- Iklan -
Kolum

Realitinya, politik Malaysia wajib berlandaskan platform Melayu

PKR yang berideologikan berbilang kaum juga akhir-akhir ini bercakap soal Melayu-Islam dan diserlahkan dengan kesediaan Anwar Ibrahim bekerjasama dengan Najib Razak.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dalam tahun-tahun 80-an, apabila pihak pembangkang membincangkan mengenai peluang untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia, ada suatu perasaan bahawa demokrasi di negara ini hampir mustahil memberi ruang atau kemenangan pada parti selain Barisan Nasional (BN).

Ini kerana dari awal lagi, komitmen terhadap demokrasi di negara ini dirasakan tidak tulen.

Maknanya demokrasi bukan hendak memberikan suara saksama pada semua warga negara tetapi hanya untuk mengabsahkan platform politik yang dipersetujui kolonial British.

Platform di sini bermaksud fahaman nasionalis kanan Melayu dengan memberi ruang minoriti kepada Cina dan India.

Aspirasi ideologi lain daripada soal kepentingan kaum diketepikan begitu saja.

Setelah menyingkirkan golongan kiri pada tahun 1950-an melalui tangkapan-tangkapan politik, pentadbir kolonial British hanya memberi ruang kepada Umno serta sekutunya MCA dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) bertanding PRU 1955.

Selepas ternyata platform Melayu yang diajukan Umno adalah pilihan rakyat, maka ia merupakan realiti politik negara ini, daripada Perikatan hinggalah tertubuhnya BN.

Maka ada ungkapan pembangkang akan selamanya tidak dapat mengalahkan BN kerana mereka tidak memiliki 3M iaitu money (wang), media dan machinery (jentera).

Sedangkan BN mempunyai dana yang mencukupi, menguasai media sepenuhnya serta jentera, dari segi parti dan sokongan kerajaan.

Dari awal kemerdekaan lagi, media dikawal.

Filem Negara, radio, dan kemudian televisyen serta akhbar-akhbar tidak memberi ruang kepada suara pembangkang.

Umno mengambil alih sidang redaksi Utusan Melayu pada tahun 1960.

The Straits Times menjadi The New Straits Times pada tahun 1971.

Maka sepanjang dekad-dekad itu, rakyat hanya mendengar pandangan satu pihak, yang pastinya memberikan kemenangan kepada BN dalam PRU.

Malah dalam Operasi Lalang pada tahun 1987, akhbar yang memberi sedikit ruang kepada pembangkang iaitu The Star dan Watan diharamkan yang akhirnya memberi kesan besar pada para pemberitanya.

Apabila ia dibenarkan diterbitkan semula, mereka menjadi lunak dan mengelak menyiarkan berita-berita mengenai pembangkang.

Sebelum Anwar Ibrahim menyertai kerajaan BN pada tahun 1981, majalah rasmi Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) iaitu “Risalah” gagal memperolehi permit penerbitan.

Dekad 1980-an adalah panjang.

Pada awalnya, pembangkang terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Di penghujung 1980-an, muncul Parti Melayu Semangat 46 yang merupakan pecahan Umno.

Seringkali apabila menjadi pembangkang, parti pecahan Umno turut menuntut demokrasi serta kebebasan media, tetapi apabila ia kembali bersama Umno, tuntutan tersebut hilang begitu saja.

Selain daripada 3M itu, ada 2M lagi yang menyebabkan BN terus menang sepanjang dekad 1980-an, iaitu faktor Mahathir dan platform Melayu.

Dr Mahathir Mohamad adalah kerana kepimpinannya.

Kemenangan beliau ke atas Tengku Razaleigh Hamzah adalah antaranya kerana Semangat 46 bekerjasama dengan DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dipandang sebagai sebuah parti Kristian.

Dari tahun 1957 hinggalah sekitar 2008, minda rakyat Malaysia pada umumnya dicorakkan dengan naratif yang disuapkan media kawalan BN.

Sememangnya tiada harapan bagi mana-mana pihak pembangkang untuk mengalahkan BN dalam PRU.

Perubahan kelihatan apabila internet muncul tetapi ia berlaku secara beransur.

Pada PRU 1999, sudah ada laman sesawang tetapi kesannya tidak besar dan ia kemudian diikuti dengan penulisan blog.

Namun kesan besar hanya berlaku bila ada jalur lebar dan telefon pintar.

Selepas PRU 2008, muncul media sosial bermula dengan Twitter dan diikuti dengan Facebook serta WhatsApp yang akhirnya menyebabkan akhbar sudah kurang relevan.

Walaupun mereka juga masuk dalam talian tetapi tidak dapat menyaingi portal-portal berita yang baru muncul.

