Operasi Lalang bermula pada 27 Oktober 1987.
Ketika itu aku duduk di No 44, Newmill House, Devas Street di London E3.
Flat aku hanya tujuh minit dari stesen kereta api bawah tanah Bromley-by-Bow.
Kawan aku Yunus Ali ditangkap oleh polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Aku diberitahu oleh Jomo Kwame Sundaram tentang penangkapan Yunus.
Aku juga dibawa berjumpa Udo, warga Jerman yang bertugas di ibu pejabat Amnesty International, London.
Amnesty International, daripada apa yang aku faham sedang meneliti keadaan dan perkembangan untuk tindakan seterusnya.
Aku secara peribadi memerlukan berita selanjutnya. Aku nak tahu apa yang terjadi sehingga Yunus tertangkap. Aku wajib membuat panggilan telefon.
Siapa yang wajib aku panggil? Lebih dari 10 tahun aku meninggalkan Malaysia.
Semenjak aku sampai ke London, aku agak kurang malah jarang berhubung dengan kawan-kawan di tanah air.
Ketika aku di Karachi, Pakistan aku amat rajin menulis surat kepada kawan-kawan di Australia dan Malaysia.
Malah ketika aku di Wavre, Belgium aku masih rajin menulis surat.
Surat daripada kawan-kawan dari seluruh pelusuk menjadi oksigen untuk aku meneruskan perjalanan.
Sesampai ke London semua berubah. Aku dalam dunia baru yang rancak lagi menarik.
Kota London kota budaya – tepuk dada tanya dompet.
Akhbar harian aku The Guardian yang boleh aku dapati di tepi stesen tube dalam perjalanan ke kuliah.
Saluran televisyen yang aku ikuti BBC atau Channel 4.
Panggung wayang dan panggung teater berselirat.
Untuk belanja harian aku bekerja sebagai pelayan restoran. Jujur aku katakan, aku amat selesa.
Aku tidak lagi bersendirian dalam kesesakan orang ramai. Aku tidak diganggu oleh bahasa untuk meluncur laju.
Aku kini sebahagian daripada sosok yang meramaikan kota London.
Hari Khamis setiap minggu dua majalah – Time Out dan City Limit akan keluar di pasaran.
Majalah ini yang akan menjadi pemandu untuk warga kota London.
Semua cita rasa manusia dalam dunia ini akan ditemui dalam majalah ini.
Dalam kota London kita akan bertemu dengan segala jenis makanan dari seluruh dunia.
Dengan semua jenis muzik dan wayang dari seluruh dunia.
Dengan pelbagai “genre” parti politik dari seluruh dunia.
Dengan semua jenis ceramah, forum dan perbincangan dari seluruh dunia.
Dengan semua jenis agama dari seluruh dunia.
Dengan semua jenis keberahian seksual dari seluruh dunia.
Dengan pelbagai bentuk aksi politik dari seluruh dunia.
Semua boleh aku ditemui hanya dengan membaca Time Out atau City Limits.
Time Out dan City Limits ialah “Al-Kitab” yang menjadi pemandu cita rasa warga London.
Melalui majalah ini “Londoner” boleh tahu tempat, masa dan sistem pengangkutan paling hampir untuk memenuhi cita rasa.
Kalau tak mahu membeli majalah, jangan risau ada majalah percuma “What’s On” yang diedarkan di pintu masuk stesen tube dalam pusat kota setiap hari Rabu.
London adalah kota tepuk dada tanya selera.
Aku tak perlu meninggalkan London pergi ke Lagos untuk menikmati air nira Nigeria.
Aku tak perlu ke Mexico untuk menikmati taco.
Dengan gerak laku dan bijak mengayat sebagai Londoner aku tak perlu ke Tokyo atau Osaka untuk bermalam dengan minah Jepun.
Aku tak perlu ke Rom untuk mengayat agar dapat menikmati kucupan panas lidah basah minah Itali.
Ini kota London – tepuk dada buka zip.
Bayangkan aku yang mula menginap kini dalam perjalanan untuk menjadi Londoner.
Aku sudah merayau dari Kuala Klawang ke Kuala Lumpur ke Melbourne, ke Tokyo, ke New Delhi, ke Beirut, ke Damas, ke Tehran, ke Kabul dan kini aku menjadi warga kota London.
Ketika ini kawan aku Yunus ditangkap di bawah ISA di Kuala Lumpur.
Yunus ditangkap dalam Operasi Lalang.
Aku pukul telefon untuk bercakap dengan Rohana Ariffin.
