- Iklan -
Kolum

Biden memikul tanggungjawab mengisi harapan besar dunia pada Amerika

Biden dilihat mempunyai personaliti lemah berbanding presiden-presiden daripada Parti Demokratik yang dahulu iaitu Barack Obama, Bill Clinton dan Jimmy Carter.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Joe Biden bukanlah personaliti terbaik untuk menjadi presiden Amerika Syarikat ke-46.

Tetapi beliaulah satu-satunya tokoh yang ada untuk menamatkan kepresidenan Donald Trump.

Sebab itulah dijangkakan kepresidenan Biden akan dilakukan bukan melalui kepimpinan beliau tetapi lebih dalam bentuk kolektif yang membawa agenda Parti Demokratik.

Amerika adalah negara besar dengan penduduknya yang ramai.

Ditambah pula sistem politik demokrasinya yang terbuka di mana setiap warga kelahiran negara itu berpeluang untuk menjadi presiden.

Maka ruang bagi mendapatkan seorang ketua negara terbaik adalah luas.

Sememangnya sistem demokrasi pelbagai parti negara itu berevolusi menjadi dwi-parti dalam bentuk Republikan dan Demokratik.

Namun ia tetap merupakan mekanisme terbaik untuk memilih seorang presiden.

Setiap presiden pula perlu mendapatkan sokongan dan bantuan daripada parti masing-masing, baik dari segi ideologi, jentera pilihan raya mahupun petugas-petugas lantikan politik.

Tetapi akhirnya ketokohan kepimpinan seseorang presiden akan mencorakkan negara.

Ini kerana presiden akan memberi kata putus akhir dalam sesuatu dasar walaupun maklum balas dan lobi dari parti masing-masing amat berpengaruh.

Maka akan dapat dilihat dialektik antara presiden dan partinya yang mana jika personaliti presiden itu kuat, pengaruh partinya menjadi kurang.

Apabila personaliti presiden lemah, pengaruh partinya akan jadi kuat.

Biden dilihat mempunyai personaliti lemah berbanding presiden-presiden daripada Parti Demokratik yang dahulu seperti Barack Obama, Bill Clinton dan Jimmy Carter.

Di sebelah Parti Republikan pula, presiden-presiden mereka ialah Donald Trump, George HW Bush, George W Bush dan Ronald Reagan.

Dalam kalangan barisan presiden itu, George W Bush dilihat berpersonaliti lemah, dan di situ peranan Parti Republikan adalah kuat.

Tetapi Biden mempunyai pengalaman lama dalam politik dan perkhidmatan kerajaan iaitu mencapai 50 tahun dengan jawatan tertingginya adalah sebagai naib presiden kepada Obama.

Maknanya beliau adalah popular dalam kalangan Parti Demokratik.

Tetapi tidak cukup popular untuk dicalonkan bagi jawatan presiden mewakili Parti Demokratik selepas Obama.

Ia menunjukkan kedudukannya adalah lemah berbanding dengan Obama dan Hillary Clinton.

Biden ada reputasi sebagai seorang yang lambat, pelupa dan mengantuk.

Malah Obama dilaporkan tidak memandang tinggi kepada beliau semasa menjadi presiden dahulu.

Oleh kerana personaliti Obama adalah dominan, maka Biden selaku naib presiden tidaklah menonjol.

Seperti mana apabila Trump bersikap dominan, maka naibnya, Mike Pence tidak tampil.

Jika Biden tidak dominan, maka naibnya, Kamala Harris akan menonjol kelak.

Ini telahan awal, mungkin Biden tiba-tiba berubah dan menjadi seorang presiden yang dominan dan menonjol.

Perkara itu boleh berlaku.

Namun, melihat arahan-arahan eksekutif yang ditandatangani Biden sebaik saja beliau diberikan kuasa, pada umumnya ia disediakan oleh jentera Parti Demokratik.

Sememangnya ada fenomena ketandusan kepimpinan di Amerika selepas Obama.

Bagi penggal kedua presiden itu, Parti Republikan mengemukakan John McCain untuk melawannya.

Walaupun McCain kalah tetapi beliau mempunyai ketokohan untuk menyandang jawatan presiden.

Tetapi selepas Obama, Parti Republikan hanya mampu mengemukakan Trump yang walaupun popular dalam kalangan golongan kanan Amerika tetapi beliau tidak mempunyai pengalaman politik dan bukan orang parti.

Di pihak Parti Demokratik pula, mereka mengemukakan Hillary Clinton, walaupun layak menyandang jawatan presiden tetapi tidak cukup popular hinggakan beliau dapat dikalahkan oleh Trump.

Dalam pilihan raya presiden pada November 2020, sekali lagi Parti Republikan gagal mengemukakan calon lain daripada Trump.

Sementara Parti Demokratik mempunyai pilihan antara Bernie Sanders dan Biden.

