Menyusuli pendedahan mengenai industri daging halal akhir tahun lalu yang melibatkan kartel pengimport asing, Emir Research telah menyarankan pihak berkuasa relevan mengambil kira penggunaan teknologi rantaian blok bagi mencegah kejadian berulang.
Sejak Oktober lagi, pihak kastam telah melaksanakan penggunaan platform TradeLens di Malaysia yang berasaskan teknologi rantaian blok bagi memodenkan proses penghantaran, mewujudkan ketelusan yang lebih ketara serta meningkatkan kepuasan pelanggan.
Penyertaan kastam dalam platform TradeLens yang dibangunkan bersama AP Moller-Maersk dengan IBM berdasarkan konsep Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) Bersama itu, menandakan bermulanya usaha pendigitalan operasinya yang akan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kerjasama merentasi rantaian bekalan, selain memenuhi misinya untuk memudahcarakan perdagangan yang sah, membantu memerangi penyeludupan dan memodenkan sistem logistik nasional demi menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia.
Dengan pendigitalan proses penghantaran malalui kapal, TradeLens menyediakan kastam dengan alat penjejakan automatik dan tidak berubah yang akan membawa kepada aliran kerja yang lebih selamat, telus, cekap dan mudah, melalui perkongsian maklumat hampir masa sebenar di kalangan pelbagai rangkaian anggota ekosistem TradeLens.
Ia bukanlah satu kebetulan kegiatan kartel selama bertahun-tahun itu hanya dapat dibongkar setelah teknologi rantaian blok digunakan melalui platform TradeLens, sebuah platform perdagangan global digital yang membolehkan penjejakan kontena dan perkongsian maklumat yang lebih cekap dan tepat di antara anggota platform.
Sememangnya, ini adalah petunjuk jelas betapa rasuah yang mendalam dalam kalangan sebilangan kecil mempunyai impak besar dalam kehidupan, penggunaan makanan dan kepercayaan agama berjuta-juta orang. Dan proses rantaian bekalan yang selama kini terputus dan terpisah menyediakan “jurang keselamatan” untuk dipergunakan kartel daging, kini dapat diatasi melalui perlanjutan bersepadu aplikasi teknologi rantaian blok.
Menurut para pakar, TradeLens mendigitalkan proses penghantaran yang membolehkan pihak berkuasa berkenaan menerima data penghantaran sebaik sahaja kapal kontena meninggalkan pelabuhan asal.
Ini berbeza dengan proses penghantaran sebelum pendigitalan yang memakan masa berpanjangan kerana melibatkan prosedur berdasarkan kertas, yang dikatakan telah menimbulkan beberapa titik rentan di seluruh sistem rantaian bekalan global.
Malah, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menganggarkan teknologi digital akan memberi kesan mendalam kepada perdagangan global, menambah hingga 34 mata peratusan bagi pertumbuhan perdagangan menjelang 2030.
TradeLens akan memberi kastam lebih banyak masa membuat persiapan bagi ketibaan penghantaran.
Masa ini membolehkan pemeriksaan lebih cekap dan menyeluruh bagi membanteras penipuan dan pemalsuan serta proses pengumpulan hasil pendapatan yang lebih konsisten dan telus.
Platform rantaian blok juga akan membolehkan semua kegiatan logistik termasuk pengangkutan lori, pergudangan, perkapalan dan penghantaran barang di peringkat domestik dan global disepadukan, sekali gus meningkatkan perkongsian maklumat dengan data melalui satu platform.
Ia juga mendorong kepercayaan di kalangan rakan dagang kerana rekod semua urusan dikongsi bersama dalam rangkaian dan pihak yang dibenarkan dapat mengakses data dalam masa hampir sebenar, memungkinkan kastam keterlihatan dalam aktiviti rantaian bekalan yang semua datanya telah disahkan, sangat dipercayai dan dalam hampir masa sebenar.
Selain Malaysia, sejumlah pihak berkuasa pemerintah dari negara lain, agensi perkapalan, kapal kargo pukal dan pihak berkuasa pelabuhan telah bekerjasama dengan IBM dan AP Moller secara global dalam penggunaan platform TradeLens.
Melangkah ke hadapan, TradeLens dapat menjadi pangkalan di mana seluruh proses dan rangkaian pensijilan halal yang berpandukan teknologi rantaian blok dapat beroperasi oleh kerana ianya dapat diperluas untuk dimasukkan sebagai sebahagian keseluruhan proses urusan dan rantaian bekalan makanan.
Untuk ia berjaya, satu syarat penting adalah penyertaan pemain industri dan pihak berkepentingan, terutama pengimport daging halal, dan ini harus diwajibkan, iaitu adalah mandatori bagi mana-mana pengimport daging halal atau rakan sekerja asing mereka diberi mandat oleh undang-undang untuk menjadi anggota platform TradeLens agar kegiatan rantaian bekalan mereka termasuk perkapalan dan pergudangan dapat disahkan oleh platform TradeLens dan kemudiannya dikongsikan di kalangan anggota platform yang memperolehi kebenaran.
