- Iklan -
Kolum

Kaki yang hampir ‘terbenam’ di Soho

Aku perlu kembali menyambung perjalanan asal.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Sepanjang musim panas 1987 aku menjadi pelayan sepenuh masa di Restoran Desaru di Old Compton Street, London.

Aku meninggalkan Brixton College. Kuliah aku di Polytechnic of Central London (PCL) hanya akan bermula pada bulan September.

Sebenarnya aku tidak tahu dari mana asal usul nama Restoran Desaru ini. Setelah dua minggu bekerja aku diberitahu nama ini berasal dari satu kawasan peranginan di Johor.

Kali terakhir berada di Malaysia pada tahun 1974 aku tak pernah terdengar nama Desaru ini.

Pemilik Desaru ialah Mr Gan anak kelahiran Pulau Pinang. Mr Gan badannya gemuk gempal.

Datang ke London sebagai pelajar perakaunan. Terus menjadi warga tetap.

Mr Gan berkahwin dengan Minah Saleh seorang “misi” – jururawat yang juga berbadan gempal.

Mereka tinggal di wilayah mewah Maide Vale. Mr Gan dengan BMW datang setiap malam, kadang-kadang pagi.

Kalau tak datang waktu pagi dia akan menelefon memastikan kami berada dalam restoran sebelum jam 11 pagi. Sekali sekala ada juga Misi Gan datang ke Restoran Desaru.

Kami yang bekerja di Restoran Desaru selalu melawak bila melihat pasangan Mr Gan dan Misi Gan.

Aku juga tertanya-tanya apakah mereka berdua ini tidur atas katil besi atau hanya atas lantai?

“Isham kau tahu tiap pagi Gan akan menangis. Dia menangis kerana dia dah tak nampak punai dia lagi”. Soo akan melawak ketika kami membersihkan restoran sebelum dibuka jam 11.30 pagi.

Tukang masak Desaru ialah Yunus atau Abang Yunus dari Medan, Indonesia.

Dari surah yang aku difahamkan Yunus direkrut oleh Mr Gan dari Bali.

Ketika itu Yunus tukang masak di sana. Dalam dapur Yunus dibantu oleh dua anak muda Bangladesh.

Di London, restoran Malaysia atau Indonesia akan mengiklankan menu masakan Malaysia-Indonesia sekali harung.

Agak tepat juga kerana tidak banyak perbezaan antara dua lidah ini.

Malah meluaskan pasaran pelanggan yang pernah singgah di Indonesia atau Malaysia.

Hanya restoran Singapura tidak wujud. Yang wujud hanyalah Laksa Singapura.

Di dewan makan pelayan yang “halal” hanya Shah dan aku.

Shah anak muda British-Bangladesh berumur 20-an dan aku pelajar dari Belgium. Kami tak ada masalah imigresen.

Manakala Soo dari Kuantan, Ah Tan dari Perak dan Yap dari Melaka semuanya pekerja gelap.

Mereka datang dengan visa pelajar kemudian terus tak pulang ke Malaysia.

Kini bekerja gelap tanpa visa kerja. Chee yang menjadi “barman” seorang lelaki gembira – agak sombong tak mahu bercampur sangat.

Mungkin kerana dia merasa bangga kerana ada jantan Mat Salleh.

Untuk memastikan tukang masak tidak dicuri oleh restoran lain maka Mr Gan memberi saham 10% kepada Yunus. Saham ini menjadikan Yunus setia kepada Restoran Desaru.

Sistem beri saham ini diguna pakai oleh restoran di London.

Semua tauke restoran takut tukang masak “kena curi” dengan tarikan gaji yang lebih lumayan.

Amat susah untuk mendapatkan tukang masak yang boleh memasak masakan Melayu di London.

Semua tukang masak diimport dengan visa rasmi. Untuk memastikan tidak ditangkap oleh jabatan imigresen.

Kalau tukang masak kena tangkap, tak ada apa nak dijual. Pelayan senang dapat. Mat Saleh dan British-Bangladesh pun ada bekerja sebagai pelayan di restoran Malaysia-Indonesia.

Malah pelajar Malaysia di musim panas, cuti panjang – ramai mencari kerja macam aku.

Manager Restoran Desaru ialah Freedy dari Manila, Filipina. Dia memiliki status penduduk tetap di London.

Anak dan isterinya ada di London. Bagaimana Freedy direkrut oleh Mr Gan, aku tidak tahu.

“Isham jaga-jaga. Freedy ini makan anjing”. Ini satu lagi lawak dari Soo yang menganggap orang Filipina suka makan anjing.

