- Iklan -
Kolum

Mademoiselle Murielle

Hidup aku ceria. Kadang kala ketika aku makan malam, piano akan berlagu.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Je m’apple Murielle. Je suis dactylo – une dactylo. Je m’apple Pierre. Je suis etudiant – un etudiant.

Nama saya Murielle. Saya seorang jurutaip. Nama saya Pierre. Saya seorang pelajar.

Inilah pengenalan ayat pertama yang aku dengar dalam bahasa Perancis secara formal di Wavre, Belgium pada tahun 1982.

Ini petikan dari muka surat pertama buku paling asas untuk belajar bahasa Perancis.

Murielle dan Pierre adalah dua nama yang paling “koman” di Perancis. Ini sama seperti nama Ahmad dan Aminah di Malaysia. Atau John dan Mary di England.

Buku Perancis ini mengembalikan ingatan aku ke tahun 1962.

Aku teringat: “This is a man. This is a pan. This is a dog. This is a cat. A man and a pan. A dog and a cat”.

Aku membaca ayat ini sambil melihat-lihat gambar.

Mengulang dan menghafal ayat-ayat bahasa Inggeris ini dalam kelas Special Malay Class 1 (SMC 1) di Government English School (GES) di Kuala Klawang, Jelebu.

Di GES itu aku bertemu dengan Mr Jai Singh, Mr Christopher Martin dan Mr Paul Raj.

Di Athenee Royal Maurice Careme di Wavre, Belgium aku bertemu dengan Madame Michoux dan Monsieur Andre.

Guru-guru ini mempasakkan kepala aku untuk mempelajari bahasa Inggeris di GES dan bahasa Perancis di Wavre dengan cara yang sama.

Ini dipanggil “Method Bonda”.

Aku mendengar dan mengikut seperti aku mendengar suara emak ketika aku membesar.

Aku dengar bunyinya sehingga aku faham makna bunyi yang didengar. Diulang-ulang sehingga faham. Cuma pada tahun 1962 aku baru bersunat.

Aku tidak tahu kenapa aku wajib belajar bahasa Inggeris. Aku hanya mengikut arus yang aku sendiri tak tahu dari mana ia datang.

Tahun 1982 aku sudah melintasi 30-an. Aku tahu mengapa aku wajib belajar bahasa Perancis.

Aku memasang niat untuk menyertai sekolah filem Institut National Supérieur Des Arts (Insas) di Brussels.

Aku sedar aku tidak mahu dilihat “sesat-sasau” tak tentu arah.

Buta huruf pun tidak. Celik huruf pun tidak. Dalam café di Wavre aku selalu bersendirian.

Tapi aku tidak dalam kesunyian. Bersendirian status fizikal diri aku. Kesunyian status fikrah.

Aku tidak sunyi. Hanya aku tahu tanpa pandai “mengayat” dalam bahasa Perancis “pedang” aku akan terus tidak berasah.

Aku sudah mendaftar sebagai pelajar bahasa di Université Catholique Louvain la Neuve (UCL).

Dalam pusat bahasa ini ada pelajar dari Sepanyol, Palestin, Hong Kong, Turki, China, Amerika Latin dan dari Korea Selatan.

Kenalan aku semakin meluas. Tapi bayangkan aku macam itik dalam kandang ayam.

Kenalan baru aku juga macam kambing dalam kandang lembu.

Sedikit demi sedikit kami mula bertegur sapa.

Tapi aku belum lagi berani mengajak sesiapa pun duduk bersama di café.

Di pusat bahasa aku berkenal baik dengan Chong dan Kim, dua pelajar dari Seoul, Korea Selatan.

Chong anak seorang pegawai tentera berpangkat tinggi. Sepupunya pelajar tahun dua fakulti Sains di UCL.

Manakala Kim yang comel dan langsing merupakan anak gadis pegawai kerajaan.

Mereka tinggal dalam kampus. Pada ketika ini pelajar dari Asia tidak ramai.

Chong dan aku selalu mundar-mandir dalam kampus.

Dari pemerhatian aku pelajar dari Korea Selatan ini semuanya daripada kelas atasan.

Anak pegawai tentera berpangkat tinggi atau pegawai kerajaan.