Sudah lama aku kenal dengan Rohana.
Ada kisah yang berjela-jela antara aku dan Rohana.
Ketika aku tinggalkan Malaysia Rohana sedang bertugas sebagai pegawai Felda.
Pada tahun 1975 aku difahamkan Rohana menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kampus Jalan Gurney.
Suami Rohana ialah Abu Yacob wakil Al-Fatah dan kemudian menjadi duta Palestin pertama di Malaysia.
Bila aku menelefon Rohana dia berada di Warwick University – England Utara.
Rohana datang pada bulan September 1987 dan mendaftar sebagai pelajar.
Dia sedang membuat kajian untuk mempersiapkan ijazah kedoktoran (PHD).
“Bila Yunus kena tangkap?”
“Jomo beritahu aku dua hari lalu”.
Rohana juga rapat dengan Yunus.
Malah pada tahun 1984 Rohana menyimpang dari Tripoli di Libya untuk datang bercuti ke London setelah selesai mengikuti persidangan Buku Hijau Muammar Gaddafi.
Aku juga datang menyusul dari Wavre, Belgium.
Kami sama-sama menumpang di rumah Yunus di Stratford, E7.
“Jumaat petang kami datang”. Rohana berjanji akan turun ke London.
Berita tangkapan beramai-ramai Operasi Lalang mula heboh ke seluruh dunia.
Akhbar The Guardian di kota London melaporkan. Akhbar lain aku tidak membaca.
Jumaat petang Rohana sampai dengan anaknya Taera.
Taera ini Minah Melayu campur Palestin.
Taera lahir pada Ogos 1974 ketika aku berada di Tokyo.
Mustahil aku lupa. Sesampai aku dari Tokyo Abu Yacob terus meminta aku pergi ke Hospital di Medan Tengku.
Taera dilahirkan.
Ketika aku sampai ke hospital aku masih lagi dalam keadaan “terbang”.
Aku “terbang” hasil daripada champagne yang aku minum dalam kapal terbang MAS.
Hendak dijadikan kisah – ketua pramagura pesawat MAS yang aku naiki ialah Ahmad Fauzi seorang “old boy”.
Maka berteko-teko champagne sampai ke meja aku.
Petang itu ketika Taera sampai aku ternampak dia memakai dua jam tangan – di tangan kiri dan kanan.
Jangan silap faham bukan Taera hendak mengikut waktu Kuala Lumpur dan waktu London. Tidak. Bukan.
Ha. Ha. Ini fesyen yang amat cool ketika itu.
Anak anak gadis belasan tahun pada ketika ini semuanya basah lembab terpengaruh dengan Bros yang memakai dua jam tangan.
Bros ialah kumpulan penyanyi dua beradik kembar, Matt Gross dan Luke Gross. Mereka ini kacak dan jambu.
Bulan Ogos 1987 lagu pertama Bros “I Owe You Nothing” melanggar London.
London hangat dan basah dengan Bros. Mustahil mata akan terlepas daripada ternampak poster Bros, kalender Bros, topi Bros, baju T Bros dan seribu satu bahan jualan yang bersangkutan dengan penyanyi kembar dua beradik ini.
Malah aku sendiri secara tak sengaja pernah ternampak Matt sedang meloncat-meloncat atas katil ketika dia mahu membeli tilam di kedai perabut di Tottenham Court Road.
Jangan silap faham aku tidak pernah meminati Bros. Aku kenal Bros kerana Taera pakai dua jam tangan. Taera pada ketika itu hanya seorang daripada berjuta anak gadis belasan tahun yang akan basah apabila melihat Bros bertandak dan menyanyi.
“Taera…. why are you wearing two watches?” Aku cuba berlagak sebagai penjaga moral.
“I like it”. Jawapan yang jujur. Aku tidak perlu mencari ayat atau hadis untuk menentang jawapan Taera.
“Joe dan Irene juga akan datang esok?”
“Sapa Joe? Sapa Irene?” Dua nama yang tak pernah muncul dalam perjalanan aku.
“Joe… dia buat MA di Warwick. Irene isteri dia. Datang melawat. Bulan lepas dari KL”.
“Aku ajak Jomo datang”. Aku beri cadangan. Lalu aku menelefon Jomo di Cambridge mengajak dia datang sama.
No 44, Newmill House, flat dua bilik di wilayah “working class”.
Untuk jantan solo seperti aku, flat ini cukup lumayan. Tapi jika ada dua atau lebih anak aku rasa flat ini sempit tak sesuai. Flat ini milik Majlis Bandaran Tower Hamlet. Flat khusus untuk warga kelas buruh berpendapatan rendah.
