- Iklan -
Rencana

Kerajaan sibuk memerangi Covid-19, pembangkang tetap berpolitik

Pantang ada peluang, perkara yang bermanfaat pun dimanipulasi sebagai 'senjata' untuk membangkitkan rasa curiga rakyat.

Hassan Baharuddin
2 minit bacaan
Kongsi
Sudah hampir setahun petugas barisan hadapan bertungkus lumus mencurah keringat tanpa henti.
Sudah hampir setahun petugas barisan hadapan bertungkus lumus mencurah keringat tanpa henti.

Ketika rakyat gelisah, ketika negara kita dihimpit pelbagai masalah angkara Covid-19 dengan kes jangkitan semakin bertambah, ada pula pemimpin politik dilihat seolah-olah tidak ambil kisah.

Tidak sudah-sudah mengganggu kerajaan, pelbagai alasan digunakan.

Pantang ada peluang, perkara yang bermanfaat pun dimanipulasi sebagai “senjata” untuk membangkitkan rasa curiga rakyat.

Tiada ruang bebas diberi kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk selesa berusaha mengemudi kerajaannya bagi menangani segala isu yang ada.

Alasan yang sama dijaja, didakwa kerajaan sedia ada goyah, dituduh juga kononnya Covid-19 dijadikan tembok agar Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dielak, sedangkan jaminan sudah diberi perdana menteri bahawa PRU akan diadakan sebaik krisis Covid-19 berjaya ditangani.

Macam-macam cara diguna, ada yang menulis surat kepada ahli Parlimen mengajak mereka memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar membatalkan ordinan darurat dan memanggil persidangan Dewan Rakyat.

Itu usaha pembangkang yang sememangnya sudah dijangka kerana ia kerja mereka, tetapi ada juga pimpinan parti sepatutnya menjadi rakan kerajaan turut melancarkan serangan.

Niat murni kerajaan seperti diperlekehkan, pelbagai bantuan yang disalurkan untuk rakyat, peniaga dan  banyak lagi sektor yang terjejas akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mereka, bagai tidak bererti.

Sudah banyak inisiatif dilaksanakan hasil keprihatinan pemimpin kita di Putrajaya bersama peruntukan dana yang bukan sejuta dua bagi membela rakyat dan ekonomi negara.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Kita Prihatin,  Belanjawan 2021 dan terbaru, Pakej Bantuan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), semuanya adalah untuk rakyat selain memperkasa sektor kesihatan dalam usaha melawan virus, musuh yang tidak kelihatan.

Jika tiada kata-kata pujian, cukup sekadar memberi sokongan dengan tidak mengganggu kerajaan, sekurang-kurangnya sehingga Covid-19 berjaya ditumpaskan.

Jangan menjadi seperti pulut yang membinasakan santan, jangan ‘kokok berdegar-degar’ kerana mahukan populariti sedangkan tiada apa pun dibuat yang boleh membantu.

Jangan terlalu gilakan kuasa, mendesak disegerakan pilihan raya sedangkan episod di Sabah akibat tumbangnya kerajaan negeri tahun lalu, menjadi antara punca Covid-19 mengganas kembali.

Tidak kasihankah pada petugas barisan hadapan kita yang sudah hampir setahun bertungkus lumus mencurah keringat tanpa henti.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.