Pada ketika ini Korea Selatan di bawah rejim tentera.

Dari apa yang aku baca pada ketika itu, ekonomi Korea Selatan sama seperti negara Asia Tenggara yang lain sedang berkembang maju.

Kini Korea Selatan menjadi negara kaya sesudah Jepun.

Chong merasa hairan kerana aku mengenali Kim Chi-ha penyair dan dramatis dari Korea Selatan.

Chong yang baru selesai sekolah menengah tidak mengetahui latar belakang aku.

Aku pernah bersetia kawan dengan Kim Chi-ha, bekas aktivis mahasiswa yang dijatuhkan hukuman mati oleh rejim tentera.

Aku pernah membaca sajak-sajak Kim Chi-ha ketika dia dalam penjara pada tahun 1974.

Chong kawan baru aku ini dihantar ke Belgium oleh ayahnya. Ini kerana sepupunya sudah sedia ada di UCL.

Hati Chong tidak pernah di Belgium. Chong berniat, bermimpi, berangan-angan saban hari hendak ke New York, Amerika Syarikat.

“Isham New York ma distination, pas Belgique, ici rien. Aku nak ke New York. Di sini aku takda apa-apa. Aku nak jadi kaya di New York. Ramai rakyat Korea Selatan buka kedai di sana”.

Inilah mantra Chong yang kemaruk nak sampai ke New York.

Satu petang aku pulang dari kampus tuan rumah aku Monsieur Etienne memperkenalkan aku dengan seorang anak gadis sunti awal 20-an.

“Isham. Mademoiselle Murielle”.

“Je m’apple Murielle”.

Anak gadis ini bersuara dan menghulur tangan.

Aku memegang tangannya macam aku tak percaya apa yang baru aku dengar dan lihat. “Biar betul?”

Tidak disangka sangka Mademoiselle Murielle dalam buku yang aku baca kini berdiri di hadapan mata aku.

Astaga! Aku macam tak percaya. Aku nak ketawa. Tapi aku tak mahu dianggap kurang sopan.

Sebenarnya aku memang hendak ketawa kerana Mademoiselle Murielle di depan mata aku bukan Minah Salleh seperti gambar dalam buku, tapi Minah China.

“Asiatique comme toi. Origine Coree”. Monsieur Etienne menerangkan penyewa baru ini juga dari Korea Selatan. Dari Asia seperti aku.

Bilik tingkat pertama yang dikosongkan Monsieur Tang kini diambil Murielle.

Aku masih tinggal di loteng di sebelah dapur.

Petang esok aku nampak sebuah kereta masuk ke kawasan rumah kami.

Sepasang suami isteri muncul. Murielle muncul.

Mereka mencium pipi masing-masing tanda mesra. Aku menjenguk ke bawah dari loteng. Mereka mengangkat sesuatu dari dalam kereta.

Sesudah makan malam biasanya aku akan menulis surat kepada semua kawan-kawan aku.

Setiap hari aku menulis dengan harapan setiap hari juga akan menerima surat jawapan.

Surat-menyurat ini menjadi oksigen kepada orang pelarian seperti aku.

Aku tidak lagi menulis dengan pen.

Semenjak di Pakistan lagi aku sudah memiliki mesin taip kecil dan juga radio bimbit.

Tangan aku mengetik telinga aku mendengar saluran BBC dari Bush House, London.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi muzik. Aku berhenti mengetik. Aku pasang telinga.

Bunyi muzik ini datang dari bilik Murielle.

Pemuzik rupanya Minah ini. Bunyinya yang aku dengar macam bunyi piano.

Hampir satu bulan aku terhibur setiap malam dengan bunyi piano dari bilik Murielle.

Hidup aku ceria. Kadang kala ketika aku makan malam, piano akan berlagu.

Satu petang Murielle datang ke dapur. Dia melihat aku masak. Di tingkat bawah pun ada juga dapur yang lengkap. Aku tak tahu apa yang dia masak.

“Isham. Avez-vous été à Place de la Bourse. Et Grand Place”.

“Isham. Kamu pernah sampai ke Dataran Bursa Saham dan Grand Place? Petang kelmarin aku ke Brussels dengan kawan-kawan aku melintas di kawasan itu. Anggun dengan bangunan klasik. Isham, kamu pernah ke Brussels?”

