- Iklan -
Rencana

Menjawab hujah dan fitnah Puad Zarkashi

Agak pelik apabila Puad Zarkashi masih tidak mengenali saya walaupun selepas dua tahun bekerja bersama.

Tun Faisal Ismail Aziz
5 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi. Gambar: Facebook
Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi. Gambar: Facebook

Agak pelik apabila mantan ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno dilantik, Puad Zarkashi masih tidak mengenali saya walaupun selepas dua tahun bekerja bersama.

Puad sepatutnya lebih tahu saya bukan jenis “Yes Boss” dan berani menyatakan kebenaran termasuklah ketika dia menjadi bos saya.

Sepanjang hidup, prinsip saya adalah taat kepada ulil amri dan menjaga institusi, termasuk institusi presiden dan organisasi yang diwakili.

Taat tidak bermaksud tidak menegur jika mereka melakukan kesalahan dan menyalah guna kuasa. Taat juga tidak bermaksud taksub.

Saya tidak mempertahankan bos, sepertimana Puad mempertahankan “Bossdia”, “Bosskau” atau “Bossku” walaupun bos-bos ini melakukan kesilapan, menyalah guna kuasa dan melanggar dasar parti.

Saya hanya akan mempertahankan mereka jika mereka masih berada di landasan yang benar dan tidak menyeleweng daripada prinsip perjuangan.

Saya ada prinsip dan pendirian sendiri. Saya bukan taksub individu atau taksub personaliti tertentu.

Semasa di Jasa, saya puji Puad kerana dia seorang ketua pengarah yang rajin, kuat kerja, banyak idea, jaga kebajikan pegawai dan berani bersuara, tetapi saya tidak mempertahankan Puad jika dia melakukan kesilapan dan menyalahgunakan kuasa.

Malah, pegawai-pegawai Jasa tahu saya antara yang paling berani memperbetulkan kesilapan-kesilapan Puad akibat sifat ego dan panas baran beliau semasa di Jasa.

Mereka akan mencari saya dan akan meminta bercakap dengan Puad kerana mereka tahu saya berani berhadapan dengan dia.

Malah tidak keterlaluan jika ada dalam kalangan pegawai Jasa yang mengatakan Puad yang sebenarnya takut kepada saya.

Di Melaka, semasa program sekolah Jasa, ada yang memaklumkan Puad begitu marah kepada saya kerana tersilap membentangkan hal berkaitan penjenamaan.

Tapi apabila di depan saya, nada Puad terus berubah menjadi lembut, sehingga menganggap kesilapan saya itu hanya masalah salah komunikasi.

Kata mereka, mungkin Puad takut kerana saya ada kekuatan di media sosial.

Kata yang lain, Puad takut nak memarahi saya sebab tak mahu kehilangan saya kerana saya antara yang paling boleh diharapkan untuk menjawab pelbagai isu dalam “town hall” Jasa di dalam dan luar negara.

Ada juga yang kata, Puad takut kehilangan saya sebab saya sahajalah “panglima perang” Jasa yang boleh diharapkan untuk ke hadapan mempertahankan perdana menteri, presiden, kerajaan, Jasa dan diri beliau sendiri selepas ketiadaan Lokman Noor Adam.

Tak tahulah saya yang mana satu betul.

Apa pun atas faktor inilah, pegawai-pegawai Jasa akan berjumpa saya, mengadu hal dan meminta saya menegur dan membetulkan kesilapan-kesilapan Puad.

Dalam kes Lokman, tindakan Puad “menyejuk bekukan” beliau dianggap salah oleh para pegawai Jasa.

Saya berusaha membetulkan kesilapan Puad ini, tetapi, kerana Lokman dan pegawai-pegawai bawahannya juga bertindak menyerang ketua pengarah Jasa itu di media sosial, saya anggap Lokman tidak lagi boleh diselamatkan.

