- Iklan -
Kolum

Yang bersatu akan menang, yang berpecah pasti kalah

Kedudukan pembangkang pada waktu ini adalah unik dalam sejarah negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sudah lebih seminggu dari hari pertama Belanjawan 2021 yang menyaksikan keengganan Pakatan Harapan (PH) berusaha menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi kesan politik daripadanya masih berpanjangan.

Kekecewaan meluas dalam kalangan penyokong PH kerana ahli-ahli Parlimen mereka tidak berdiri menjadikan hari itu sebagai titik ubah yang boleh membawa kepada penyusunan semula politik pembangkang.

Apa yang disebut sebagai pembangkang pada waktu ini terdiri daripada PH, Warisan, Pejuang yang tidak dapat didaftarkan lagi dan parti mempunyai ahli Parlimen tunggal seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Baru Bian.

Kedudukan pembangkang pada waktu ini adalah unik dalam sejarah negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ini kerana pembangkang yang ada ini adalah pemegang mandat rakyat sebab mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menjadi kerajaan sebelum tumbang melalui pembelotan sebahagian ahli Parlimen.

Tempoh mandat rakyat ini belum berakhir.

Sebelum ini semua parti pembangkang adalah mereka yang kalah pilihan raya.

Tetapi dengan penubuhan kerajaan PN, parti-parti yang kalah PRU14 iaitu Barisan Nasional (BN) dan PAS dapat menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tetapi dalam PRU14 lalu, GPS ini adalah BN Sarawak.

Mereka dapat menjadi kerajaan kerana perpecahan dalam parti-parti PH iaitu PKR dan Bersatu.

Maka tonggak PN ialah Bersatu dengan ahli Parlimen pecahan PKR menyertai parti itu.

Ahli-ahli Parlimen Bersatu itu menjadi wakil rakyat atas undi penyokong PH pada pilihan raya tahun 2018.

Sebab itu para penyokong PH amat kecewa dengan “Langkah Sheraton” dan mahukan mandat rakyat dikembalikan.

Sejak penubuhan kerajaan PN, penyokong PH mahukan pemimpinnya mencari jalan mendapatkan bilangan ahli Parlimen yang boleh menandingi pihak lawan.

Tetapi setelah beberapa kali percubaan, ia menemui kegagalan kerana ketiadaan persefahaman antara Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim.

Malah perbalahan mereka menjadi terbuka dan lebih mendalam.

Perkembangan selanjutnya ialah Mahathir dan penyokongnya keluar dari PH.

Sebagai anggota PH, DAP dan Amanah menerima Anwar sebagai ketua gabungan dan calon perdana menteri.

Tetapi parti Amanah pula menghadapi keadaan di mana ada ahlinya menjadi penyokong Mahathir, dengan terdapat pula bukan saja mendokong Anwar tetapi mahu menyertai terus PKR.

Ada satu masa sekitar tahun 2017 ketika Mahathir mahu membawa masuk Bersatu ke dalam PH, beliau menyebut betapa pembangkang di negara ini sentiasa kalah adalah kerana mereka tidak bersatu.

Sebagai seorang ahli politik yang menyaksikan sendiri pilihan raya sejak tahun 1955 dan berjaya mengalahkan pembangkang sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, maka telahan beliau ada benarnya.

Maksud pembangkang bersatu itu adalah bukan saja dapat satu lawan satu dengan BN tetapi juga mempunyai satu calon perdana menteri, menggunakan satu manifesto dan turut penting adalah menggunakan logo yang sama.

Itulah yang Mahathir lakukan dalam PRU14 dan PH menang.

Maka tumbangnya kerajaan PH pula adalah kerana ia tidak lagi bersatu.

Kegagalannya mengembalikan mandat rakyat adalah kerana terus berpecah.

Begitunya dengan kegagalannya dalam sidang pertama Belanjawan 2021 minggu lalu adalah kerana pembangkang tidak bersatu.

Kesan daripada sidang itu menambahkan lagi perpecahan pembangkang.

13 ahli Parlimen yang bediri terdiri daripada kesemua empat ahli Pejuang, setiap seorang daripada DAP, PKR dan PSB sementara yang lain adalah dari Amanah.

Tetapi perpecahan paling besar datang daripada para penyokong PH yang umumnya mahu parti mereka berdiri menolak Belanjawan 2021 dan mencabar kesahihan kerajaan PN.

