- Iklan -
Kolum

Segar ke ikan saya?

Banyak cara digunakan untuk menilai kesegaran ikan termasuk melihat warna insangnya.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Tiada ikan yang lebih segar daripada ikan yang dibawa pulang oleh nelayan bot kecil.

Ini kerana tempoh kematian ikan daripada nelayan bot kecil adalah antara yang tersingkat sebelum ia sampai ke kuali mahupun peti sejuk di rumah pelanggan.

Nelayan bot kecil keluar ke laut jarang melebihi sehari.

Ini yang membezakan kualiti ikan yang ditangkap oleh nelayan bot besar yang keluar menangkap ikan untuk berhari-hari lamanya sebelum pulang ke daratan.

Segar ataupun tidak satu-satu ikan amat bergantung kepada tempoh kematian ikan, dan apa yang telah dilakukan kepada ikan tersebut sehingga tiba di rumah pelanggan.

Di pasar awam, pagi dan malam, ikan-ikan dijual di dalam bentuk segar atau fresh.

Segar di sini bukanlah bermaksud tahap kesegaran ikan tersebut tetapi ia di sini bermaksud ikan itu belum dibekukan.

Ia hanya dilapik ais sejurus ditangkap sehingga tiba di pasaran untuk dibeli para pelanggan.

Ikan-ikan yang segar ini dibiarkan di dalam bentuk asal tanpa disiang mahupun dibersihkan, kerana ikan-ikan dijual berdasarkan berat kasarnya.

Pelanggan perlu membayar harga berdasarkan seluruh berat ikan meskipun bahagian-bahagian organ dalaman ikan akan disiang dan dibersihkan sejurus wang ringgit bertukar tangan.

Sejurus ditangkap, ikan-ikan ini dimasukkan ke dalam tong-tong berserta ais di dalamnya untuk dihantar ke tempat menjual.

Segar di sini bukanlah bermaksud tahap kesegaran ikan tersebut tetapi ia di sini bermaksud ikan itu belum dibekukan.

Masalah akan timbul jika ais tidak dilapik dengan baik.

Misalnya ikan-ikan hanya sejuk di kawasan permukaan badan, tapi tidak di kawasan organ dalamnya, seperti perut dan insang, kerana tidak terkena ais.

Ini menyebabkan organ dalaman mula mereput lebih awal – akibatnya air dan ais di dalam tong yang membawa ikan itu berbaur hanyir yang kuat.

Bayangkan apa yang berlaku kepada ikan-ikan ini jika perjalanannya berjam-jam sebelum tiba di pasar untuk dibeli para pelanggan?

Malah, keadaan ikan akan menjadi lebih teruk apabila penjual ikan mengeluarkan ikan tersebut dari tong ke atas meja bersuhu bilik – tapi dia tidak berjaya menjual ikan tersebut lalu meletakkan ikan itu kembali ke dalam tong ais yang sama untuk dijual keesokkan hari.

Ramai yang mempunyai cara tersendiri untuk memilih ikan segar.

Ada yang melihat pada kelutsinaran mata, ada yang membelek insang melihat warnanya, ada yang memerhati keadaan badan ikan dan sebagainya.

Ramai juga yang bergantung kepada kejujuran penjual ikan itu sendiri.

Namun, sehebat-hebat tupai melompat, ramai kena akui bahawa kita pernah terbeli ikan yang kurang segar meskipun segala penilaian telah dibuat.

Ini kerana mata kita tidak dapat menjawab persoalan utama – iaitu sudah berapa lamakah ikan itu sudah mati?

Jawapan samada satu-satu ikan itu segar mahupun tidak amat bergantung kepada soalan di atas.

Minggu depan, kita akan meneroka mentaliti pelanggan dari sudut membeli ikan.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.