- Iklan -
Kolum

Memahami fenomena ‘berebut kuasa’

Tokoh-tokoh yang terlibat dalam perebutan kuasa pada hari ini semuanya nama-nama yang sudah biasa didengari sejak 1980-an.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Mengapakah sebelum tahun 2020 tidak pernah berlaku fenomena berebut kuasa?

Jawapannya ialah dalam sejarah Malaysia sebelum ini tidak pernah berlaku kerajaan yang menang pilihan raya ditumbangkan ekoran wakil rakyatnya melompat dan berpakat dengan pembangkang.

Fenomena berebut kuasa berlaku apabila lebih daripada satu pihak berusaha untuk mendapatkan kuasa di sesebuah negara, selalunya melibatkan antara dua pihak yang bertentangan dan kuasa hanya ada satu.

Sebelum zaman demokrasi, rebutan ini adalah dalam bentuk peperangan, sama ada melalui pemberontakan atau perang saudara.

Ia sering berlaku ketika peralihan politik ekoran daripada kemangkatan seseorang raja.

Maka semasa zaman feudal, peralihan yang lancar antara raja dan penggantinya adalah penting bagi keamanan negara.

Sistem demokrasi berparlimen diwujudkan antara lain adalah untuk memastikan peralihan kuasa berjalan licin dan tidak menimbulkan huru-hara.

Untuk itu ada Perlembagaan dan pilihan raya umum di mana asasnya semua pihak yang mahu mendapatkan kuasa menerima proses ini.

Mereka yang memperoleh majoriti mendapat kuasa, sementara yang kalah menjadi pembangkang untuk mengimbangi kuasa kerajaan, maka tiadalah rebutan kuasa.

Sistem ini berjalan lancar di Malaya dan Malaysia, kerana tiada sebarang rebutan kuasa di peringkat persekutuan selepas pilihan raya tahun 1955, 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1981, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013.

Kesemua pilihan raya itu dimenangi oleh Perikatan dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Umno.

Pihak pembangkang menerima kekalahan mereka dan tidak timbul soal berebut kuasa di peringkat persekutuan.

Oleh kerana sentiasa menang, maka dirasakan bahawa Malaysia akan selamanya diperintah Umno dengan orang Melayu terus mendominasi politik negara.

Tetapi realitinya tidak begitu, Malaysia bukan negara Melayu dan ia adalah negara berbilang kaum malah orang Melayu itu sendiri berbilang fahaman, bukan semuanya menerima fahaman politik Umno.

Sistem ini berjalan lancar di Malaya dan Malaysia, kerana tiada sebarang rebutan kuasa di peringkat persekutuan selepas pilihan raya tahun 1955, 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1981, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013.

Sistem demokrasi membolehkan peralihan kuasa dan apabila sampai masanya, kuasa politik akan bertukar tangan jika rakyat mahukan keadaan demikian berlaku.

Jadi apabila BN kalah dalam pilihan raya tahun 2018, mereka dan ramai orang Melayu tidak dapat menerimanya.

Mereka berasakan orang Melayu kehilangan kuasa sedangkan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) adalah orang Melayu dan fahaman politik Bersatu adalah sama dengan Umno.

Maka dari awal lagi terdapat usaha dibuat untuk menjatuhkan kerajaan PH melalui beberapa rundingan, malah disebut bahawa mereka menyasarkan pada hujung tahun 2018, kerajaan PH akan tumbang.

Sementara di luar pula dilancarkan kempen yang berasaskan sentimen kaum dan agama.

Inilah bermulanya perebutan kuasa.

Ditambah pula dengan perpecahan bukan saja dalam PH tetapi juga faksi dalam komponennya, iaitu perselisihan antara Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali.

Tetapi paling besar adalah antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.

Dari segi parti pula, ia adalah antara PKR-Bersatu dan juga antara Bersatu-DAP.

Akhirnya, berlakulah Langkah Sheraton dan Mahathir bertindak meletakkan jawatan dan menjadi perdana menteri interim dengan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Di sinilah masalahnya dan perebutan kuasa akan berterusan kerana yang kalah diberi tempat dalam kerajaan, ia melanggar mandat rakyat.

Dalam pilihan raya umum 2018, tiada sesiapa mengundi untuk kerajaan perpaduan dan mandat rakyat adalah jelas untuk PH, bukannya BN atau PAS.

Maka berlakulah rebutan kuasa apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan.

PH mahu memulihkan mandat rakyat tetapi gagal kerana tiada persetujuan antara Mahathir dan Anwar, pada masa sama PN juga berlaku perebutan kuasa, antara Umno dan Bersatu hinggakan parti itu enggan menyertai PN.