Ada tiga orang lagi pegawai Jasa yang hampir kehilangan kerja akibat kesilapan Puad.

Siapakah yang menyelamatkan mereka jika Tun Faisal tidak berani membetulkan kesilapan-kesilapan bosnya?

Jadi jangan tuduh saya tidak berani menegur Bosssaya, Bosskau atau Bossku jika mereka melakukan kesalahan, cuma prinsip saya, saya tetap akan menjaga institusi.

Kenapa saya tidak komen video Annuar Musa?

Sebab ia adalah kisah lama. Hari ini prinsip Annuar kekal “No Anwar, No DAP” dan mempertahankan Permuafakatan Ummah.

Jika hari ini, beliau seperti Puad, menyokong DAP dan mahu memecah belahkan ummah, saya juga akan membuat teguran yang serupa seperti yang saya buat terhadap Puad, Bossdia, Bosskau dan Bossku.

Samalah seperti Puad. Puad mengaku beliau terlibat dengan gerakan sosialis sebelum melarikan diri dari Brunei.

Tetapi selepas itu beliau menjadi Islamis dan terlibat dengan PAS, PMIUM dan Umno.

Jadi tak perlulah saya hukum Puad hari ini kerana anutan beliau pada masa silam.

Hari ini, yang mahu menghalalkan kerjasama dengan DAP dan mencadangkan sesuatu yang bertentangan dengan keputusan dasar parti ni Puad atau Annuar?

Tidak bolehkah Puad menjawab “straight to the point”, pertama, benar atau tidak benar ada usaha dan konspirasi dalam kalangan ahli MKT untuk mengubah dasar ‘No Anwar, No DAP’ yang dipegang oleh Umno ketika ini?

Kedua, benar atau tidak benar, apabila beliau mencadangkan kerjasama dengan DAP, beliau juga sebenarnya sebahagian daripada konspirasi ini?

Adakah pada pendapat saya Puad dimalukan apabila tidak dinamakan sebagai calon PRU14?

Jawapan saya kekal, ya dan saya nak tambah, bukan sahaja beliau rasa dimalukan malah beliau sangat marah dengan Bossdia, pemimpin-pemimpin Umno tertentu dan keputusan yang dibuat sehingga meletak jawatan sebagai ketua pengarah Jasa dan mengugut mahu menjadi calon bebas.

Saya sendiri jika tidak dinamakan sebagai calon dalam PRU15, tidak sekali-kali akan melakukan apa yang Puad lakukan.

Malah saya akan tetap membantu memenangkan calon yang dinamakan oleh parti dan mengundi calon tersebut.

Di manakah Puad sewaktu PRU14?

Adakah beliau di Batu Pahat dan membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN)?

Alhamdulillah, di Putrajaya, BN masih dapat menyumbang satu kerusi Parlimen dalam PRU14. Apakah yang disumbangkan Puad di Batu Pahat?

Tak payah lah bercakap mengenai “guilty conscious” mengenai perkara-perkara berkaitan peraturan-peraturan kewangan.

Cukuplah sekadar saya kata, saya tahu dan Puad juga tahu apa yang berlaku di Jasa.

Pendekatan politik yang Puad sebut itu merupakan usaha beliau menjustifikasikan kerjasama dengan DAP seperti justifikasi yang diberikan oleh parti-parti lain, termasuk PAS dan Bersatu sebelum ini.

Hujah Puad, “Umno mampu memimpin siapa sahaja, parti apa pun dan malaun mana pun.

Hatta DAP. Inilah hujah Dr Mahathir Mohamad, Semangat 46 dan PAS untuk bekerjasama dengan DAP.

Akhirnya apa terjadi? Sebelum cukup penggal Mahathir terpaksa menyerahkan jawatan-jawatan penting seperti menteri kewangan, peguam negara dan ketua hakim mengikut kehendak DAP, Icerd dan Statut Rom hampir ditandatangani dan Mahathir sendiri mengeluh kerana tidak mampu mengekang kerakusan DAP.