Ini pula memerlukan pindaan Akta Perihal Dagangan 2011, khususnya yang berkaitan dengan undang-undang subsidiari Perintah Perihal Dagangan [Definisi Halal], 2011 serta Perintah Perihal Dagangan [Pensijilan dan Penandaan Halal], 2011.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kemudian dapat mewujudkan pangkalan datanya yang berdasarkan masa sebenar serta mengandungi maklumat semua pembekal asing dan selanjutnya semua urusan untuk tujuan pengawasan, pemantauan dan audit.
Ini akan meningkatkan keselamatan digital serta menambahbaik dan melengkapkan ciri-ciri teknologi rantaian blok yang kalis perubahan dengan memastikan tanda tangan yang disulitkan (encrypted/hashed signatures) untuk mengaburkan maklumat supaya tidak dapat dibaca tanpa pengetahuan khusus, diperiksa semula berdasarkan pangkalan data sebenar Jakim sendiri.
Dalam pada itu, pangkalan data sebenar harus diagihkan supaya ia berupaya untuk saling beroperasi (interoperable) secara antara muka (interface) dengan agensi kerajaan lain, iaitu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia di bawah Kementerian Pertanian & Makanan Industri yang mengeluarkan permit kelulusan (AP), dan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna. Saling beroperasi adalah kunci di sini yang secara amnya bermaksud kemampuan sistem yang berbeza untuk “berhubung” antara satu sama lain.
Pangkalan data sebenar Jakim itu boleh meniru dan mencontohi peranan TradeLens dalam perkongsian data tanpa perlu mengulangi proses urusan platform itu sendiri.
Jadi, pangkalan data Jakim dapat digabungkan serta menyokong dan juga melengkapi peranan sistem TradeLens.
Dalam hal ini, pangkalan data Jakim sebenarnya memainkan peranan latar belakang memantau sistem TradeLens – meningkatkan integriti kedua-dua sumber data dan keseluruhan proses urusan teknologi rantaian blok.
Sumber atau asal usul data adalah salah satu aplikasi teknologi rantaian blok paling penting yang merujuk kepada dokumentasi dari mana datangnya data dan proses dan metodologi yang mewujudkan data tersebut.
Ini membentuk satu garis masa jagaan tunggal yang selamat, yang juga kalis gangguan.
Sistem ini dapat digunakan untuk memberikan “naratif” kepada pelanggan mengenai setiap produk berkenaan sumber, bahan, lokasi, proses, dan identiti pembekal yang digunakan oleh perniagaan, dan juga memungkinkan perniagaan untuk membuat dakwaan tertentu mengenai ciri-ciri produk mereka menggunakan data sebenar.
Dengan ini, penjejakan asal usul setiap data dan adakah ia masih terkini menjadi mudah.
Rantaian blok tersebut mempunyai maklumat lengkap mengenai alamat dan jalur rantaian bekalan dari sumber hingga titik pembelian pengguna, memberikan jaminan yang sangat diperlukan bagi umat Islam bahawa “halalnya” makanan di meja mereka dapat dikesan kembali melalui semua lokasi rantaian bekalan halal yang bermula dari ladang halal atau ladang ternakan pertama, termasuk identiti petani atau penternak itu sendiri.
Teknologi rantaian blok menyuntik keyakinan kepada rantaian bekalan halal dan rantai nilai pemilik jenama yang akan dapat menjamin integriti halal dengan lebih berkesan.
Ia juga dapat digabungkan ke dalam sistem keberlanjutan dan tanggungjawab korporat yang lebih luas untuk mengembangkan pasaran jenama di luar pengguna Islam.
Mungkin juga, sebagai sebahagian usaha untuk lebih menyepadukan pangkalan data Jakim ke dalam TradeLens dan bukannya sekadar membangun sistem selari, walaupun saling berantara muka, Jakim perlu menimbangkan adanya penambang (cryptographer) sendiri sebagai sebahagian urusan rantaian blok yang dilihat sebagai ditetapkan dalam konteks proses pensijilan halal yang lebih luas.
Sehubungan itu, Jakim perlu melaksanakan apa yang dilakukan kastam – bekerjasama dengan entiti pakar dalam teknologi rantaian blok seperti IBM untuk “merantai blok” (“blockchainise“) operasi pensijilan halal di mana asal usul data adalah satu kemestian.
Sebagai kesimpulan, sudah tiba masanya untuk meningkatkan pendigitalan proses pensijilan halal dan pendekatan yang lebih baik ialah penerapan teknologi rantaian blok sebagai kaedah yang paling terjamin untuk memastikan integriti halal dan pematuhan ketat.
Jamari Mohtar dan Jason Loh Seong Wei merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.