- Iklan -
Kolum

Ziarah kembali Embun karya Shahnon Ahmad

Embun akhirnya lenyap setelah disejatkan oleh cahaya matahari.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

26 Disember ini masuk tahun ketiga, guru saya Allahyarham Shahnon Ahmad meninggal dunia.

Beliau pergi pada tahun 2017, beberapa bulan setelah ayah saya juga berangkat ke alam abadi.

Minggu lalu saya sengaja-sengaja menelaah semula novelet Embun (2003) yang merupakan salah satu bahagian daripada sebuah trilogi iaitu Lamunan Puitis, ditulis oleh Sasterawan Negara Kedua, Shahnon Ahmad.

Pengarang besar ini, Shahnon mulai mendapat perhatian khalayak sastera menerusi novel beliau Ranjau Sepanjang Jalan (1966).

Shahnon pernah menjadi wakil rakyat Parlimen Sik, Kedah selama satu penggal.

Embun merupakan bahagian ketiga termuat dalam trilogi Lamunan Puitis dan diterbitkan pada 2003 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai sebuah karya, tidak ada cerita yang konkrit dapat ditemukan.

Embun mengisahkan monolog embun sebagai sebahagian dari makhluk Allah yang diberi peranan tertentu sebagai salah satu tanda kewujudan dan kebesaranNya.

Kehidupan embun diasosiasikan dengan kehidupan manusia di mana transit di alam ini hanyalah satu kesementaraan.

Embun akhirnya lenyap setelah disejatkan oleh cahaya matahari.

Meskipun tiada naratif yang jelas, Embun hadir sebagai perlambangan kerohanian yang jitu di mana ia mengetengahkan perbincangan mengenai tiga visi iaitu; Visi Humanisasi; Visi Liberasi dan Visi Transendensi.

Ketiga-tiga visi ini bumbunya berdasarkan ayat suci al-Quran, iaitu ayat 110 Ali Imraan di mana terdapat ‘visi menyeru ke arah kebaikan’ atau ‘visi humanisasi’.

Tugas ‘humanisasi’ ialah untuk ‘memanusiakan kembali manusia’. ‘Visi humanisasi’ di dalam seni sastera haruslah ditampilkan menerusi simbol atau lambang yang juga abstrak.

Dalam Embun, pesan-pesan makruf atau humanisasi disampaikan menerusi ‘leteran’ atau ‘monolog’ watak utamanya iaitu embun:

Baru tadi saja mereka bermanik-manik di hujung rumput dengan melontarkan keindahan yang berkilauan yang juga mempesonakan. Dan pada detik itu memang wujudnya individualiti, tetapi kini bilamana diangkat naik dan berkumpul dalam satu kepadatan, mereka dengan sendiri hilang individualiti itu bagaikan kembali berada dalam satu jemaah untuk meneruskan lagi perjalanan yang lain.

Perenggan di atas menunjukkan kedudukan embun sebagai salah satu entiti alam yang mempunyai kedudukan sendiri.

Kebersamaan dengan entiti lain memberi kekuatan kepada embun.

Selain itu terdapat ‘visi’ kedua iaitu ‘visi liberasi’. Secara mudah ia bermaksud ‘visi untuk mencegah kemungkaran’.

Visi mencegah kemungkaran ini termasuklah usaha pembebasan dan penentangan terhadap eksploitasi ekonomi, penindasan kelas, kezaliman kerajaan, pelanggaran hak asasi manusia dan diskriminasi ke atas gender, etnik atau pegangan politik.

Justeru ‘liberasi’ atau nahi mungkar harus ‘diakui’ sebagai bahagian yang sah daripada seni Islam.

Pesan nahi mungkar dapat ditemui secara ketara dalam novelet ini.

Antara lain Shahnon (2003) berpesan mengenai kepongahan sesetengah manusia.

Kepongahan kerana kegilaan kepada kuasa itu misalnya terlihat pada kutipan di bawah:

Dengan pertolongan daripada Rabbnya ia masih mampu memisahi dirinya daripada jemaah yang mahu menggila di bumi itu.

Bukan. Ia tidak mahu bersama-sama jemaah yang senantiasa bergelombang dan fungsinya cuma mengamuk dan memberang itu. Ia bukan gelombang jenis itu.

Bukan. Ia bukan dalam komplot yang ingin berkonspirasi semata-mata untuk menjaga kepentingan diri dan kepentingan para kroni.

