- Iklan -
Kolum

Bicara pekak dan bisu

Sama sekali tidak boleh lagi mendengar dan tidak boleh pula berbicara.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Sukar untuk dijelaskan apakah yang terjadi kepada Ketua Kerajaan Republik Hujung Meneni.

Dia bingkas pagi, kehilangan deria pendengaran; sekaligus hilang keupayaan untuk berbicara.

Seakan-akan kotak suaranya pecah, larut dan tertelan langsung masuk dalam usus dan kemudian pergi bersama-sama najis yang diteran keluarkan.

Ia berlalu sebagai tahi dalam lubang jamban.

Apabila doktor dan pengarah kesihatan tiba di mahligai dan memeriksa ketua kerajaan, mereka membuat satu kesimpulan, ketua negara itu sudah menjadi pekak dan bisu.

Sama sekali tidak boleh lagi mendengar dan tidak boleh pula berbicara.

Beberapa menteri yang menjadi penyokong kuat ketua kerajaan dengan rasa cemas merayu, seraya menangis; agar tidak meletakkan jawatan.

Ini kerana kerajaan yang dipimpin oleh ketua kerajaan itu memiliki kelebihan yang sangat tipis di Kongres.

Ketua kerajaan hanya mengatasi dengan satu undi.

Maka, satu rencana dibuat dengan tergesa-gesa iaitu Speaker Kongres digantikan, masa perbahasan di badan penggubalan undang-undang dipendekkan, dan kemunculan ketua kerajaan dihadkan secara rakaman.

Usaha menutup apa yang berlaku itu menjadi lebih lebat dan hebat apabila seorang menteri kanan mencadangkan seorang lelaki yang dapat menyerupai ketua kerajaan berpura-pura.

Aktor itu diminta menyamar sebagai ketua kerajaan, bercakap sepertinya, berjalan sepertinya, dan tampak sembap sepertinya juga.

Pada mula, pengarah kesihatan enggan bekerjasama, namun, beliau juga tidak lagi membantah kerana ketua kerajaan yang pekak dan bisu kelihatan terlalu biasa dan lumrah buatnya.

Justeru, pengarah kesihatan juga ikut sama dalam kerja bodoh itu.

Menteri kanan berjaya memadamkan rasa bimbang ketua kerajaan, dan memujuknya agar tidak meletakkan jawatan.

Semua bisa diatur, kata menteri kanan dan seharusnya tidak apa-apa perlu digusarkan.

Sebuah badan yang berjasa ditubuhkan secara rahsia untuk melakukan kerja perang saraf demi menutup kelemahan kerajaan, menggempur suara pembangkang dan mengupah khidmat sekumpulan seniman untuk meneruskan lakon sandiwara ini.

Bajet yang diperlukan adalah untuk para pengarang mengubah dan menetapkan satu naratif yang benar sesungguhnya benar dan tidak lain tidak bukan melainkan benar mengenai ketua kerajaan yang pekak dan bisu itu.

Aktor itu diminta menyamar sebagai ketua kerajaan, bercakap sepertinya, berjalan sepertinya, dan tampak sembap sepertinya juga.

Bajet itu juga adalah untuk membiayai bukan seorang tetapi beberapa orang pelakon menyerupai ketua kerajaan.

Dana besar diperlukan misalnya untuk menggemukkan pelakon sesuai supaya kelihatan persis umpama ketua kerajaan yang saban hari tampak boyak.

Biaya badan berjasa itu juga untuk mengupah juru solek yang akan sentiasa ada untuk menyiapkan pelakon-pelakon tersebut.

Badan berjasa itu juga berperanan merakam aneka video dan filem pendek berupa pelbagai perutusan khas.

Ini bagi mengelakkan rahsia yang ketua kerajaan sudah menjadi pekak dan bisu dari diketahui orang awam.

Projek badan rahsia yang berjasa itu diberi nama kod nama Cendana.

Doktor memanggil beberapa pakar untuk memeriksa keadaan kesihatan ketua kerajaan.

Salah seorang pakar kosmetik percaya, deria pendengaran ketua kerajaan terjejas sementara ekoran kanser buah zakar.

Menteri agama menyarankan agar badan berjasa membayar seribu anak-anak tahfiz untuk membaca ayat suci al-Quran untuk buah zakar kiri; dan seribu lagi berzikir untuk buah zakar kanan.

Ini adalah untuk memastikan kesihatan ketua kerajaan kembali pulih dan doa amat penting untuk membaiki keadaan.

