- Iklan -
Kolum

Rintihan mereka yang membuka kedai

Di waktu ini, rakyat Malaysia bukan sahaja berdepan dengan Covid-19 dan masalah ekonomi, tetapi juga dengan sekumpulan ahli politik.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Seorang pelanggan melangkah ke kedai, selepas melakukan pendaftaran MySejahtera dan pengambilan suhu, seorang staf Pak Ali (bukan nama sebenar) datang melayan pelanggan tersebut.

Pelanggan tersebut ingin mencari sebuah produk untuk anaknya.

Staf Pak Ali menjawab setiap persoalan pelanggan itu dengan penuh bersemangat dan ramah.

Setiap kelebihan produk keluaran berlainan jenama diceritanya dengan baik berdasarkan bajet dan spesifikasi yang diinginkan pelanggan.

Pelanggan pula boleh menyentuh produk di sana sini seperti sudah pasti akan dibeli.

“Nanti saya tanya anak saya,” kata pelanggan tersebut sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.

Sambil mulutnya terus bertanya soalan mengenai nombor model, waranti dan caj penghantaran, tangan pelanggan gigih menaip di telefon pintar seperti sedang mengambil nota untuk diberikan kepada anaknya.

Staf Pak Ali terus menerang sambil kepala pelanggan mengangguk-angguk seperti bersetuju. Begitulah situasinya selama 30 minit.

“Saya fikir dulu. Terima kasih ya,” kata pelanggan itu lalu terus melangkah keluar kedai.

Ketika pelanggan melangkah keluar kedai, pelanggan membuat telefon lalu, perbualan itu kebetulan didengari Pak Ali, “Saya dah beli secara dalam talian selepas staf tunjuk di kedai tadi. Dalam talian lebih murah.”

Di dalam 30 minit bersama pelanggan, kos sewa, kos penghawa dingin, kos api dan kos pekerja yang digunakan untuk keselesaan pelanggan ditanggung oleh Pak Ali.

Namun malangnya, ia tidak menghasilkan pembelian melalui kedai Pak Ali.

Segala kos yang ditanggung akhirnya sampai secara percuma kepada peniaga dalam talian yang mendapat pesanan daripada pelanggan tadi.

Begitulah kisah lumrah mereka yang membuka kedai di zaman ini.

Peniaga dalam talian yang tidak memiliki kedai boleh menjual lebih murah kerana mereka tidak perlu menanggung kos-kos seperti yang perlu ditanggung pemilik kedai.

Hatta pemilik kedai turut menjual secara dalam talian, kedai mereka tetap akan menjadi sekadar tempat tatapan sebelum para pembeli dalam talian membuat keputusan untuk membeli.

Teknologi hari ini juga menyebabkan pembeli semakin bijak kerana ia membolehkan mereka untuk membandingkan harga sesuatu dengan cepat melalui telefon bimbit.

Melainkan pembeli itu memerlukan produk itu dengan kadar segera, kebanyakan mereka akan membeli secara dalam talian jika mereka mendapati harganya lebih murah.

Satu-satunya kelebihan yang masih ada pada perniagaan kedai ialah produk boleh dilihat dan dicuba di depan mata pembeli sendiri, dan produk itu terus boleh dibawa balik ke rumah jika pembeli membelinya secara terus tanpa perlu menunggu penghantaran.

Tapi sekiranya pembeli itu boleh sabar menunggu, maka peluang kedai kehilangan pembeli tersebut adalah amat tinggi.

Maka tidak hairanlah mengapa banyak kedai yang ditutup hari ini.

Bukan sahaja mereka terpaksa berdepan dengan kesan daripada kawalan wabak Covid-19, mereka juga perlu menghadapi dengan arus teknologi perubahan yang deras dan juga penukaran tabiat pembeli yang semakin mempercayai dan menerima penjualan dan pembelian secara dalam talian.

Ini adalah cabaran utama para perniagaan yang memiliki kedai hari ini. Dan fenomena ini menyebabkan semakin ramai yang kehilangan pekerjaan.

Di waktu ini, rakyat Malaysia bukan sahaja berdepan dengan Covid-19 dan masalah ekonomi, tetapi juga sekumpulan ahli politik yang rakus ingin mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan segera.

Ironinya, kumpulan ini jugalah yang sedang menggesa kerajaan menangguhkan sesi persekolahan demi menjaga keselamatan rakyat.

Namun begitu, ironi ini hanya dapat dilihat oleh orang yang tiada PhD.

Malaysia amat memerlukan satu kerajaan yang stabil yang dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk mentadbir negara di 2021.

Mampukah ahli-ahli politik negara kita memberikannya kepada rakyat Malaysia?