Reaksi mereka dalam media sosial adalah tajam sehinggakan pemimpin PH terpaksa bersikap rendah diri dan meminta maaf.

Bukan itu saja, kemarahan penyokong-penyokong PH membawa kepada mempertikaikan kewibawaan Anwar selaku ketua pembangkang dan calon perdana menteri.

Malah ada penyokong PH yang begitu kecewa dan merajuk dengan tidak mahu lagi mengambil peduli dengan perkembangan politik negara.

Jika suasana ini berterusan dengan PRU15 semakin hampir, maka mungkin perlu penyusunan semula politik pembangkang.

Perlu diingatkan bahawa bukan saja pemimpin-pemimpin PH merupakan generasi pembangkang tahun 1970-an, tetapi juga para penyokongnya.

Tradisi pembangkang di negara ini adalah dari kalangan mereka yang menentang Umno, Perikatan dan BN.

Ada kalanya mereka menyertai kerajaan terutama ketika penubuhan BN, tetapi teras pembangkang adalah penolakan terhadap fahaman politik Umno.

Generasi lama apabila kebanyakannya meninggal dunia diganti dengan lapisan baharu.

Generasi Mahathir tentunya sudah lama tiada.

Pada masa ini, kemuncaknya ialah generasi Anwar yang antaranya lahir daripada aktivisme pelajar tahun 1970-an.

Khamis lalu, 3 Disember adalah ulang tahun ke-46 demonstrasi pelajar yang melontarkan Anwar sebagai seorang bakal pemimpin negara.

Dari tahun 1974 ketika berlakunya demonstrasi itu hingga ke hari ini, sudah berlapis-lapis generasi baru yang menjadi penyokong pembangkang, iaitu mereka yang menolak fahaman dan amalan politik Umno.

Setiap tahun bilangan mereka bertambah yang akhirnya turut mampu menumbangkan kerajaan BN dalam PRU14.

Tetapi penyokong fahaman dan amalan politik Umno juga bertambah generasi berganti generasi.

Sebarang kemerosotan sokongan diimbangi pula dengan PAS yang kini bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional dengan suatu fahaman eksklusif populis politik identiti Melayu-Islam.

Sedangkan secara tradisinya, sejak keluar daripada BN pada tahun 1978, PAS merupakan wadah bagi penyokong-penyokong pembangkang yang menolak fahaman Umno.

Kini PAS adalah sebahagian daripada kerajaan PN yang fahaman politik utamanya terletak pada Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

Walaupun ketika Mahathir menubuhkan Bersatu beliau bercadang untuk menjadikannya sebagai pengganti Umno, tetapi kini ia sudah berbeza kerana adanya bekas ahli PKR pimpinan Azmin.

Ia tidak akan menggantikan Umno tetapi mempunyai identiti sendiri dengan sikap lebih pragmatik.

Jadi apa yang penyokong-penyokong PH tentang adalah suatu fahaman politik pragmatik terdiri daripada Bersatu, BN dan PAS.

Sejak menjadi kerajaan, isu-isu mengenai Melayu-Islam yang selama ini dikempenkan oleh Umno-PAS ditenggelami dengan pragmatisme pengekalan kuasa.

Di pihak pembangkang pula, parti yang ada ialah PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Pejuang yang belum diluluskan pendaftarannya dan Warisan dari Sabah.

Bagaimanakah mereka boleh bersatu untuk memenangi PRU15?

Tidak dapat dibayangkan lagi bagaimana pembangkang wajar disusun semula untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Tetapi syarat utamanya ialah mereka perlu bersatu.

Perlu diingat bahawa kerusi yang kini mereka pegang datang dari penyokong-penyokong PH yang antaranya kerana faktor Mahathir dan isu kleptokrasi BN.

Sebahagian daripada mereka kini menjadi penyokong PN.

Jika ada penyokong PH yang kecewa dengan gelagat pemimpin mereka dan mengambil keputusan untuk tidak mengundi sesiapa, maka bertambah kecil lagi peluang bagi pembangkang untuk menang,

Tetapi politik bersifat dinamik dan tidak statik.

Banyak perkara boleh berlaku sebelum PRU15.

PN pun tidak stabil.

Hubungan antara Bersatu dengan PAS mempunyai sisi tersendiri.

Paling kritikal ialah hubungan antara Bersatu dan Umno. Begitu juga hubungan BN dengan PAS dalam gagasan Muafakat Nasional.

Siapa yang bersatu akan menang, siapa yang berpecah akan kalah.