- Iklan -
Rencana

Kematian gajah Pygmy Borneo berita amat tragis

Jika tidak dibendung dengan serius, berkemungkinan besar populasi haiwan itu akan pupus.

Meenakshi Raman
2 minit bacaan
Kongsi
Bangkai gajah pygmy yang ditemui dengan kesan tembakan. Gambar: Bernama
Bangkai gajah pygmy yang ditemui dengan kesan tembakan. Gambar: Bernama

Sahabat Alam Malaysia (SAM) sangat bersimpati dengan satu kejadian yang melibatkan seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat perbuatan kejam segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap haiwan terbabit.

Laporan media menyatakan kematian gajah tersebut berpunca daripada tujuh das tembakan di bahagian kepala gajah.

Motif pembunuhan masih belum dapat dikenal pasti oleh pihak berkuasa namun kesan daripada tragedi ini membuatkan populasi gajah Pygmy Borneo yang kini di ambang kepupusan kian ketara.

Jika tidak dibendung dengan serius, berkemungkinan besar populasi haiwan itu akan pupus dari peta Borneo.

Perkara ini tidak harus dibiarkan.

Perkara sebegini bukanlah kali pertama terjadi di Sabah malah telah berulang kali berita tentang kematian gajah pygmy telah berlaku.

Apakah tujuan pelaku yang melakukan kerja yang sejijik ini sehingga hilang pertimbangan sifat kemanusiaan terhadap makhluk lain.

Apakah motif atau modus operandi sebenar mereka sehingga sanggup memperlakukan haiwan hingga sebegitu rupa.

SAM sebelum ini juga turut mengecam perbuatan kejam yang menyebabkan beberapa kes kematian gajah pygmy melalui suara media massa tentang populasi gajah yang semakin membimbangkan serta gesaan terhadap pihak berkuasa negeri Sabah dalam hal-hal berkaitan hala tuju bagi membendung kelompok gajah itu daripada terus menjadi mangsa pemburu-pemburu haram.

Gesaan SAM menjurus kepada meningkatkan usaha secara  bersepadu daripada semua agensi berkaitan jika mahu hidupan liar ini terus hidup di Sabah.

SAM memandang serius tentang perkara ini dan mengharapkan pihak polis serta pihak berkuasa yang berkaitan memperhebatkan siasatan supaya pelaku-pelaku yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi atau bertolak ansur.

Apa yang kita lihat pada episod kali ini kematian seekor gajah Pygmy Borneo mati dalam keadaan yang sangat tragis.

Amat mendukacitakan sekiranya pelaku yang bertanggungjawab masih bebas di luar sana.

SAM juga bersetuju dengan cadangan bekas menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah Christina Liew yang mencadangkan supaya Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dapat dipinda bagi membolehkan pelaku dapat dihukum dengan lebih berat lagi.

Meenakshi Raman merupakan presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.