Ia sedar bahawa sebagai sebutir embun, ia begitu kerdil dan lemah, tetapi tidak pula begitu rendah dan hina dirinya sehingga rela dirinya diperalat oleh sesiapa, terutama oleh jemaah yang hanya ingin berganas, berzalim dan merakus itu.

Ia hanya tidak rela berada dalam jemaah yang ternyata hanya untuk berzalim, merakus, dan mengganas itu kerana ia tidak mahu ikut bersama dalam pengembaraan dan penerokaan menokok dosa itu. Bukan. Ia bukan lari dari jemaah.

Dalam dua perenggan di atas pula, secara halusnya pengarang mengingatkan kelompok Islam atau gerakan dakwah tertentu supaya tidak menyimpang dari matlamat asal mereka iaitu untuk menegakkan makruf dan bukannya memburu kepentingan diri.

Allahyarham Shahnon Ahmad.

Umum mengetahui Shahnon meninggal dunia sebagai ahli Parti Islam Semalaysia, tidaklah keterlaluan dikatakan bahawa pesan di dalam Embun (2013) ini adalah pesan untuk pemimpin PAS agar tidak gila kuasa dan tidak tumbang oleh kenikmatan duniawi seperti yang terlihat pada watak-watak pimpinan PAS hari ini di dalam kerajaan PN.

Masyarakat umum melihat PAS sebagai sebuah jemaah Islam sedang mabuk dengan wang dan GLC. Elok kiranya ahli PAS mencari Embun dan memahami pesan Shahnon ini.

Akhir sekali adalah ‘visi transendensi’ atau beriman kepada Allah.

Dunia hari ini penuh dengan ‘dehumanisasi’ dan ‘kemungkaran’. ‘Transendensi’ dapat menyelamatkan manusia dari dua ‘masalah’ tersebut dengan berpegang kembali kepada ‘spiritual’.

Dalam Embun, Shahnon meletakkan ‘kembalinya kepada Pencipta’ sebagai solusi mantap:

Ia tahu ia hanya berasal daripada sebutir titik yang tersorok dalam kegelapan bumi tetapi kemudian turut mengalir keluar bersama-sama titik-titik lain kerana panggilan fitrahnya dan juga kerana tarikan dari matahari yang serba bertenaga dan menghidupkan itu.

Rabbnyalah yang mengolah dan mengalirkan dirinya daripada kegelapan itu. Dan ia sebagai salah satu butir titik begitu gembira kerana mampu dan berdaya mengalir keluar menjadi suatu perjalanan yang penuh keseronokan dan kekayaan yang pastinya datang daripada Rabbnya untuknya dan untuk semua.

Perenggan diatas dapat dijadikan hujah betapa Shahnon menegaskan doktrin Ilahiyyah dalam konsep tauhid iaitu inna lillah wa inna illahihi rajiun iaitu semuanya akan kembali kepada Maha Pencipta, dipantakkan menerusi watak Embun.

Itulah janji Rabbnya selama ini pun. Dan kita yakin benar dengan janji Rabbnya itu.

Janji Rabbnya itu begitu terang diperjelaskan oleh para daii di mana-mana pun sepanjang perjalanan kita ‘disini’.

Para dai tidak bosan-bosan menyampaikan fakta bahawa sesudah tidak ada di ‘sini’, kita akan ada pula ‘di sana’. Di ‘sini’ hanya sementara. Itulah janji Rabbnya. Di ‘sanalah’ akan kekal abadi. Itulah juga janji Rabbnya. Dan janji Rabbnya tidak pernah dimungkiri-Nya.

Kutipan yang disebutkan di atas memaparkan hubungan manusia dan Tuhan yang mana akhir matlamat setiap makhluk adalah alam seterusnya iaitu akhirat. Alangkah baiknya jika orang-orang Jemaah dapat memahami bahawa tujuan berkerajaan bukanlah untuk bersekongkol dengan pengkhianat.

Novelet Embun menampilkan watak embun sebagai protagonis dan hujan ribut sebagai antagonis yang merosakkan kewujudan dan fungsi sosialnya.

Penampilan watak yang berada di luar realiti dan kerangka logik begini secara sedar menjadi hujah yang Shahnon bermain dengan lambang abstrak untuk menyampaikan ‘dakwahnya’.

Perjalanan embun sebagai makhluk Allah yang membasahi bumi di awal pagi sebelum diserap cahaya matahari adalah simbol untuk kehidupan insan yang sekejap dan menuju ke negeri abadi.

Semoga Shahnon Ahmad damai di sana.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.