- Iklan -
Kolum

Satu pembunuhan di bulan Oktober

The Dissident dokumentari serasa sepertinya sebuah thriller politik yang mendebarkan.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Bryan Fogel aktivis hak asasi manusia Amerika Syarikat memenangi Anugerah Oscar untuk tahun 2017 dengan dokumentari tersohor Icarus, bagi kategori Best Documentary Feature 2018.

Demikianlah dokumentari itu menggemparkan dunia, rahsia oleh pemberi maklumat Dr Grigory Rodchenkov, yang ditampilkan dalam Icarus membolehkan komiti sukan olimpik melarang penyertaan Rusia dalam Sukan Olimpik Musim Dingin 2018.

Dokumentari ini menerima sambutan hangat ketika ditayangkan di Netflix.

Ia memenuhi segala ciri dokumentari terbaik.

Subjek bosan iaitu penggunaan dadah dalam kalangan atlet diperagakan dengan begitu bergaya sehingga ia serasa membekas.

Dokumentari beliau yang seterusnya, The Dissident, untuk terbitan tahun 2020 nampaknya menerima kesukaran untuk dijual.

Bukan kerana mutunya yang merosot. Malah, persembahan The Dissident demikian luar biasa, dokumentari ini serasa sepertinya sebuah thriller politik yang mendebarkan.

Topik karya beliau kali ini bukan topik biasa.

Ia mengenai pembunuhan Jamal Khashoggi – jurnalis warga Saudi, kolumnis The Washington Post, mantan ketua pengarang Al-Watan dan penggerak utama saluran Al-Arab yang berlaku pada 2 Oktober 2018 di Kedutaan Saudi di Istanbul, Turki.

Demikian bagusnya kualiti dokumentari sepanjang 119 minit ini; ia melekatkan audien di kerusi, memahamkan khalayak mengenai pergolakan politik dalaman Arab Saudi, corak manipulasi Petro-Dolar, keterlibatan Rumah Putih di bawah pentadbiran Donald Trump, isu geo-politik dunia Arab sesudah “Arab Spring”, pertembungan Turki-Arab Saudi dan bagaimana pihak berkuasa beroperasi untuk mendiamkan pembangkang di laman Twitter.

Apa yang lebih menyayat hati tentang The Dissidents ialah kisah cinta tragis antara Jamal Khashoggi dan tunangnya, Hatice.

The Dissidents bermula dengan pemandangan dingin Montreal, seraya memperkenalkan kepada khalayak Omar Abdul Aziz, video-blogger Arab Saudi yang mendapat suaka politik di Kanada.

Pada mulanya tidak terdapat hubungan antara Omar, dan Jamal.

Akan tetapi keratan demi keratan penjelasan mengenai kerja-kerja politik Jamal di Arab Saudi membawa kita ke Mesir, dan Amerika Syarikat sedikit demi sedikit gambaran besar seputar pembunuhan Jamal terdedah.

Tentu sahaja bahagian paling sukar ialah memperlihatkan perasaan dan emosi Hatice, yang Fogel temui kira-kira sebulan setelah pembunuhan Jamal.

Hatice sedang murung, sarat emosi, dan masih tidak percaya tunangan yang patut dikahwininya terkorban dalam keadaan sangat jahat.

Fogel terpaksa menjadi teman, dan juga orang paling dekat untuk Hatice bagi mendapatkan subjek yang diingininya.

Dokumentari selalunya adalah penjelasan ilmu, pendedahan maklumat dan perungkaian rahsia menerusi gambar bergerak.

Ia tidak boleh mengada-adakan.

Namun, ia boleh digubah agar diyakini.

Dokumentari menurut saya, adalah seumpama satu tesis doktorat yang bermula dengan permasalahan dan objektif lantas disusuli oleh pendekatan.

The Dissidents adalah tesis lengkap.

Ia melontarkan pertanyaan siapakah yang membunuh Jamal, dan mengapa.

