- Iklan -
Kolum

Rakyat Malaysia tidak panik pada waktu yang wajib panik

2020 ialah tahun yang serba pelik, tahun yang memaksa manusia berubah.

Timmy Say
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Perkataan yang paling lazim kedengaran pada 2020 ialah Covid-19, PKP, PKPP, PKPD lagi dan sebagainya.

Topeng muka menjadi sebahagian pakaian asas manusia.

Manusia sedunia dikurung di rumah oleh virus yang tidak kelihatan.

Ketika manusia dikurung, bumi mengambil kesempatan melakukan pemulihan diri.

Tetiba sungai menjadi jernih, haiwan-haiwan laut yang jarang kelihatan kembali muncul bermain di tepi lautan.

Di Malaysia, tahun 2020 ini sepatutnya menjadi tahun rakyat berbangga dengan pencapaian negara sempena Wawasan 2020.

Sepatutnya Wawasan 2020 ini amat bermakna apabila pengasasnya iaitu Dr Mahathir Mohamad kembali memimpin negara melalui kerajaan Pakatan Harapan.

Akan tetapi siapa yang sangka, kerajaan PH yang baru berusia 22 bulan tumbang di saat Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri di saat wabak Covid-19 baru hendak mengganas.

Berdepan dengan ancaman Covid-19, kerajaan baru pimpinan Muhyiddin Yassin tangkas mengambil tindakan drastik seperti perintah kawalan pergerakan yang lebih dikenali sebagai PKP, PKPB dan PKPD.

Langkah ini ternyata berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 meskipun ekonomi menjadi korban seperti yang berlaku di merata dunia. Kempen kesedaran terhadap bahayanya Covid-19 juga berkesan terhadap rakyat Malaysia yang rata-rata mula panik, takut dan bimbang diri dijangkiti Covid-19.

Ketika itu, rakyat Malaysia cukup panik melihat statistik jangkitan harian Covid-19 apabila mencecah 2 angka.

Ingatkah lagi betapa bangga dan leganya kita apabila barisan hadapan kita menunjukkan jangkitan harian berangka satu atau angka sifar di depan kaca televisyen.

Malangnya, rasa bangga dan lega kita hanya seketika. Segalanya berubah selepas pilihan raya negeri Sabah yang sepatutnya boleh dielakkan.

Angka jangkitan Covid-19 selepas itu terus melonjak ke paras tiga angka dan kemudian ke empat angka.

Permainan salah-menyalah antara ahli politik berterusan dengan kukuh dan menyakinkan bahawa mereka hanya bernafsu pada kuasa dan bukannya kesejahteraan rakyat.

Ini terbukti benar. Jika tidak, masakan sewaktu gelombang ketiga Covid-19 mengganas, ada lagi ahli Parlimen yang mahu menggagalkan undian belanjawan di Parlimen, ada lagi ahli Parlimen yang memikirkan cara untuk menjatuhkan kerajaan, ada presiden parti yang sanggup khianat terhadap kerajaan sendiri dan tetiba ada cinta berputik antara dua ahli Parlimen tertua Malaysia.

Natijahnya, rakyat Malaysia menjadi lali – lali dengan politik, dan lebih teruk lali dengan bahayanya Covid-19.

Lihatlah sahaja betapa ramainya yang sedang melancong sekarang ketika angka jangkitan Covid-19 mencecah 2,000 kes sehari. Dan perhatikan bagaimana rakyat berasa mual dengan gerakan-gerakan politik yang terbukti hanyir pada akhirnya.

Sepatutnya di waktu ini, rakyat Malaysia sedang merasa panik dan menuntut agar segala SOP diperketatkan bagi membantu mengurangkan jangkitan Covid-19.

Sepatutnya di waktu ini, rakyat memberi tekanan kepada semua ahli politik agar mengekalkan kestabilan politik negara demi memberi nafas dan ruang kepada semua untuk memfokuskan ke arah usaha memulihkan ekonomi negara yang dilanda kemelesetan akibat wabak Covid-19.

Sepatutnya Malaysia berada di dalam keadaan jauh lebih baik daripada negara-negara jiran kita.

Tapi sayang, Malaysiaku tidak begitu.

Di waktu rakyat Malaysia seharusnya panik, kita relaks dan bagai ayam dilepas kandang melancong ke segala pelusuk negara memudahkan lagi Covid-19 berjangkit.

Di waktu ahli-ahli politik seharusnya bekerjasama, ada sahaja suara sumbang yang berkomplot, berkhianat dan bermain sentimen persepsi palsu dengan rakyat. Malangnya bukan sahaja rakyat terkena, pelabur pun turut menjauhkan diri.

Begitulah tahun 2020 yang penuh dengan ironi yang tidak terfikir manusia.

Tapi, insafilah, hayatilah dan kenangilah 2020 kerana ia tahun yang memaksa manusia berubah, mengenal perubahan dan bersedia menghadapi cabaran.

Meskipun ia pahit dan susah, tahun 2020 sebenarnya penuh dengan pengajaran.

Ingatlah pengalaman adalah guru terbaik buat manusia. Dan percayalah pengalaman manusia di tahun 2020 adalah guru terbaik di dalam menyediakan manusia untuk menghadapi dekad seterusnya.

Sempena hari terakhir 2020, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas segala kesilapan di dalam tulisan saya sepanjang 2020.

Semoga kita dapat terus bertemu di 2021! Selamat Tahun Baru 2021!