Baru-baru ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd dengan tajuk Roh terpilih untuk mewakili Malaysia bagi penilaian Anugerah Akademi Ke-93 untuk kategori Anugerah Filem Cereka Antarabangsa. Ada yang saya sukai, dan tentu ada yang tidak saya sukai pada Roh. Tidak ada filem sempurna dalam sejarah perfileman dunia, apatah […]
Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.
Baru-baru ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd dengan tajuk Roh terpilih untuk mewakili Malaysia bagi penilaian Anugerah Akademi Ke-93 untuk kategori Anugerah Filem Cereka Antarabangsa.
Ada yang saya sukai, dan tentu ada yang tidak saya sukai pada Roh.
Tidak ada filem sempurna dalam sejarah perfileman dunia, apatah lagi di peringkat tempatan.
Jadi ulasan ini tentang apa yang saya suka dan tidak.
Ia hanya satu pandangan dan tidak perlu terlalu dipertengkar, apatah lagi difikirkan.
Pembukaan kelam Roh (malah seluruh filem ini kelam dan gelap) menjanjikan sesuatu; ya untuk sebuah filem dengan genre seram.
Pun kelam tidak mesti seram. Juga, seram tidak perlu kelam.
Roh, saya percaya terbangkit dari latar Melayu, mungkin saja dibangkitkan dari faham alam Orang Asli.
Meskipun karyawannya mendakwa Roh merujuk secara ilhaminya kepada filem klasik Jepun yang terkenal Onibaba.
Melayu, sebagai bahagian daripada masyarakat besar Malayonesia sangat diketahui mengimani apa yang Prof Shaharir bin Mohamad Zain sebutkan sebagai “alam yang tiada tercerapkan, yang halimunan, atau yang ghaib”.
Istilah lamanya adalah arupa (atau sesuatu yang tiada nampak rupanya).
Kepercayaan terhadap dunia arupa ini berakar sejak era Melayu berpegang kepada animisme, Hinduisme dan Buddhisme.
Hal ini terpancar misalnya pada kepercayaan kepada segala hantu-mantu, kekuasaan orang halus, “benda menegur dalam hutan”, bunian, penunggu, mak lampir khianat, toyol Sandakan, pelesit, sehinggalah anasir bodoh ini terangkat dimuliakan kepada dewa-dewi.
Meskipun kemudiannya Islam tiba, dan Islam dicorakkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia atau Jakim, kekuasaan arupa ini tidaklah luput malah berpindah kepada sosok raja, agamawan (contoh mengkultuskan tuan guru tertentu), pawang, bahkan bos atau pengarah (untuk penjawat awam).
Makanya Melayu takut oleh anasir tanpa rupa, yang arupa. Demikian menyedihkan ia meletakkan Melayu dalam keadaan tidak dapat bergerak ke hadapan.
Atas hujahan di atas inilah, rujukan kuasa jahat di dalam hutan yang diterjemahkan atau disebut sebagai roh (atau soul) banyak tidak tepat.
Roh bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
Roh adalah wujud sebenar kita yang bernyawa, dan ia duduk dalam jasad kita sebagai sangkarnya.
Beza roh haiwan dan manusia ialah akal.
Mungkin yang lebih cocok sebagai judul dan mewakili seluruh konsepsi filem ini ialah “Semangat” atau spirit: arupa.
Roh adalah mengenai dunia arupa ini, atau arupaisme. Takut kepada hal-hal yang tiada rupa. Jadi tidaklah menghairankan ramai Melayu akan mengatakan ia menyeramkan.
Sebagai sebuah filem seram, Roh sebetulnya tidak pun perlu menabur terlalu banyak syot dari belakang (reverse angle shot) yang sebetulnya hanya memadamkan rasa takut dan mengganggu, yang sepatutnya ada.
Syot sedemikian tidak membantu keseraman atau kegerunan. Satu-satunya komponen untuk “menakutkan” dan membuat audien percaya kepada arupaisme dalam Roh adalah kegelapan; dan mitos pemburu mencari hantu.
Sebagai sebuah filem seram, selepas 30 minit, saya selaku khalayak masih dirasuki tanda tanya.
Filem adalah pengalaman gambar bergerak. Sebagai filem, Roh memenuhi komponen atau aspek ini. Akan tetapi filem juga (termasuk filem genre seram) masih perlu “naratif bertujuan”.
