- Iklan -
Kolum

Sawah dan perkahwinan

Tok Lebai atau Pak Aji belum heboh menjual tiket ke syurga lagi.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku tak berapa ingat bila masanya aku mula kenal perkataan cinta. Atau aku memahami apa makna cinta. Tapi dalam hal perkahwinan aku amat cerah.

Sebelum aku ke sekolah lagi aku dah tahu apa itu kahwin.

Kahwin untuk aku ialah pesta paling menarik di kampung. Selain daripada Hari Raya, kenduri kahwin adalah hari yang amat menggembirakan.

Gembira kerana aku berpeluang memakai pakaian cantik. Gembira kerana ada makanan istimewa. Gembira kerana ramai rakan sebaya berkumpul dan bermain.

Kalau kenduri kahwin dalam kampung sendiri atau yang kahwin sepupu atau saudara lagi seronok.

Pestanya tiga empat hari. Di Negeri Sembilan kenduri kahwin panggil berolek.

Dua tiga hari sebelum berolek dipanggil rolek rondam. Ini ialah hari-hari membuat persediaan – masa memasak, menggulai dan potong memotong.

Ketika inilah juga abang dan pakcik memasang tungku dapur, mendirikan khemah.

Kakak dan makcik membina pelamin atau membuat bunga telur.

Satu kampung akan heboh. Semua kerja dilakukan secara bergotong-royong. Saudara-mara dan jiran tetangga datang menolong.

Berolek godang – kenduri besar – kenduri kahwin selalunya selepas musim menuai.

Padi baru sudah naik ke kepok. Beras baru sudah ditumbuk. Kalau belum cukup perlu dijemur untuk ditumbuk lagi.

Kambing, lembu, ayam dan itik sudah terikat dalam kandang.

Memang zaman ini amat-amat menarik bagi aku. Jujur aku katakan pada ketika itu aku tak faham pun kenapa perlu kahwin?

Kenapa bersanding? Apa makna kahwin pun aku tak faham.

Yang aku tahu pesta-pestaan. Yang aku faham kawan-kawan ramai. Makan sedap. Paling menarik ketika berkenduri kami kanak-kanak bebas di luar jagaan emak bapak. Aduh! Gembira lagi menggembirakan.

Ketika itu aku pun tidak tahu bagaimana Uda berjumpa Dara. Aku juga tidak tahu kenapa Uda nak kahwin dengan Dara. Apa guna kahwin pun aku tak tahu.

Hari ini aku mengingatkan kembali masa yang sudah berlalu.

Aku ini mencari zaman yang hilang. Mengali-gali ingatan. Membersihkan sawang dalam kepala untuk tersenyum sambil mengingati kahwin dan orang kenduri kahwin.

Hari kenduri kahwin sedang membuka kembali ingatan aku. Awalnya kabur.

Ketika aku terus menulis ingatan aku menjadi terang. Semuanya terbuka kembali.

Aku ternampak di mana aku berdiri. Baju apa yang aku pakai. Gulai apa ada dalam pinggan. Aku nampak pengantin bersanding.

Maka dari sini aku mahu bermula dari mula. Agar surah aku ini terus jadi ingatan untuk cucu-cicit. Aku merayau-rayau mencari zaman yang hilang.

Menanamkan kisah baru untuk sama-sama menjadi ingat-ingatan.

Sebagai budak kampung aku membesar dalam sawah padi. Sawah adalah sebahagian daripada kehidupan aku.

Di Kampung Tengah Tengkek – sebahagian daripada tanah pusaka keluarga kami ialah tanah sawah.

Tanah kami tidak ada batu penanda. Yang jelas sempadan tanah kami hanya pada janji mulut antara kami dengan kami.

“Sawah kao lopeh anak sungai tu. Lopeh jambatan. Sawah den ke hilir sikit sampai ke topi porigi. Limo dopo lopeh anak sungai tu, sawah Ludin”. Ini cara kami mengingati sempadan tanah kami.

Konsep pemilikan individu ini amat longgar. Sikap kejiranan amat kukuh. Budaya gotong-royong mengikat warga kampung.

Berjiran sama seperti bersaudara.

Mengikut surah arwah emak aku, tanah Kampung Tengah yang dibuka oleh Tok Sidek hanya ada geran apabila Tuan Orang Putih dari Kuala Pilah beri arahan.

Sawahlah yang bertanggungjawab melahirkan budaya. Budaya Melayu yang aku anuti adalah budaya sawah padi.