Akibatnya adalah lambakan maklumat.

Selepas tahun 2008, BN berbelanja besar untuk “laskar siber” bagi kempennya menjadikan media konvensional kurang relevan.

Walaupun dengan usaha dan belanja besar itu, BN tetap kalah pada PRU 2018.

Selepas kalah PRU, ada rasa terkejut dalam kalangan orang Melayu apabila mereka menghadapi realiti politik Malaysia.

Mereka tidak dapat menerima keadaan negara ini diperintah selain daripada platform Melayu dan dengan adanya DAP dan gagasan Malaysia Baru membimbangkan mereka.

Ini berlaku walaupun yang menerajui Pakatan Harapan (PH) adalah Mahathir yang tujuannya melawan BN hanyalah untuk menumpaskan kleptokrasi.

Sementara partinya, Bersatu ditubuhkan untuk mengambil alih peranan Umno dan meneruskan platform Melayu.

Bukanlah hasratnya untuk menjadikan Malaysia negara demokrasi liberal.

Umno dan PAS berganding bahu dalam gagasan “Perpaduan Ummah” melancarkan kempen populis politik identiti Melayu-Islam dengan menggunakan internet.

Bagi mereka keutamaannya adalah platform dan agenda Melayu, soal kleptokrasi, korupsi, penyalahgunaan kuasa dan nepotisme adalah perkara kedua.

Jentera media PH gagal menangkis serangan media Umno-PAS ini.

Kempen Umno-PAS itu berjaya dan ramai pengundi PH kembali pada BN.

Malah Bersatu berasa tergugat dan mendapati dirinya sukar untuk bekerjasama dengan DAP.

Kini bukan saja Umno dan PAS menolak kerjasama dengan DAP, tetapi juga Bersatu.

Akhirnya berlaku “Langkah Sheraton” dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berlandaskan pada platform Melayu-Islam.

Mahathir yang enggan menyertai PN seterusnya menubuhkan parti sendiri di atas platform Melayu juga.

Tetapi yang lebih ketara lagi ialah PKR.

Walaupun perjuangan parti itu adalah pada agenda Reformasi berbilang kaum dengan demokrasi liberal sebagai landasannya tetapi sejak akhir-akhir ini Anwar memberi penekanan terhadap platform Melayu-Islam, sesuatu yang tidak asing bagi dirinya dalam perjuangan semasa dalam Abim dan Umno.

Kesediaan Anwar bekerjasama dengan Najib Razak menyerlahkan keadaan ini.

Akhirnya nanti Amanah pun akan turut mencari relevansi politiknya dalam menghadapi realiti platform Melayu ini.

Agenda Islam progresif yang dibawanya tidak akan dapat diterima oleh masyarakat Melayu yang konservatifnya amat tebal.

Walaupun Amanah membawa pemikiran Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Fadzil Nor tetapi masyarakat Melayu tidak akan dapat memahaminya.

Jadi bagi mereka yang mahu mencabar platform Melayu ini, anggaplah perjuangan itu sia-sia dan membuang masa.

DAP akan terus menjadi pembangkang dan tidak akan menjadi kerajaan seperti mana ia pernah rasakan ketika PH memerintah selama 22 bulan.

Namun begitu, akan ada saja orang Melayu yang tidak mendokong platform Melayu itu.

Fahaman politik orang Melayu bukanlah monolitik.

Sejak sebelum merdeka pun ada saja orang Melayu yang mempunyai ideologi lain, sama ada demokrasi liberal mahupun aliran kiri seperti sosialisme.

Tetapi mereka ini golongan minoriti dalam masyarakat.

Akan ada saja orang Melayu yang menyokong DAP atau parti berhaluan kiri.

Generasi berganti generasi, golongan ini tetap ada.

Oleh kerana tidak akan memperoleh kuasa maka kegiatan mereka adalah berbentuk akademik, penulisan, kewartawanan, berkarya dan berbudaya.

Mereka menambah seri suasana demokrasi negara tanpa perlu tunduk pada platform Melayu yang mendominasi politik negara.

Sementara itu, mereka akan menjadi penonton pada gelagat parti-parti Melayu sama ada Umno, PAS, Bersatu, PKR, Amanah dan Pejuang bersilat sesama sendiri untuk meraih undi bagi menegakkan platform Melayu-Islam di negara ini.

Jadi bagi mereka yang mahu mencabar platform Melayu ini, anggaplah perjuangan itu sia-sia dan membuang masa.

Mereka tidak akan menang dalam menghadapi konservatisme Melayu.

Adalah lebih baik mereka melakukan kegiatan lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat dan negara.