Ia menelusuri penyiasat-penyiasat terawal yang dapat masuk ke dalam bangunan kedutaan di Istanbul; untuk melihat apakah rupanya tapak pembunuhan itu.

Fogel membawa masuk kameranya meneropong telaga yang dikatakan menjadi tempat pembuangan sisa mayat Jamal, ketuhar kebab pembakar daging yang didakwa tempat daging dibakar demi memadam bau hamis satu pembunuhan; dan tempat Jamal dikerat; di dewan konferens yang dipercayai terdapat lintas langsung ketika penyembelihan tersebut berlaku.

Ia bukan satu tontonan mudah.

Ia memerlukan hati yang gagah.

Sebahagian besar isi dokumentari ini tidak bertujuan untuk menangisi kematian Jamal, akan tetapi untuk membakar perasaan penonton.

Keinginan pembikin filem ini adalah agar ada satu keadilan ditegakkan.

Pada adegan puncak iaitu perincian bagaimana Jamal ditekup dengan plastik, dan kemudian dikerat satu demi satu anggota, otot dan dagingnya; pelapor rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agnes Callamard ditampilkan membaca transkrip perbualan pembunuh-pembunuh Jamal dengan begitu sukar, seraya dipaparkan halaman transkripsi tersebut.

Fogel ikut menjejaki perjalanan penyiasatan Callamard selama enam bulan untuk memahami bagaimana pembunuhan itu telah melampaui undang-undang antarabangsa.

Callamard menegaskan 15 ejen Saudi melakukan pembunuhan keji itu yang mana ia diatur, dirancang, dikoordinasi dan didanai dengan “modal insan” dan pembiayaan kewangan.

Di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Geneva, Callamard tanpa berganjak menyebutkan terdapat enam pelanggaran undang-undang antarabangsa antara lain larangan penderaan, kehilangan paksa, dan pembunuhan oleh kerana usaha untuk mendiamkan kebebasan bersuara.

Tidak seperti Icarus, The Dissidents yang mula-mula ditayangkan di Pesta Sundance tidak menggiurkan Netflix.

Di sebalik tepukan gemuruh penonton dan tangisan khalayak, serta ulasan filem yang penuh lima bintang perlima; filem ini menemui kesulitan untuk diedarkan.

Tiada syarikat besar sanggup menerimanya.

Gelar Oscar di belakang Fogel tidak bernilai dan berharga.

Tiada satu tawaran pun datang ke pangkuan Fogel.

Di sebalik sahutan yang meriah dan hebat, dokumentari ini tidak dapat dijual.

Padahal ada doku subjek lain terjual dengan harga 12 juta dolar di situ.

Hanya enam bulan kemudian, Tom Ortenberg dan Briarcliff Entertainment memberanikan diri untuk mengambilnya dan mensyaratkan ia dijual secara sewaan di atas talian.

Hasrat Fogel agar 200 juta audien yang sedang terkurung oleh pandemik di rumah dapat menontonnya tidak kesampaian.

Beliau terpaksa berpuas hati sekadar itu.

Fogel tidak perlu meneka mengapa doku ini gagal mendapat perhatian pengedar yang patut.

Kita juga tahu, dan tidak perlu menyebutnya.

Satu bahagian paling menekan rasa ialah pada hujung dokumentari ini kita memahami apa hubungannya antara Omar dan Jamal di mana perbualan dan juga komunikasi aplikasi perbualan antara mereka telah diceroboh oleh pihak berkuasa yang jahat.

The Dissidents masih ditayangkan di beberapa platform di atas talian, dengan harga mahal, tetapi ia memang berbaloi untuk disewa dan ditonton.

Dokumentari ini mengejutkan, ia merupakan pengalaman dokumentari yang tiada taranya.

Malangnya topik menggugah itu ialah tentang pembunuhan seorang penentang, seorang reformis, seorang kekasih, seorang mentor dan seorang pengarang yang sebetulnya menginginkan kemerdekaan untuk bangsanya dari terus-terusan dikongkong.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.