Murielle bertanya pada aku sama ada aku pernah sampai ke Dataran Bursa Saham di Brussels.

Pertanyaan ini membuatkan aku hairan.

Ini seperti aku yang tinggal di Brickfields ditanya apakah aku pernah sampai ke Pasar Seni. Aku merasa amat pelik dengan soalan ini.

Mustahil Murielle tak pernah sampai ke Brussels. Dia bukan baru sampai Belgium. Dari perbualan dia dengan Mosieur Etienne, bahasa Perancis amat fasih.

Sebagai tanda persahabatan petang itu, aku beri Murielle tiga paket mi segera. Biar dia kembali merasa lidah Asia.

Murielle ada lagi datang ke dapur bersembang. Aku bercerita kepadanya tentang Chong dan Kim kawan Korea aku di kampus.

Murielle teringin nak berjumpa mereka.

Satu petang Murielle bertanya “Malaysia sama ke macam Korea?” Aku tak dapat menjawab kerana belum pernah sampai ke Korea Selatan.

“J’aime le temps chaud tropical. Aku senang sekali dengan cuaca panas tropika”.

Bila Murielle bercakap tentang cuaca panas ini hati aku menjadi sayu. Aku sendiri sudah lama meninggalkan bumi tropika. Aku hampir lupa betapa panasnya Jelebu, wilayah paling kering di Malaysia.

“Isham, bila kau bercuti nanti ajak aku ke Malaysia…aku nak kembali melihat Asia”.

Ini satu permintaan yang mustahil dapat aku tunaikan. Murielle tidak tahu sejarah aku. Dia menyangka aku ini pelajar luar negara di UCL.

Di kampus aku cuba menarik perhatian Chong tentang Murielle, warga Korea Selatan yang pandai main piano.

Tapi Chong tak ambil pot. Chong sedang sibuk mencari maklumat tentang Laker Airways, syarikat tambang murah.

Sistem penerbangan Laker Airways tidak ada sistem “booking”.

Wajib pergi ke lapangan terbang cuba nasib kalau-kalau ada kerusi kosong.

Ini macam beli tiket bas ke Pulau Pinang di Stesen Bas Pudu Raya. Kalau nasib baik ada.

Chong sudah dua kali ke lapangan terbang Zaventem. Tapi gagal untuk mendapatkan kerusi kosong.

Satu malam aku sedar tidak ada lagi bunyi piano. Semua senyap.

Mungkin Murielle bosan bermuzik. Mungkin dia berehat. Tidak ada bunyi piano ini berlarutan hingga ke satu minggu.

Untuk aku ada muzik atau tidak ada muzik adalah sama. Rutin aku terus berjalan. C’est la vie – inilah kehidupan.

Satu petang Murielle datang ke dapur ketika aku baru nak memasak.

Dia kelihatan tidak ceria. Aku pelawa dia makan bersama, tapi dia menolak.

Dia memerhatikan aku memasak. Aku menjadi tidak selesa. Untuk menceriakan suasana aku berseloroh.

“Aku rindu tak dengar bunyi piano. Kenapa tak bermain lagi?”

Murielle senyap tak menjawab. Aku gugup. Apakah aku tersalah cakap? Apa silap aku? Adakah salah bertanya hal piano?

Aku berhenti memotong bawang. Uncle Ben dah masak. Aku bercadang nak masak gulai ikan mackerel.

“Isham connais – tu bien la Belgique”. Murielle sudah menggunakan perkataan tu “kau” yang lebih mesra dari “vous” yang lebih formal. Dia bertanya apakah aku tahu Belgium?

“Comme-ci comme-ca. Macam itu, macam ini”. Jawapan selamat dari aku.

“Je suis une fille adoptive… Aku ini anak angkat”. Tiba-tiba Murielle membuka surah.

Aku tak tahu apa yang wajib aku tuturkan.

Aku berhenti memasak dan duduk hadapan Murielle.

Soalan piano aku membuka satu babak baru.

“Ketika aku berumur tiga tahun. Masa itu aku tinggal dalam rumah kebajikan. Aku ada adik lelaki dan kakak perempuan. Kami dari keluarga miskin. Ayah kami entah ke mana. Ibu kami meninggalkan kami di rumah kebajikan. Hanya untuk sementara katanya”.