Untuk seketika, berkat lakonan cemerlang; tidak ada siapa pun menyedari ketua kerajaan sudah menjadi pekak dan bisu. Kehadiran beliau di Kongres juga sangat singkat, dan dia tidak membuka mulut sama sekali.

Pada banyak keadaan, pelakon-pelakon berbayar itulah ketua kerajaan.

Pendek kata, wartawan dan pengamal media juga tidak mengesani sebarang keanehan pada ketua kerajaan.

Ini kerana jika ketua kerajaan itu tidak bisu atau pekak sekalipun, dia memang pun seperti pekak dan bisu.

Lama kelamaan ketua kerajaan yang pekak dan bisu itu akhirnya benar-benar menjadi pekak dan bisu. Yakni pekak dan bisu batini.

Ia tidak lagi mendengar keluhan rakyat dan orang biasa.

Derita  nelayan tidak bersipongang lagi dari tengah lautan membawa ke Kongres.

Kemeranaan petani tidak lagi berdengung dari tengah estet dan ladang bertiup dibawa angin membawa ke mahligai.

Nestapa anak-anak miskin yang kelaparan tidak lagi bergetar di gegendang telinga ketua kerajaan.

Sengsara siswa tiada dalam kamus ketua kerajaan.

Resah kelas menengah tidak dirai dan diketahui.

Para aktor dan seniman dalam badan yang berjasa memainkan peran dengan begitu jaya.

Sehingga Kabinet dan para menteri ikut terbuai di sebalik kemewahan.

Suara bantahan dan melawan kian keras dan suara itu berpilin menderu dan menggamat.

Namun, kerana pekak dan bisu, ketua kerajaan percaya semua terurus dengan licin.

Semuanya, setiap satunya.

Akan tetapi dek pekak dan bisu, ketua kerajaan juga tidak mengendus pangkal kerja bawah tanah menteri kanan.

Sebagai orang yang bercita-cita menggantikan ketua kerajaan, menteri kanan tahu kelemahan penguasa di atasnya.

Namun demikian, dia tidak mahu melakukan dengan cara murahan dan keji dan dia tidak perlu mendedahkan rahsia ketua kerajaan yang pekak dan bisu itu.

Apa yang menteri kanan lakukan sungguh mudah, ketika pembentangan belanjawan republik, angka yang begitu menonjol disalurkan untuk badan berjasa – badan yang berfungsi untuk menyembunyikan rahsia ketua kerajaan – yang mana angka itu kelihatan bukan lagi satu metafora berkias.

120 juta untuk sebuah badan yang berjasa? Apa jasanya? Apa yang dilakukan oleh badan itu selama ini?

Di Kongres, sorak sorai kedengaran.

Pembangkang mempertikaikan jumlah besar untuk satu badan yang tidak jelas tujuan dan matlamatnya.

Badan berjasa? Berjasa bagaimana dan untuk apa? Oleh sebab tiada huraian yang terang, makin ramai mengandai-andai.

Riuh rendah semakin tinggi riuhnya, cela marah makin memuncak.

Mengapa satu peruntukan khas menggila dengan angka tidak munasabah diperuntukkan?

Betapa ramai yang mengorek dan menggali apa yang badan berjasa lakukan.

Mereka terkejut menemukan badan berjasa mendanai sekumpulan pelakon sandiwara, pengarang dongeng, mak andam dan pembikin filem yang bekerja mutlak untuk ketua kerajaan.

Maka kemarahan makin menggema, pun ketua kerajaan tidak merasai.

Dek pekak dan bisu, rasa cemas semakin berkesiuran dalam kalangan politikus dan rakyat.

Jerit laung melata di segenap ceruk penjuru negeri; Pekak! Bisu! Pekak! Bisu!

Teriak itu makin melengking dan merebak. Pekak! Bisu! Pekak! Bisu!

Di sebalik tabir jendela pejabat, menteri kanan melihat gelombang besar sedang menuju mahligai ketua kerajaan yang tidak lagi mendengar.

Menteri kanan tahu, kebencian rakyat itu juga akan dilampiaskan kepada golongan seniman dan budayawan.

Mereka akan dituduh kumpulan yang mendapat manfaat.

Setiap kali terdapat helah dan muslihat siasah, akan ada satu kelompok untuk dipersalahkan.

Pekak! Bisu! Pekak! Bisu! Pekak! Bisu!

Menteri kanan menebar senyum. Rekah bibir senyuman itu melebar.

Pekak! Bisu!