masih melaksanakannya, bersama-sama China, Jordan, Singapura dan Mesir.

Kita dalam kalangan 11 negara di Asia Tenggara yang ketinggalan berbanding 6 buah negara yang sudah memansuhkannya atau menangguhkan hukuman, iaitu Kemboja, Filipina, Laos, Brunei, Timor Timur dan Myanmar.

Kita bersama-sama Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand belum mahu memansuhkan, dan masih berfikir negara ibarat “abah” yang punya hak untuk menghukum, dalam hal ini mematikan.

Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu bercadang menghapuskan hukuman mati.

Namun demikian dengan rampasan kuasa dilakukan segelintir ahli politik rakus negara ini, ia mengakibatkan kerajaan dua butir telur Perikatan Nasional tegak di hujung tanduk.

Justeru nasib individu seperti Mainthan masih tidak menentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mengumumkan untuk terus bermain politik iaitu konon perkara ini menunggu masa untuk dibincangkan di peringkat Kabinet dalam masa terdekat sebelum dimuktamad.

Sementara itu, empat orang anak Mainthan dan isterinya menunggu masa pembebasan dengan penuh debar. Mainthan pula menahan debar yang sudah pun ditempuhnya selama 14 tahun.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.