Tetangga aku di No 43 ialah Mr Ali berasal dari Bangladesh bersama isteri dan tiga orang anak.
Dari sejarah yang aku difahamkan flat-flat ini didirikan sesudah perang dunia kedua.
Wilayah tempat aku tinggal ini tidak jauh dari Dockland, pelabuhan besar Sungai Thames.
Wilayah ini antara yang paling teruk di bom oleh Luftwaffe, kapal terbang pengebom Jerman.
Awalnya kawasan perumahan ini untuk menampung mereka yang pulang dari perang.
Akhirnya menjadi wilayah “orang putih miskin” dan imigran baru dari Bangladesh.
Esoknya petang Sabtu, Joe dan Irene sampai.
Aku sebagai tuan rumah mempersilakan mereka masuk.
Aku agak tergamam kerana suami isteri ini datang bersama Lucy dan Natasha.
Anak gadis ini, Lucy aku rasa lebih muda dari Taera.
“My husband and my brother detained. Isham do you remember Irene?” Lucy berkata sambil bersalaman.
Aku terperanjat. Suami Lucy ayah kepada Natasha – John Sybil juga di tangkap di bawah ISA.
Adik Lucy bernama Julian juga ditahan.
“Isham .. do you remember Irene Xavier? She was arrested”. Lucy mengulangi soalan yang tidak aku jawab.
Aduh! Lucy ini amat aku kenali.
Irene Xavier juga aku kenal baik. Kami masuk ke Universiti Malaya pada tahun dan fakulti yang sama.
Kami juga tinggal di Kolej Kelima.
Kami bersama-sama diorientasi ketika masuk ke Kolej Ke Lima pada tahun 1971.
Mustahil aku akan melupakan Lucy dan Irene.
Aku tidak kenal suami Lucy, John Sybil. Aku tak kenal Julian adik Lucy.
Irene dan Lucy ini aktivis daripada Students Catholic Movement (SCM).
Kelab Sosialis Universiti Malaya selalu bekerjasama dengan SCM.
Garis pandangan dunia kami amat serasi.
Garis pencerahan yang dibawa oleh SCM agak selari dengan garis pandangan dunia Kelab Sosialis.
Mahasiswa, pelajar dan anak muda dari SCM menganut fahaman Liberation Theology. Kami dari Kelab Sosialis menganut fahaman kiri.
Garis iman “liberation theology” ini dimulakan oleh Gustavo Gutierrez (1928) seorang paderi, ulama dan ahli falsafah mazhab Dominican dari Peru.
Paderi Gustavo ini juga adalah bekas graduan dari University Catholic Lueven (UCL) Belgium.
Para alim ulama Kristian yang mengajukan liberation theology mengahwinkan pemahaman teologi Kristian dengan analisa sosio-ekonomi yang sedia wujud.
Para alim ulama ini juga menganjurkan agar penganut Kristian membantu dan membebaskan umat manusia daripada penindasan dan kemiskinan.
Garis ajaran liberation theology ini mula berkembang di Amerika Latin pada tahun 60-an.
Ianya bertujuan untuk mengembangkan keadilan dalam dunia.
Pada hemat aku teologi ini juga sama seperti teologi Islam yang disebarkan oleh Ali Shariatai (1933-1977) dan Ayatollah Taleghani (1911-1979) di Iran.
Pandangan dan pegangan Shariati dan Taleghani inilah yang mengampoh ketika warga Iran bangun melawan kezaliman Shah Reza Pahlavi.
Aku tidak sangka petang itu di 44, Newmill House aku akan bertemu dengan Lucy.
Dia sedang belajar dalam bahagian undang-undang di East London Polytechnic.
Kalau tidak kerana Operasi Lalang kami tak akan bersua.
Petang itu juga untuk pertama kali aku berjumpa dengan Irene Fernandez dan Joe suaminya.
Nama Joe pernah aku dengar daripada Rohana kerana dia membuat ijazah master di universiti yang sama dengan Rohana.
Irene Fenandez? Aku tak pernah kenal. Aku difahamkan Irene mengendalikan NGO di Malaysia.
Di London aku hanya mengenali Irene ini sebagai isteri kepada Joe. Dia datang ke Warwick kerana suaminya sedang menyambung belajar di sana.
Petang Sabtu itu Jomo sampai agak lambat sedikit.
Ruang tamu aku yang kecil menjadi padat. Operasi Lalang menemukan warga Malaysia di 44, Newmill House.
Jomo membawa berita terkini.