Bila Freedy mendengar ini dia hanya berkata. “You don’t try, you don’t know”.

Warga kota London tidak mementingkan sangat makan tengah hari. Mereka makan sandwich atau apa yang ada di pejabat.

Tengah hari Restoran Desaru kosong, kalau ada empat atau lima pelanggan, ini dianggap ramai.

Warga London merayakan budaya makan malam – dinner. Aku perhatikan ada tiga ombak pelanggan.

Pertama: bila restoran dibuka dari 6.30 hingga jam 8.00. Pelanggan ini mahu makan awal sebelum ke panggung wayang, teater atau ke panggung bangsawan.

Ombak kedua jam 9.00 malam – ini pelanggan yang betul-betul datang untuk makan.

Ombak akhir jam 11.00 malam – mereka yang merasa lapar selepas keluar dari pub atau panggung wayang.

Dapur tutup jam 11.30 malam. Restoran Desaru akan ditutup setelah pelanggan akhir pulang.

Aku pulang dengan bas malam yang aku ambil di Trafalgar Square. Aku masih teringat dua Minah Saleh masuk ke Restoran Desaru.

Restoran kosong – waktu tengah hari. Ketika itu aku dan Soo bertugas. Aku membawa dua menu.

Tanpa aku memberi arahan Minah ini mengambil tempat duduk. Kejantanan aku mengombak deras untuk membaca dua Minah ini.

Memang cun dan bergetah. Langsing dan tidak macam isteri Mr Gan. “Layanlah… ini peluang”.

Aku tak faham apa maksud Soo. Peluang yang mana satu.

Kejantanan aku mengombak lagi. Mungkin jika aku layan dengan baik aku dapat tip yang lumayan.

Atau dia jatuh hati kepada jantan Melayu asli. Pelayan di London hidup dengan duit tip.

Ini budaya Inggeris. Mungkin ketika Inggeris menjajah dunia budaya ini lahir.

Kaum kolonial kesian melihat anak bumiputera tanah jajahan yang membanting tulang.

Lalu memberi tip – duit tanda terima kasih atas layanan. Sebenarnya gaji pelayan dalam restoran di Soho tidak mahal, hanya 60 pound seminggu.

Yang menjadikan kami lumayan ialah tip dari pelanggan. Tip ini dua kali ganda dari gaji yang dibayar oleh Mr Gan.

Tanpa membaca menu dua Minah Salleh ini terus memesan makan. Dan sebotol air anggur.

Pada hemat aku – tanpa membaca menu – ini pastilah pelanggan “regular” yang sering makan di Restoran Desaru.

Sesudah makan Minah ini mengeluarkan dompet dan membayar dengan kumpulan duit syiling dan meninggalkan tiga pound yang juga duit siling atas meja.

Wow lumayan. Aku memungut duit-duit itu.

“Selalu datang. Jiran kita. Kau nak tengok b**** dia? Pergi masuk kabin no tujuh sebelah Madam Jo Jo”. Soo memberikan penerangan.

“Ha ha. Patutlah bayar pakai duit syiling. Tak apa”.

Aku ketawa. Malah aku merasa bangga kerana melayan penari bogel “peep show” di Soho. Aku anggap tip yang mereka beri ini adalah hasil rezeki suci dari tarian bogel mereka.

Lepas satu bulan di Restoran Desaru aku fasih dengan Soho. Madam Jo Jo – kelab purtan.

Ronnie Scott’s kelab Jazz. French House sebuah pub untuk para intelektual London.

Soho Brassarie tempat yuppie bertemu kekasih. Compton pub tempat minum jantan gembira.

Raymond Reveu Bar – teater dan kelab bogel.

Groucho Club – kelab “private” untuk warga media kota London.

Manakala bilik-bilik kecil tempat mengintai b**** Minah Salleh – ada berselirat di Soho.

Lima pintu dari Resoran Desaru ialah kedai kuih Patisserie Valarie.

Sebelah Restoran Desaru ialah studio video milik Richard Brandon, tauke syarikat penerbangan Virgin.

Bulan September 1988 aku masuk ke Polytechnic of Central London (PCL) di Riding House Street.

Sekolah aku tidak jauh dari pusat membeli belah Oxford Street. Juga tidak jauh dari Restoran Desaru.

Kalau menapak mungkin 15 minit. Aku sudah fasih dengan jalan rentas-merentas mengikut lorong belakang.

Sekolah aku tidak ada kampus. Semuanya dalam bangunan.

PCL (1839) ini adalah salah satu politeknik terawal dalam dunia.

Didirikan untuk memberi bantuan teknikal kepada universiti yang menjurus kepada keilmuan akademik.