Walaupun Sanders mempunyai personaliti lebih kuat daripada Biden, tetapi ideologi beliau, sosialis demokratik adalah terlalu kiri bagi Amerika, maka Biden dipilih sebagai calon bagi Parti Demokratik.

Dalam keadaan presiden lemah, maka adalah penting bagi parti untuk berada pada keadaan kuat.

Kuat di sini bermaksud ia tersusun dan mempunyai ahli politik yang mampu untuk membantu presiden.

Dalam hal ini, selepas presiden dan naibnya, yang akan menjayakan jawatan itu adalah Kabinet.

Kuasa melantik anggota Kabinet berada di tangan presiden.

Dalam amalan politik Amerika pula, anggota Kabinet boleh dilantik dari mana-mana parti atau tidak ada parti pun.

Iaitu tidak semestinya daripada parti presiden.

Contohnya, Biden bukan saja boleh melantik anggota Kabinet daripada Parti Demokratik tetapi juga dari parti lawannya, Republikan.

Namun, tentulah keutamaan adalah dari parti sendiri terutama jawatan setiausaha negara.

Di Amerika, setiausaha negara adalah menteri luar yang bertaraf perdana menteri.

Maka yang membekalkan anggota Kabinet dan petugas lantikan politik adalah pihak parti.

Selain itu, akan memudahkan presiden, jika partinya turut menguasai Kongres dan Dewan Perwakilan.

Jadi parti yang kuat akan dapat membantu presiden yang lemah.

Tetapi apa yang membantu Biden, sama ada semasa kempen mahupun ketika mula beberapa hari menyandang jawatan itu adalah keadaan Trump yang “tidak normal”.

Dalam sejarah kontemporari Amerika, Trump akan tercatat sebagai presiden yang “tidak normal”.

Mungkin pada zaman silam ada juga presiden Amerika yang “tidak normal” tetapi selepas Perang Dunia Kedua apabila negara itu muncul sebagai kuasa besar, Trump adalah satu-satunya yang “tidak normal”.

Apa yang dimaksudkan dengan ” tidak normal” ialah perilaku serta tindakan-tindakannya berlawanan dengan konvensyen pemimpin Amerika, baik daripada Parti Republikan mahupun Demokratik.

Sebab itu, ramai juga pemimpin Parti Republikan yang menolak Trump.

Mereka ini dipercayai mengundi Biden.

Ini termasuklah bekas presiden, George W Bush.

Jadi apa yang Biden lakukan semasa kempen adalah menyatakan dirinya mahu mengembalikan Amerika ke landasan “normal” di mana ia digelincirkan oleh Trump.

Jadi pengundi Amerika yang menolak Trump, tidak kiralah sama ada mereka sokong Biden atau tidak bertindak mengundi Biden kerana mahu menghalang Trump kembali berkuasa.

Sebenarnya apa yang mengejutkan dalam pilihan raya presiden itu bukanlah kemenangan Biden tetapi mengapa beliau tidak menang besar sedangkan jelas Trump berperangai “tidak normal” , memalukan Amerika dan membawa bukan saja negara itu, tetapi dunia kepada keadaan bahaya.

Ini bermakna, terdapat bilangan besar rakyat Amerika yang walaupun mungkin tidak menyokong Trump tetapi menolak institusi politik yang ada termasuk Parti Demokratik dengan mengianggap mereka sebagai elitis, meminggirkan rakyat biasa dan tidak akan melakukan sebarang perubahan.

Mereka menggunakan Trump untuk menolak institusi sedia ada dengan mengharapkan perubahan.

Biden dan Parti Demokratik sedar tentang perkara ini.

Sebab itu, dalam ucapan pertamanya, Biden menyatakan beliau adalah presiden untuk semua rakyat Amerika, bukan saja untuk penyokong beliau, tetapi juga para pengundi Trump.

Pada hari pertama lagi beliau menunjukkan tindakan segera untuk mengembalikan Amerika ke landasan “normal.”

Biden membatalkan banyak arahan Trump dan mengembalikan Amerika pada keadaan semasa Obama dengan menepati dasar daripada agenda Parti Demokratik.

Pada sidang media pertama Jurucakap White House Jennifer Psaki menekankan kepada soal demokrasi, kebenaran dan ketelusan.

Katanya, perbezaan pendapat pasti berlaku dan keadaan itu patut diterima dalam amalan demokjrasi.

Biden dan Parti Demokratik menggalas cabaran besar untuk memenuhi harapan rakyat Amerika dan juga dunia bagi mengembalikan negara itu sebagai pemimpin global iaitu di samping menghalang negara itu jatuh kepada pemimpin seperti Trump.

Adalah suatu realiti politik hari ini golongan populis kanan yang cenderung kepada neo-fasisme masih menjadi ancaman bukan saja di Amerika tetapi juga di Eropah.

Golongan ini pula tidak keberatan untuk menggunakan kekerasan.