Walaupun lingkungannya adalah mengenai arupaisme Melayu (tak mengapalah ia terilham oleh Onibaba).
Maka perca adegan takut (tanpa rupa, ya kita takutkan apa sebenarnya), darah (sangat banyak darah), bangkai binatang, unggun api sekejap-sekejap, sosok merangkak, pisau misteri, lembing jahanam, dan sergahan muzik suspen; malangnya, sama sekali belum memadai.
Setelah 45 minit di dalam filem, naratif Roh masih terlalu abstrak.
Ia abstrak bukan kerana ia ingin mengangkat arupa tetapi ia abstrak kerana ia tersangat ingin mencuba. Roh begitu sesuai di festival filem yang eksperimental. Ia akan diterima. Insya Allah.
Filem seram tidak harus kehilangan punca. Malah filem seram seluruhnya adalah mengenai punca.
Pun punca bukan puncak dalam filem genre seram. Puncaknya masih peleraian naratif (sekusut atau arupa mana pun).
Roh ingin mengungkapkan persoalan syaitani, puja-pemujaan dan dunia magis Melayu itu.
Filem ini cuba mengangkat arupa, segala mitos dan lipur purba tetapi pelbagai lambang dalam Roh tidak terungkapkan.
Padahal setiap lambang mesti diberi rujukan. Maka pisau, lembing, batu tajam, unggun api, tertinggal sepi.
Kata-kata Mak, “Aku tak faham” kepada Tok dan Pemburu merumuskan seluruh naratif ini.
Sayang juga adegan akhir Tok dan Pemburu yang sudah tercedera terlalu meleret dan bertele.
Seolah-olah semua yang ingin disampaikan oleh karyawan dilepuk sekali dalam 5 minit terakhir (yang masih menimbulkan musykil yang banyak).
Pengarahannya Roh bergentayangan.
Mungkin kita tidak perlu terlalu keras terhadap Emir Ezwan yang mengemudi filem panjang pertamanya, iaitu selepas RM10 (yang mendapat perhatian dunia filem pendek).
Pun ada banyak yang saya sukai dengan Roh.
Lakonan Farah Ahmad sebagai Mak adalah fenomenal. Nam Ron sebagai pemburu sangat membantu.
Tentu Mhia Farhana sebagai Along. Atau Harith selaku Angah, bersama-sama Putri Syahadah sebagai adik.
Kebolehan pelakon kanak-kanak ini melongokan.
Mereka sangat bagus. June Lojong juga berkesan, mungkin lebih baik wataknya tidak dirujuk sebagai Tok (kerana serasa mudanya).
Semua lakonan yang baik ini kurang disokong oleh skrip.
Naratif abstrak dan serasa melilau ini (penuh rayau dalam hutan) diganggu oleh dialog kaku.
Malah, jika Roh dihadirkan dengan dialog minimal ia akan lebih serasa arupa.
Pelakon yang baik tentu akan bekerja dengan mimik muka, dan pakar kamera akan menggandakan.
Aspek teknikal Roh yang sangat ditentukan oleh Taufiq Kamal sebagai pengarah seni, atau Safwan Salleh selaku editor, juga Saifuddin Musa yang berperanan sebagai sinematografer menolongkan Roh.
Belukar hutan Dengkil dan Banting berjaya dipaparkan samun-semak dan penuh arupa.
Mujur juga Reinchez Ng datang dengan muzik, satu komponen nyata dalam genre filem seram, di beberapa tempat terasa-rasa ada Onibaba.
Filem Roh ini bernasib baik kerana parti PAS sudah berada di dalam kerajaan dan sedang sibuk menggomol GLC.
Juga kerana dunia dilanda pandemik.
Jika tidak, Roh mungkin akan bergentayangan di ruang udara Jakim dan dibahaskan syirik khurafatnya tanpa menimbangkan estetika dan eksplorasi yang ingin ia suguhkan.
Roh dengan kos RM360,000 akan mewakili Malaysia ke Anugerah Oscar, tentu tak perlu kos setinggi Puteri Gunung Ledang, atau secanggih CGI Merong Mahawangsa.
Kita ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada tim Roh.
Cuma, saya secara peribadi merasakan terlalu banyak haiwan (yang mungkin dibunuh) untuk Roh tiba di Hollywood.