PCL memiliki sejarah. Pada akhir bulan Febuari 1896, seramai 54 pejalan kaki di Regent Street masuk ke dewan untuk menonton filem pertama dalam dunia garapan Auguste Lumiere dan Louis Lumiere – Lumiere Brothers dari Perancis.

Penonton membayar satu syiling untuk menonton 40 saat filem pertama dalam dunia.

Dewan ini milik PCL yang akhirnya mendirikan sekolah filem di mana aku belajar.

Pada satu petang Sabtu, Restoran Desaru belum dibuka.

Aku sedang duduk berlabun dengan Shah di meja depan dapur.

Masuk seorang lelaki 40-an yang tidak berapa berapa tinggi. Kulit macam kulit Arab.

“Sir.. sorry… not open yet”. Aku melaung dari jauh.

“Where is Freedy?” Lelaki itu bersuara.

Freedy muncul dari bar. Mereka berbincang. Kemudian lelaki itu berundur.

Freedy mengamit aku datang ke bar.

“When you see him next time, show some respect okay?” Freedy memberi ingatan kepada aku.

Aku menjadi hairan. Aku tak faham apa salah yang sudah aku lakukan.

“Who is fuck is that guy?” Aku bertanya kepada Shah.

“That guy…Freedy Malta… Soho gangster. Small time laaa not big”. Shah menunjukkan jari kelengkengnya yang kecil ke muka aku.

Kemudian Soo bersurah kepada aku tentang sejarah Restoran Desaru.

Satu malam Mr Gan menang lebih dari 40,000 pound dari meja Casino.

Duit itu dijadikan modal untuk membuka Restoran Desaru. Mr Gan dengan bijak mengajak Freedy Malta untuk berkongsi sama.

Baru aku faham kenapa Freedy Filipina mahu aku menunjukkan hormat kepada Freedy Malta. Sosok berbadan pendek ini memiliki saham di Restoran Desaru.

Bila kampus aku dibuka aku tidak lagi bekerja sepenuh masa.

Aku menjadi pelayan hujung minggu. Aku bekerja petang Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Masuk saja ke PCL aku membuat lagi ramai kenalan baru.

Aku tidak lagi rapat dengan kawan-kawan pelajar Malaysia. Din Wahab dan pelajar sekolah fesyen sudah pulang. Yunus Ali sudah pulang.

Kini aku melayari kota London. Aku semakin selesa dengan Soho.

Di London aku sedang menikmati sate, nasi goreng, “bulu ari” dan air anggur.

Kaki aku semakin terperosok ke dalam Soho yang sedang menarik aku untuk menjadi Londoner.

Malaysia sudah lama aku tinggalkan. Yang benar dan yang hakiki dan yang depan mata aku ialah London.

Penulis, dramatis dan penyair Inggeris, Samuel Johnson (1709-1784) pernah berkata: sosok yang letih dengan London, dah letih dengan hidup.

Aku belum letih dengan London. Aku baru menanggalkan kelongsong berudu untuk meloncat dan mengambur dalam kota London.

Pada tahun 1955, kali pertama aku sampai ke pekan Kuala Klawang.

Ini ketika arwah Emak aku berpindah dari Sekolah Tapak Kuala Pilah ke Sekolah Umum Kuala Klawang B.

Aku ingat lagi petang itu arwah Abah aku membawa aku menapak ke pekan Kuala Klawang untuk membeli minyak api.

Lampu elektrik di kuarters rumah guru belum dipasang. Malam pertama di rumah itu kami masih menggunakan lampu pelita.

Aku ternampak deretan kedai atap zink. Aku jangka inilah pekan Kuala Klawang. Silap. Aku tersilap. Deretan rumah kedai ini ialah rumah orang Cina di pinggir pekan di sebelah rumah pasong.

Bila aku masuk ke dalam pekan Kuala Klawang aku merasakan pekan aku ini adalah pusat bumi.

Kuala Klawang yang ada lampu dalam kaca dan air dalam besi. Ini adalah ingatan aku yang tidak akan padam-padam.

Pada tahun 1987 – bila aku bertemu Soho aku menilai kembali pandangan itu.

Aku berupaya membezakan Kuala Klawang tahun 1955 dengan London 1987.

Ketika menilai aku sedar Sakai Biduanda itu boleh dikeluarkan dari kampungnya dan di bawa ke London.

Tapi kampungnya tidak akan dapat dikeluarkan dari Sakai Biduanda itu.

Bila aku terkial-kial cuba membuka botol air anggur untuk pelanggan, Freedy akan cepat datang membantu.

“Which kampung you came from?” Freedy selalu menggunakan ayat ini untuk memerli aku.