Meninggalkan Bersatu dan PAS berada dalam PN manakala gabungan Umno dan PAS masih membentuk Muafakat Nasional.

Pun begitu dalam Umno itu sendiri tidak bersatu padu, semuanya bermula apabila Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyokong Anwar, maka Tengku Razaleigh Hamzah berpakat dengan Mahathir untuk menghalang Presiden PKR itu daripada menjadi perdana menteri.

Melihat kepada pergolakan berebut kuasa ini, dapat diperhatikan bahawa watak-watak politik ini adalah asalnya daripada Umno; Muhyiddin Yassin, Mahathir, Anwar, Razaleigh dan Zahid.

Fenomena berebut kuasa di peringkat kerajaan ini adalah lanjutan atau limpahan daripada apa yang berlaku dalam Umno.

Dalam hal ini, rebutan kuasa dalam Umno boleh ditinjau daripada pemilihan pucuk pimpinan parti itu bermula dengan pelantikan Mahathir sebagai timbalan perdana menteri oleh Hussein Onn selepas Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Kalau mengikut persefahaman, Mahathir seharusnya melantik Razaleigh sebagai timbalannya dan bukan Musa Hitam.

Akibatnya berlakulah persaingan dalam parti, tetapi ini bukan berebut kuasa.

Fenomena berebut kuasa berlaku selepas pemilihan jawatan parti apabila pihak yang kalah tidak dapat menerima keputusan dan mencabarnya melalui usaha lain seperti undang-undang.

Ini berlaku pada tahun 1987 apabila Razaleigh yang berganding bahu dengan Musa untuk menentang Mahathir dan Ghafar Baba.

Mereka kalah dalam pemilihan tetapi tidak dapat menerimanya dan membawa kes itu ke mahkamah, yang menyaksikan Umno diisytiharkan tidak sah.

Usaha Razaleigh untuk mendaftar Umno Malaysia dihalang, sebaliknya Mahathir menubuhkan Umno baru tanpa putera Kelantan itu dan penyokong-penyokongnya.

Maka apabila Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 yang menjadi pembangkang, rebutan kuasa dalam Umno berpindah kepada politik nasional.

Pilihan raya tahun 1990 menyaksikan tokoh bekas Umno bersaing antara satu sama lain.

Umno baru dan Semangat 46 adalah parti yang berbeza daripada Umno asal.

Mahathir menang pilihan raya dan Razaleigh menerima kekalahannya, lalu Semangat 46 dibubarkan dan beliau menyertai Umno baru yang kemudian dipulihkan sebagai Umno.

Episod rebutan kuasa berakhir, walaupun kemudian Mahathir memecat Anwar dan munculnya Parti Keadilan Nasional, tetapi tidak ada rebutan kuasa.

Keadilan gagal dalam pilihan raya tahun 1999 dan 2004.

Cumanya pada tahun 2008, PKR bersama PAS dan DAP dapat menafikan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya dengan mampu menang di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Anwar menubuhkan Pakatan Rakyat dan mereka berpuas hati dengan kejayaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Apa yang menjadi fenomena rebutan kuasa adalah pengumuman Anwar beliau mampu menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 jika sebahagian wakil rakyat BN melompat kepadanya.

Walaupun usaha Anwar itu gagal tetapi ia merupakan petanda-petanda rebutan kuasa dan ketika itu mandat rakyat adalah untuk BN.

Dapat dilihat juga apa yang disebut sebagai berebut kuasa boleh muncul di peringkat parti dan kerajaan.

Sebagai negara bersistem persekutuan, maka rebutan kuasa boleh berlku di peringkat negeri dan itulah yang berlaku di Perak selepas pilihan raya tahun 2008.

Mandat rakyat adalah menolak BN.

Maka yang menjadi kerajaan negeri ialah PKR, DAP dan PAS yang membentuk Pakatan Rakyat, tetapi kerajaan ini tumbang apabila Adun mereka melompat.

Rebutan kuasa berlaku di peringkat negeri lebih awal lagi.

Dalam pilihan raya tahun 1959, kerajaan PAS Terengganu tumbang kerana Adun melompat dan di Sabah, kerajaan negeri tumbang beberapa kali kerana rebutan kuasa.

Daripada kerajaan Usno yang tumbang di tangan parti Berjaya hinggalah baru-baru ini kerajaan Warisan juga mengalami nasib yang sama.

Rebutan kuasa di peringkat negeri itu ada kaitan dengan politik di persekutuan.

Pada masa ini, rebutan kuasa itu berkisar pada PN, BN dan PH yang mana tokoh-tokoh terlibat adalah orang yang sama daripada Umno sejak tahun 1980-an.