- Iklan -
Kolum

Siapa yang berpecah akhirnya?

Mungkinkah pengalaman 22 bulan menjadi pembangkang terlalu pendek bagi Umno.

Timmy Say
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ketika jangkitan wabak Covid-19 masih berada di paras empat angka dan ekonomi rakyat menjadi semakin tenat, ahli-ahli politik Malaysia sempat lagi terus bergasak mencetuskan satu demi satu krisis politik.

Minggu lalu di Perak, majoriti ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Umno Perak memilih untuk menjatuhkan bekas menteri besar (MB) Ahmad Faizal Azumu, apabila tidak menyokong usul undi percaya.

Dari sudut persepsi politik, insiden ini boleh dirumuskan bahawa Adun Umno menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dengan bantuan Adun Pakatan Harapan (PH).

Sejurus setelah Faizal dijatuhkan, Setiausaha Agong Umno Ahmad Maslan menjelaskan bahawa krisis politik di Perak hanya melibatkan calon menteri besar, tanpa menjejaskan kerajaan PN.

Namun, perkara itu menjadi samar-samar apabila PAS pusat mengumumkan tidak akan menyertai perbincangan untuk mewujudkan kerajaan baru di Perak, dan Bersatu pula mengumumkan akan terus bersama PAS dalam PN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan keutamaan Umno adalah mengekalkan kerjasama bersama Muafakat Nasional (MN) dan PN.

Namun begitu, Zahid sekali lagi membuka simpang politik bagi Umno apabila beliau juga berkata partinya bersedia untuk bekerjasama dengan PH, termasuk DAP bagi membentuk kerajaan di Perak.

Umno katanya, perlu berdepan dengan realiti, dan barangkali perkara yang dimaksudkan Zahid ialah kemungkinan Umno gagal membentuk kerajaan negeri kerana PAS dan Bersatu enggan bersamanya atas tindakan Adun parti Melayu itu di Perak.

Apa yang lebih menarik ialah, kenyataan Zahid itu terus disambut senada oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Isu senada ini menyebabkan ramai yang terkenang insiden bulan September lalu di mana Zahid menjadi watak pertama yang bersuara menguatkan persepsi menyokong hujah Anwar Ibrahim yang mengumumkan sudah mempunyai majoriti untuk menjadi perdana menteri ke-9.

Cuma tidak pasti, apakah ada lagi surat tersembunyi lagi kali ini seperti surat kepada Agong menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang ditulis bersama Najib Razak yang masih belum dinafikan kedua-dua mereka setakat ini?

Masalah Umno terbesar ialah ada sebahagian pimpinan tertingginya merasakan parti itu sedang dibuli.

Siapa yang sedang membulinya? Pada pendapat mereka ialah Bersatu.

Contohnya di Perak, ada yang berpendapat mengapa Umno yang mempunyai 25 Adun tidak memegang kuasa menteri besar sebaliknya dipegang Bersatu yang sekadar mempunyai 5 Adun, maka terjadilah apa yang terjadi.

Baru sembilan bulan kembali menjadi kerajaan barangkali menyebabkan Umno terlupa walaupun memiliki 25 Adun, sebelum ini mereka hanya mampu duduk sebagai pembangkang.

Bersatu yang menyebabkan 25 Adun Umno ini duduk di bangku kerajaan.

Perkara ini PAS tidak lupa, oleh itu di hari pengundian usul percaya terhadap MB Perak, parti Islam itu memilih untuk terus menyokong Faizal.

Bagi PAS, Umno dan Bersatu sama penting.

Bagi Umno, Umno paling penting, dan mereka mengharapkan PAS akan sentiasa memilih mereka mengatasi Bersatu apabila berlaku krisis.

PAS pula inginkan Umno menerima Bersatu dan ketiga-tiga parti dapat duduk bersama.

Apabila Belanjawan 2021 diluluskan di Parlimen, ramai merasakan pimpinan Umno sudah menutup “simpang T” yang dibuka Zahid untuk memilih terus bersama PN atau bersama Anwar.

Krisis Perak menyebabkan simpang T Umno ini dibuka sekali lagi.

Minggu ini, rakyat bakal melihat sama ada Umno akan mengambil sikap memujuk, atau menggunakan sikap mengugut “terima, jika tidak, kami akan pergi ke PH” di dalam rundingan bersama PAS dan Bersatu untuk membentuk kerajaan negeri Perak.

Jika Umno memilih untuk bersama PH, mereka tidak mungkin dapat bekerjasama dengan PKR dan Amanah sahaja tanpa melibatkan DAP.

Ini kerana PH tidak mungkin mengambil risiko berpecah sesama sendiri demi membentuk kerajaan bersama Umno di Perak.

Yang mereka harapkan ialah PH dapat terus bersatu di dalam kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan Perak menyebabkan PN berpecah sehingga peringkat persekutuan.

Bagi PH, kerjasama ini tidak merugikan langsung.

Jika berjaya, Umno dapat dilemahkan kerana berpisah dengan PAS dan Bersatu, dan undi Melayu berpecah.

Dan barangkali BN juga dapat dikuburkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH mempunyai kelebihan bertanding secara sendiri berlawan tiga penjuru antara Umno dan PN.

Oleh itu, pilihan Umno kali ini bakal menyaksi sama ada pengundi Melayu akan kekal bersama mereka pada PRU15 atau beralih ke PAS dan Bersatu yang dilihat lebih konsisten untuk tidak bersama PH, yang melibatkan DAP.

Apakah mungkin pengalaman 22 bulan menjadi pembangkang terlalu pendek bagi Umno sehingga ada yang terus berusaha untuk mengembalikan pengalaman tersebut pada PRU15 nanti?

Sama-sama kita saksikan siapa yang akan berpecah akhirnya!

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.