Pada hemat aku tanpa sawah padi Melayu jenis aku ini tidak akan wujud.

Aku Melayu kampung dari sawah. Meninggalkan sawah bermakna meninggalkan asal usul.

Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat,
Ke darat sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Hati gajah sama dilapah,
Hati kuman sama dicecah.

Ikutlah resmi padi,
Makin berisi makin tunduk.

Aku masih ingat lagi kepada Mak Mok – emak saudara aku – kakak kepada arwah emak aku.

Satu pagi dia memasak nasi pulut. Kemudian nasi pulut ini akan dibalut tiga segi dalam daun palas.

Ini persediaan untuk upacara menyemai benih padi. Tanah tempat menyemai benih padi sudah disediakan.

Tepi sungai tak jauh dari sawah. Sebatang pokok yang memiliki banyak cabang dan ranting disediakan.

Daun pokok ini dibuangkan. Pulut palas akan diikat pada ranting pokok ini sebagai ganti daun. Pokok ini ditanamkan di tengah batas semaian padi.

Benih padi akan ditabur. Tiga batas padi – padi biasa, padi pulut putih dan pulut hitam.

Sudah selesai menabur Mak Mok akan mengambil pulut palas yang bergantungan.

Kami akan makan dengan gulai ayam. Beberapa butir pulut palas akan ditinggalkan tergantung atas pokok.

Ketika itu aku tidak faham makna dan tanda upacara ini. Yang aku tahu makan pulut dengan gulai ayam.

Sekarang baru aku faham. Upacara ini memiliki bahasa dan nahunya.

Ini adalah pengucapan Mak Mok aku sekeluarga meminta dari Yang Maha Esa agar benih-benih padi ini akan melahirkan padi yang lumayan.

Selumayan pulut palas yang bergantungan. Yang kami tinggalkan tergantung itu ada pemberian Mak Mok aku kepada alam – kepada semut, unggas dan ulat.

Mengubah padi dari tapak semaian ke sawah juga dilakukan dengan penuh tertib. Penuh hormat pada alam.

Sawah dibajak, lumpur dan jerami lumat menjadi baja, parit dan anak air dibersihkan. Bila hujan turun padi semaian pun dialih.

Aku pernah terlihat di tengah lopak sawah ada tercacak parang patah, sabit, rembeh atau cangkul lama atau besi buruk. Bila aku tanya kenapa ini dilakukan.

“Ini nak mintak semangat padi. Tak runtuh dipukul dek angin. Tak tumbang dibalun hujan. Koreh macam semangat bosi”.

Baru aku sedar padi pun ada semangatnya. Ketika padi sedang membesar haruan dan puyu juga sama membesar.

Inilah ketikanya aku datang mengotek haruan dengan anak katak sebagai umpan. Sesekali aku juga memasang tajur dalam lubuk tepi sawah.

Aku teringat lagi malam mengemping. Malam indah di mana padi muda yang dituai akan digoreng dan ditumbuk untuk dijadikan emping.

Malam mengemping ini kadangkala diikuti pula dengan malam mencari belalang. Orang kampung aku makan belalang padi.

Cara memakan amat senang – digoreng atau disalai. Belalang yang disalai boleh digulai masak lemak santan lada api.

Tok Lebai atau Pak Aji belum heboh menjual tiket ke syurga lagi. Kami Melayu asli bukan Arab makan belalang tak ada larangan.

Sesekali baru aku sedar bahawa ketika malam mengemping dan malam mencari belalang ini adalah malam-malam indah di mana anak dara akan berperanan.

Dara-daralah yang akan menggoreng dan mengemping padi. Kami budak-budak membuat sibuk menghalau kelkatu yang hinggap di pelita.

Anak-anak dara – dalam ketawa dan gelak menghilai – mereka berpindah dari satu lopak ke satu lopak menangkap belalang.

Ketika inilah Uda dan kawan-kawan dari kampung Hulu datang bertandang bertanya khabar.

Ceritanya – Uda ternampak cahaya pelita di tengah sawah. Disangka ada kemalangan.

Uda siap siaga sedia datang membantu. Lalu Uda menumbuk lesung. Atau membawa pelita mencari belalang.

Bila aku masuk ke sekolah baru aku sedar bahawa malam mengemping dan malam mencari belalang adalah malam-malam indah di mana Uda dapat peluang bertemu Dara.