PAS dan Bersatu sudah sedar bahaya DAP dan menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar?

Puad pula? Masih tak mahu belajar dari sejarah dan hendak dihukum sejarah berulang kali lagi?

Alasan dangkal Puad “ini adalah kerjasama politik untuk kelangsungan hidup rakyat”. Mungkin Puad boleh jawab, apakah rakyat sudah mati di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Tidakkah PN membela rakyat jauh lebih baik daripada Mahathir, DAP dan Pakatan Harapan?

Satu lagi hujah dangkal Puad adalah, “di Johor, speaker daripada Amanah dan timbalan speaker daripada DAP”.

Soalan saya, apakah Umno membentuk kerajaan bersama dengan DAP di Johor?

Sefaham saya, DAP masih duduk di ruang pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Johor.

Dangkalnya hujah Puad sehingga pemberian jawatan timbalan speaker mahu disamakan dengan pembentukan kerajaan bersama DAP.

Hujah apakah ini? Di Johor pun DAP masih pembangkang, boleh tak jangan masuk campur hal di negeri asal saya, Perak?

Saya malas sentuh mengenai pertanyaan Puad ini, “rancangan siapa bila Bossdia desak supaya setiausaha agung Umno buat laporan polis kononnya surat presiden Umno dipalsukan. Itu bukan konspirasi?”. Ini pertanyaan tidak bijak daripada seorang ahli MKT.

Kata Puad, “Tetapi Mahathir lupa semasa dI Jasa, dia kecam Bossdia kerana dapat peruntukan jutaan ringgit daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk projek ‘Malaysia for All'”.

Puad, suka saya ingatkan, berkenaan soal ini, dia yang datang ke kubikel saya dan bertanya pendapat jujur saya sebagai pemikir Jasa mengenai ‘Malaysia for All’, jawapan saya adalah profesional dan tidak mengaitkan dengan mana-mana individu.

Sebetulnya bagi kami di Jasa, kami tak tahu pun siapa di belakang projek ini. Saya tidak tahu apa politik di dalam MKT sehingga mengaitkan projek tersebut dengan individu tertentu, tetapi bagi kami di Jasa, pandangan kami hanya berkaitan laman sesawang dan tidak berkaitan mana-mana individu.

Hujah Puad lagi, “Tetapi Tun Faisal dengan angkuh tuduh saya munafik. Lantas mengemukakan ayat al-Quran Surah An-Nisa ayat 139.”

Ayat 139 Surah An-Nisa ini sangat “straight forward” dan tak susah untuk difahami. Bahagian mana yang tidak faham?

Ada tiga bahagian dalam ayat ini. Pertama, pesanan Allah untuk menyampaikan khabar berita mengenai azabNya kepada golongan munafik, iaitu “khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih”.

Bahagian kedua ayat ini adalah, siapakah golongan munafik itu, “(iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi auliya (teman-teman rapat, teman kepercayaan, teman sepakatan, penolong) dengan meninggalkan orang-orang mukmin.”

Bahagian ketiga pula, “apakah mereka mencari izzah (kekuatan, kemuliaan, kekuasaan) di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya izzah itu kepunyaan Allah keseluruhannya”

Bacalah ayat ini berulang kali dan kaitkan pula dengan gerakan anti penyatuan ummah dan saranan yang dibuat. Apakah tidak ada persamaannya?

Nasihat kepada Puad, tidak perlulah mengikut telunjuk orang yang cuba mewajarkan dan menghalalkan kerjasama dengan DAP sehingga terpaksa menggunakan hujah-hujah dangkal dan menipu mengenai diri saya dan pendirian saya.

Tidak cukupkah dimalukan oleh mereka sebelum ini?

Tun Faisal Ismail Aziz merupakan timbalan ketua Umno bahagian Putrajaya

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.