Musim panas berjalan. Hari berganti hari.

Aku makin selesa dengan Soo, Yap, Ah Tan dan Shah.

Aku masih ingat lagi hari itu hari Sabtu.

Aku bekerja malam di Restoran Desaru. Hujung minggu Restoran Desaru akan penuh dengan pelanggan. Kadang-kadang terpaksa menolak pelanggan.

Tiba-tiba aku dapat panggilan telefon dari Jomo.

Jomo ini aku kenal ketika dia masih lagi pelajar di Amerika Syarikat.

Ketika bercuti musim panas tahun 1973 dia pernah datang ke Rumah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Ketika itu aku setiausaha agung PMUM. Jomo memperkenalkan Pesatuan Pelajar Malaysia Amerika Utara (Pemau) kepada PMUM.

Kami bertukar-tukar pandangan dan ingin bekerjasama.

Bila aku menghilang ke luar negara aku dengar Jomo pulang dari Amerika Syarikat dan menjadi pensyarah ekonomi di Universiti Malaya.

Jomo dan kawan-kawan menerbitkan majalah bulanan Nadi Insan. Majalah ini pernah aku baca ketika aku di Pakistan.

Ketika Jomo menelefon aku, dia sedang bercuti dari mengajar. Dia berkampung di Universiti Cambridge. Jomo meminta aku datang ke North London.

Aku sampai di alamat yang dinyatakan Jomo. Jomo kenalkan aku dengan Udo – lelaki 40-an berasal dari Jerman.

Udo bekerja di pejabat Amnesty Internasional (AI). Tempat kami bertemu bukan di pejabat AI tapi di rumah Udo.

“Yunus kena tangkap..ramai kena tangkap”. Jomo membuka kata.

Aku yang sudah jadi Mat Soho tak tahu satu habuk apa yang sedang berlaku di Malaysia. Aku membuka mata dan mendengar.

“How many .. total arrested?” Udo bertanya.

“Not sure,” kata Jomo.

Petang itu aku difahamkan seminggu lalu pada 27 Oktober 1987 berlaku tangkapan besar-besaran bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri pada ketika itu melancarkan penangkapan beramai-ramai melalui Operasi Lalang.

Kawan aku Yunus Ali ditangkap sama. Jomo menyebut beberapa nama. Nama Pemuda PAS. Nama Pemuda Umno.

Nama pelik seperti Mat Sabu, Muhfuz Omar yang aku tak pernah dengar. Nama-nama yang semuanya tidak aku kenal kecuali Lim Kit Siang.

Aku tak tahu apa yang wajib aku lakukan. Berita ini memeranjatkan. Aku terperanjat kerana kawan aku Yunus Ali ditangkap.

Ketika aku di rumah Udo dalam kepala aku hanya satu ingatan: aku wajib sampai ke Restoran Desaru.

Aku bekerja malam ini. Jam 6.00 makanan untuk pekerja di sediakan dari dapur.

Jam 6.30 petang Restoran Desaru dibuka. Jam dinding rumah Udo melintasi jam 7.00 petang. Aku minta diri.

Udo dan Jomo menghantar aku ke stesen keretapi bawah tanah. Kami berjanji akan bertemu lagi.

Aku bergegas menuju ke Soho, menuju ke Restoran Desaru.

Hampir jam 8.00 malam aku sampai. Pelanggan ramai. Kerana aku tidak muncul Mr Gan memanggil kawannya Richard, seorang akauntan untuk membantu.

Soo, Yap dan Shah hairan mengapa aku lambat sampai.

Aku tidak menerangkan kepada mereka. Aku bergegas menukar pakaian dan terus bekerja.

Aku sedar warga Malaysia yang bekerja di Restoran Desaru tidak tahu menahu apa yang sedang belaku di Malaysia.

Malah mereka tidak akan mahu tahu. Mereka tidak akan faham untuk bersimpati dengan aku.

Sesudah Restoran Desaru ditutup aku mengambil bas malam N8, untuk pulang ke 44, Newmill House di Bromley-by-Bow.

Dalam kepala aku teringat aku berkelana meninggalkan tanah air untuk melarikan diri dari ditangkap di bawah ISA.

Yunus juga datang menyertai aku di Melbourne, Australia juga untuk melarikan diri dari ISA.

Kini aku di London. Kini aku di Soho. Aku merasa selamat.

Pada masa sama aku merasa perlu menarik kaki yang hampir terbenam di Soho.

Aku perlu kembali menyambung perjalanan asal.

Sebelum tidur aku berjanji esok pagi aku wajib membuat beberapa panggilan telefon.