Ketika emak aku menjadi guru di Batu Serambai di Ulu Klawang keluarga kami ada dua jenjang sawah.

Ini bukan tanah sawah kami. Kami pendatang dari luar. Kami hanya mengerjakan sawah ini.

Sebahagian daripada hasil padi akan kami berikan kepada tuan tanah. Agihan lepas menuai bergantung pada berapa gantang kami dapat tahun itu.

Aku tidak akan melupakan Mak Long Biah dan Pak Long Aroff.

Setiap tahun lepas musim menuai Mak Long Biah tidak akan lupa membuat sambutan.

Menyambut kesampaian beras baru masuk ke rumah. Lalu diadakan kenduri, bukan untuk sekampung hanya saudara terdekat dan jiran terdekat dijemput.

Kenduri beras baru ini adalah tanda kami orang kampung mengucapkan terima kasih kepada Yang Maha Esa kerana beras sampai ke rumah.

Nasi beras baru – aku masih teringat betapa wanginya nasi dari beras baru. Nampaknya terbukti pulut palas persembahan Mak Mok aku berjaya membawa beras baru.

Salepas musim menuai kampung aku akan sibuk dengan kenduri. Ada sahaja rumah yang buat kenduri. Kalau tidak kenduri kahwin pastilah kenduri bertunang. Kenduri bertunang ini dipanggil kenduri tukar cincin.

Uda dan Dara yang berjumpa pada malam mengemping kini mahu bertukar cincin mengikat janji untuk menjadi suami isteri sehidup semati.

Awas – sebelum bertukar cincin secara senyap-senyap wakil Uda datang merisik ke rumah Dara. Semuanya diatur dengan tertib. Di sinilah adat dan tradisi memainkan peranan.

Kuat adat tak gaduhkan hukum,
Kuat hukum tak gaduhkan adat,
Ikut hukum muafakat,
Ikut adat muafakat,

Kelebihan umat dengan muafakat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat,
Benar melutut dengan muafakatnya,

Raja menobat di dalam alam,
Penghulu menobat di dalam luak,
Lembaga menobat di dalam lingkungannya,
Orang banyak menobat di dalam teratak.

Kenduri bertukar cincin ini bukan berolek godang.

Hanya saudara mara yang rapat dijemput. Abang, Pak Ngah, Kak Long dan Tok Cik nak tahu Uda ini bertunang dengan Dara anak siapa dan cucu siapa. Keluarga Dara juga nak tahu si Uda ini cucu siapa – perut dan suku yang mana.

Lalu janji di buat:

Kedatangan saya ini,
Pergi kerana disuruh,
Berhenti kerana ditegah,
Dari tempat semenda membawa sembah,
Bagi membawa cincin sebentuk.

Janji pun diikat:

Kok aso sekato,
Kata dibalikkan,
Kok tak aso sekata,
Cincin dikembalikan.

Lembu dipegang pada talinya,
Manusia dipegang pada cakapnya.

Setelah bertukar pepatah dan petitih. Setelah tepak sirih bertukar tuan maka sampai kepada detik yang mendebarkan.

Menetapkan tarikh berolek godang. Aku ingat lagi hampir setiap kenduri bertunang yang aku hadir tarikhnya hampir sama: Lopeh menuai taun dopan.

Inilah yang aku katakan bahawa kami ini lahir dari budaya sawah padi. Sawah padi menjadi rujukan dan kalendar kami.

Tidak pernah aku dengar ijab kabul menggunakan nama haribulan Orang Putih.

Semua masuk akal. Lepas menuai orang kampung ada masa lapang.

Tidak turun ke sawah. Ketika ini juga kepok penuh dengan padi. Kalau hendak berkenduri yang diperlukan hanya tenaga gotong royong. Ayam itik atau kambing ada di kandang.

Sawah oh sawah – tanpa kamu kami orang Melayu hilang tanda masa dan jadual hidup.

Aku masih ingat lagi kali akhir sebelum aku menghilangkan diri aku ada merayakan kenduri kahwin sepupu aku, Long Cik yang hampir sebaya dengan aku.

Ini anak bapa saudara aku, Pak Itam Hashim.

Adik kepada arwah Abah aku. Pak Itam hanya ada seorang anak perempuan Long Chik, seorang misi atau nama modennya jururawat.

Ini kahwin Melayu. Penuh dengan adat istiadat mendapat menantu.

Tungggu minggu depan aku sambung lagi cerita hal kahwin.