Aku menarik nafas panjang. Projek gulai “ikan masak podeh berlado” aku tangguhkan.

“Satu hari sepasang suami isteri datang ke tempat kami. Mereka dari Belgium. Mereka berniat untuk mendapatkan anak angkat. Bila mereka tahu umur aku tiga tahun maka aku menjadi pilihan”.

Aku hanya membuka telinga seperti lintah dalam lubuk. Kadang kala Murielle mengulagi ayatnya yang dia agak aku tidak faham. Hanya aku tidak mengulang sebut ayat-ayat itu seperti di hadapan Madame Michoux.

“Pasangan ini menguruskan semua. Aku tinggalkan adik dan kakak aku. Pasangan ini membawa aku ke Belgium. Di rumah mereka ada seorang anak lelaki yang sebaya dengan aku. Kami tinggal di Rixensart. Mereka menjadi ibu dan ayah angkat aku. Budak lelaki itu jadi abang angkat yang tua beberapa bulan dari aku”.

Aduh! Berat rasa hati aku mendengar kisah ini. Aku sedar memang ramai orang Eropah mengambil anak angkat dari Korea Selatan. Ini ketika Korea Selatan miskin di bawah rejim tentera.

“Aku diambil untuk menjadi teman mainan abang angkat aku. Kami membesar bersama. Kami ke sekolah bersama. Aku selalu mengatasi abang angkat aku dalam kelas. Aku lebih berjaya di sekolah. Aku juga belajar muzik. Abang aku tak pernah tekun. Dia gagal. Abang aku jadi cemburu. Aku diterima masuk ke kolej. Tapi bapak aku memberhentikan aku dari sekolah. Dia tidak mahu melihat anak angkat lebih berjaya dari anak sendiri”.

“Mon frere adoptif jeloux de moi. Abang angkat aku cemburu pada aku”. Bila aku mendengar kisah ini hati aku menjadi sebak.

“Emak angkat aku sayang aku. Dia mahu aku terus tinggal di Rixensart dan terus main piano. Ayah aku berkeras. Katanya aku sudah dewasa wajib berdikari. Aku wajib mencari kerja. Emak aku yang bawa piano ke sini. Tapi ayah angkat aku mahu aku pulangkan piano itu. Minggu lalu ayah aku datang mengambil piano kembali. Kerana itu kau tak dengar lagi aku bermain piano”.

“Monsieur Isham. Aku selalu teringat adik kakak dan emak aku. Satu hari nanti aku nak pulang ke Korea Selatan. Aku nak jumpa mereka”. Meletup dari mulut anak angkat.

Malam itu baru aku faham kenapa Murielle belum pernah sampai ke Brussels walau pun sudah lebih 10 tahun tinggal di Rixensart. Ada yang cemburu kepada dia.

Hati halus aku terganggu bila aku tahu Murielle, jiran aku ini hanya dijadikan bahan permainan untuk abang angkat.

Esoknya aku ke kampus. Aku mencari Chong. Aku mahu Chong berjumpa Murielle.

Aku mahu Chong menunjukkan simpati kepada sosok yang datang dari negara sama.

Aku harap Chong kalau boleh akan membantu menunjukkan Murielle jalan pulang ke Korea Selatan.

Aku geledah pusat bahasa. Aku gagal bertemu Chong.

Aku letih dan sedih. Aku masuk ke café biasa aku yang tidak jauh dari pusat bahasa.

Sebelum kopi aku sampai melalui kaca dinding aku ternampak Kim berjalan. Aku keluar menyusul Kim.

“Ou est Chong?”

“Tu ne savais pas..kau tak tahu?” Kim tersenyum kemudian mengangkat tangan menjadi kepak untuk terbang.

“Deja a New York. Dah sampai ke New York”.

“Fuck”. Inilah saja ayat dari hati aku yang sempat aku lafazkan.

Epilog:

1) Anak angkat Mia Farrow dari Korea Selatan akhirnya berkahwin dengan Woody Allen bekas kekasih Mia Farrow.

2) Apa terjadi kepada anak-anak angkat Madonna dari Malawi?

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.