Jika diberi pilihan membeli ikan – antara ikan hidup, ikan segar dan ikan beku yang manakah akan menjadi pilihan kalian?
Dalam minda pembeli, kesegaran ikan akan menjadi penentu.
Oleh itu, sudah tentunya ikan hidup akan menjadi pilihan pertama, diikuti dengan ikan segar dan jarang sekali akan terlintas dalam fikiran untuk membeli ikan beku melainkan ikan itu daripada jenis yang mahal seperti kelah merah, empurau, patin liar, terubuk dan sebagainya.
Ini kerana persepsinya ialah ikan beku adalah kurang segar dan sudah disimpan lama berbanding ikan segar dan sudah tentunya, kedua-dua ikan segar dan beku tidak dapat menandingi kesegaran ikan hidup.
Keseronokan membeli ikan hidup memang tinggi.
Ikan hidup masih berenang dan melompat-lompat di dalam beg plastik ketika tiba di rumah memang mengujakan.
Anak-anak juga seronok melihatnya.
Namun begitu, keseronokan itu sementara sahaja.
Bagi yang mahir menyiang dan membuang sisik ikan, membeli ikan hidup tidak menjadi masalah besar.
Tapi bagi yang tidak mahir bab ini, keseronokan membeli ikan hidup akan berubah menjadi mimpi ngeri meskipun harga yang lebih tinggi biasanya dibayar untuk ikan hidup berbanding ikan segar dan beku.
Ini berbeza dengan mereka yang membeli ikan segar atau beku.
Kedua-dua jenis ini, ikan sudah dibersihkan dan pengguna boleh terus memasaknya atau menyimpannya ke dalam peti sejuk, meskipun harganya lebih rendah berbanding ikan hidup.
Ramai pembeli yang akan memilih ikan segar berbanding ikan beku.
Ingin saya ulang bahawa ikan segar di sini cumalah bermaksud ikan itu belum dibekukan dan bukannya tahap kesegaran.
Namun, bagi pembeli sudah ada persepsi bahawa ikan segar adalah lebih segar berbanding ikan beku.
Ikan hidup masih berenang dan melompat-lompat di dalam beg plastik ketika tiba di rumah memang mengujakan.
Jangan terkejut jika ramai pembeli yang menyangka ikan hanya dibekukan kerana ia tidak dapat dijual.
Bukan itu sahaja, mereka lebih rela memilih ikan segar berbanding ikan beku kerana mereka tidak pasti berapa lama ikan tersebut dibekukan walhal mereka juga tidak pasti berapa lama ikan yang dikatakan segar itu mati sebelum dibeli mereka.
Mari kita meneroka kembali soalan ini – segar ke ikan saya?
Menurut seorang sahabat saya yang bekerja di Magfoods.my, yang mengusahakan sangkar ikan di Pulau Ketam, kesegaran ikan terbahagi kepada dua peringkat – di peringkat membeli dan di peringkat ikan dimasak atau dimakan.
“Ramai pembeli hanya mementingkan kesegaran di peringkat membeli tapi terlupa kesegaran ikan ketika dimasak atau dimakan,” katanya.
Tidak dinafikan, ikan hidup dan segar adalah lebih sedap berbanding ikan beku jika ia dimakan pada hari yang sama ikan itu disiang.
“Oleh sebab itu, Magfoods tetap menjual ikan segar yang disiang dan dikirim pada hari yang sama, walaupun ada juga ikan beku,” kata sahabat itu lagi.
“Tapi, ramai yang suka membeli ikan segar tapi tidak makan pada hari yang sama ketika membelinya lalu menyimpan ikan itu di dalam peti sejuk sehingga beku. Ini membazirkan.”
Menurutnya, tahap kesegaran ikan segar yang dibeli lalu dibekukan tidak dapat menandingi ikan yang dibekukan secara profesional ketika kedua-duanya dicairkan untuk dimasak di kemudian hari.
Lebih membazirkan ialah mereka yang membeli ikan hidup dan tidak memakannya pada hari yang sama lalu membekukannya.
Ini kerana tempoh mati ikan segar itu sebelum dibekukan di rumah pengguna sendiri adalah jauh lebih panjang berbanding tempoh mati ikan yang dibekukan secara profesional – di mana sejurus disiang dan dibersihkan serta divakumkan, ia terus dibekukan secara pantas pada suhu -18 Celcius ke bawah.
Oleh kerana ikan ini disiang dan dibersihkan organ dalamannya, daging ikan beku ini akan kekal lebih segar berbanding ikan-ikan segar yang dibeli dari pasar-pasar lalu dibekukan.
Bukan itu sahaja, mereka yang membekukan ikan segar sendiri di rumah jarang akan menvakumkannya terlebih dahulu seperti ikan yang dibekukan secara profesional menyebabkan kesegarannya tidak dapat bertahan lama seperti ikan yang dibekukan secara profesional.
Oleh itu, kepada para pembeli ikan, jangan lagi terkongkong dengan persepsi bahawa ikan segar sentiasa lebih baik daripada ikan beku.
Itu adalah satu tanggapan yang silap kerana kesegaran ikan bukan sahaja bergantung ketika mana ia dibeli, tetapi juga ketika mana ia hendak dimasak.
Tanyalah diri sebelum membeli ikan – bilakah kalian akan memasak ikan tersebut?
Jawapan kepada soalan ini amat penting terutamanya kepada warga bandar yang kini mula membeli makanan laut secara dalam talian kerana wabak Covid-19 sebelum melakukan pesanan – sama ada ikan segar atau ikan beku lebih bersesuaian untuk keperluan kalian.