Nama-nama baru disebutkan.
Semuanya aku tak tahu dan tidak kenal.
Nama seperti Dr Nasir Hashim, Dr Kua Kia Soong, Dr Chandra Muzaffar, Dr Cecilia Ng, Heng Leng dan KK Tan, semua ini hanya bunyi untuk telinga aku.
Hanya nama Chandra yang aku ingat dan aku kenal.
Kerana sebelum Operasi Lalang Chandra pernah datang ke London dalam satu program.
“The biggest arrest by Mahathir”. Lucy berkata.
Aku tidak tahu pun siapa sebenarnya Mahathir Mohamad ini.
Aku sedar ketika Operasi Lalang Mahathir adalah penerbit utama kerana dia merupakan perdana menteri.
Pada tahun 1970 aku ada membeli buku “haram” The Malay Dilemma tulisan Mahathir.
Ketika itu apa sahaja yang dilarang baca, aku akan baca.
Apa sahaja yang dilarang minum, aku akan minum.
Apa sahaja yang dilarang hisap aku akan hisap.
Aku sedang memupuk pencerahan muda aku.
Makin dilarang makin menjadi.
Aku masih ingat lagi pada tahun 1969 beberapa bulan selepas 13 Mei, ketika aku belajar di Kuala Kangsar.
Aku ada membaca surat Mahathir – saikostail – kepada Tunku Abdul Rahman.
Isinya tentang Tunku suka main kuda dan minum whiskey.
Ada kawan-kawan satu dorm yang ulang sebar. Aku tak ambil pot.
Dalam tahun 1969 itu juga aku terbaca konsep “Malay Ultra”.
Entah apa maknanya aku pun tidak faham sangat. Yang aku faham Melayu nak bunuh Cina, bergaduh di Kuala Lumpur.
Darurat diumum. Parlimen digantung.
Ketika aku meninggalkan Malaysia, Tun Razak adalah perdana menteri.
Mahathir berjawatan menteri pelajaran.
Ghazali Shafie menteri dalam negeri (1922-2010).
Daripada apa yang aku diberitahu Mahathir yang meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974.
Aku tidak faham apa latar belakang hingga berlakunya tangkapan beramai-ramai ini.
Bukan aku bebal politik. Tetapi untuk memahami penangkapan beramai-ramai seperti Operasi Lalang pasti ada latar belakangnya.
Tahun 1974 ada Operasi Mayang.
Aku tahu latar belakangnya.
Operasi Mayang bertujuan untuk menangkap kami para pelajar, mahasiswa yang turun berdemo dan bersetiakawan dengan kaum tani miskin dari Baling, Kedah.
Ketika itu aku adalah setiausaha agung Majlis ke 16, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Aku juga presiden PMUM ke 17 yang baru dilantik.
Petang itu di 44, Newmill House kami bertemu dan kami berbincang.
Apa yang wajib kami lakukan.
Suami Lucy dan adiknya ditahan.
Kaum kerabat Jomo dari majalah Nadi Insan seperti Heng Leng, Cecelia dan Dr Nasir ditangkap.
Aku kerana Yunus ditangkap.
Lalu kami bersetuju untuk membuat satu program untuk memberi pencerahan kepada pelajar Malaysia yang bersepah-sepah dalam kota London.
Aktivis pelajar Malaysia yang dulunya berkampung di 34, Birnam Road semua sudah pulang ke Malaysia.
Maria Chin sudah pulang. Sivarasa dari Oxford selamat dipanggil ke Bar di Lincoln Inn untuk menjadi peguam.
Kini Siva juga sudah pulang.
Akhirnya aku menjadi pewaris tradisi 34, Birnam Road.
Dan aku wajib meneruskan apa yang dilakukan oleh aktivis yang terdahulu daripada aku.
Sebelum aku sampai ke London sudah wujud Singapore And Malaysia British Association (Simba).
Juga wujud Federation of Eire United Kingdom Malaysian and Singaporean Students Organisation (FEUMSSO).
Persatuan pelajar yang asalnya mengendalikan tiket penerbangan akhirnya menjadi persatuan pelajar progresif di Konferensi Dublin pada 23 March 1968.
Aku yang tak pulang-pulang ke Malaysia kini mengambil alih dan menyambung tanggungjawab untuk membawa pencerahan tentang apa yang berlaku di Malaysia bukan sahaja kepada pelajar Malaysia di London tapi juga kepada warga United Kingdom dan Eropah.
Aku pelajar tahun satu di Polytechnic of Central London kini kembali menjadi aktivis pelajar.