- Iklan -
Rencana

Hubungan Malaysia-Indonesia: Satu kerjasama dalam suasana mencabar

Jokowi menjemput Muhyiddin dalam keadaan mencabar adalah bukti bagaimana kedua-dua negara meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap hubungan dua hala.

Herizal Hazri dan Philips Vermonte
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Lawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Indonesia bermula hari ini dan akan berakhir dengan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) esok pagi – merupakan satu bayangan betapa perlu dan penting kedua-dua negara itu bekerjasama dalam keadaan ketidaketentuan dan mencabar ini.

Berlangsung dalam suasana penularan pandemik virus yang amat membimbangkan, lawatan ini yang pertama Muhyiddin ke luar negara semenjak menjadi perdana menteri.

Ini dan hakikat Jokowi menjemput Muhyiddin dalam keadaan mencabar adalah bukti bagaimana kedua-dua negara meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap hubungan dua hala.

Maka, apakah sebenarnya menjadi fokus perbincangan apabila kedua-dua pemimpin bersemuka pagi esok di Istana Merdeka?

Dalam hubungan yang dalam, kompleks dan menyeluruh antara Indonesia dan Malaysia, jelas banyak yang perlu diperbincangkan.

Mungkin selamat untuk diandaikan sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang akan dibincangkan dengan serius.

Pertama dan yang paling utama, adalah bagaimana kedua-dua negara boleh menjalinkan kerjasama yang lebih mantap menangani pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan Indonesia dan Malaysia terkesan dengan gelombang demi gelombang jangkitan virus Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa, sekali gus merencatkan ekonomi serta menekan sistem penjagaan kesihatan.

Kedua-dua negara baru-baru ini mencatatkan kadar jangkitan harian tertinggi, dengan kadar jangkitan terkumpul hampir 1.1 juta di Indonesia dan lebih 225,000 di Malaysia.

Pasti, Muhyiddin berminat untuk berkongsi pandangan terutamanya pengalaman Indonesia melancarkan kempen secara besar-besaran penggunaan vaksin Sinovac Biotech.

Dalam pada itu, Malaysia juga dijangka menerima bekalan kumpulan pertama vaksin  Pfizer-BioNtech pada penghujung Februari.

Hal ini memberikan ruang kedua-dua negara untuk berkongsi strategi dan kepakaran diperoleh daripada program vaksinasi masing-masing, termasuk di kawasan mencabar seperti Borneo.

Lanjutan itu adalah diharapkan kedua-dua pemimpin akan mengambil pendekatan jangka panjang dan mula mengadakan perbincangan bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama menangani perubahan mendadak dunia yang disebabkan oleh pandemik ini.

Hakikatnya, tidak banyak negara yang benar-benar bersedia berdepan dengan perubahan yang melanda yang sudah terbukti memberi impak luar jangkaan terhadap sekian lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Indonesia dan Malaysia tidak boleh bersikap pasif dan sekadar memberi tindak balas terhadap perubahan-perubahan ini.

Sebaliknya, kita perlu menggabung sumber dan kepakaran yang ada untuk merangka langkah seterusnya.

Topik perbincangan kedua yang dijangka akan mendominasi pertemuan esok adalah kerjasama ekonomi.

Indonesia dan Malaysia berkongsi banyak kepentingan ekonomi dan kerjasama yang lebih rapat akan memastikan pertumbuhan yang berterusan bagi kedua-dua negara.

Antara kerjasama yang perlu dipertingkatkan adalah di dalam sektor pertanian atau dengan lebih spesifik – kelestarian minyak sawit.

Malaysia dan Indonesia menyumbang hampir 85% pengeluaran minyak sawit global.

Kedua-dua negara pasti terkesan dengan penguncupan akses dan permintaan untuk minyak sawit di pasaran Eropah, terutamanya.

Keputusan Kesatuan Eropah (EU) pada 2019 untuk mengurangkan penggunaan minyak sawit dalam menjelang 2030 adalah satu tamparan hebat bagi kedua dua negara.

Walaupun Malaysia dan Indonesia adalah pesaing sengit di dalam pasaran antarabangsa sawit, kedua-dua negara boleh mencari jalan strategik untuk bekerjasama melancarkan kempen antarabangsa yang mampu menangkis persepsi negatif terhadap minyak sawit.

Untuk mencapai objektif ini, kedua-dua pemimpin harus menumpukan usaha bagi memastikan syarikat minyak sawit mematuhi piawaian dan mempromosi strategi mesra alam dan menjaga hak pekerja tanpa mengira di mana mereka beroperasi.

Tentu sekali dengan hanya menuding jari ke arah pelobi kepentingan pesaing dalam perniagaan minyak masak adalah penyebab reputasi buruk minyak sawit tidak mencukupi.

Sesungguhnya tiada publisiti yang lebih baik bagi mempromosikan minyak sawit melainkan melalui komitmen kerajaan dan syarikat-syarikat pengeluar terhadap alam sekitar dan kesejahteraan pekerja.

Faktor ketiga dan mungkin yang paling penting dalam mesyuarat hari ini di antara Jokowi dan Muhyiddin adalah untuk mereka memutuskan nada dan hala tuju hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Atas dasar ini, banyak yang perlu dibuat oleh kedua-dua negara.

Tidak dinafikan hubungan dua hala kedua-dua negara adalah kukuh dan stabil.

Pastinya, ia dalam keadaan lebih baik sekarang berbanding awal tahun 2000 dan awal 2010 ketika pertikaian sempadan maritim dan pertentangan budaya seperti isu batik sering mendominasi ruang hubungan dua hala Indonesia Malaysia.

Pun begitu, kedua negara tidak boleh mengambil lewa tahap hubungan baik hari ini.

Persepsi seakan-akan kedua-dua negara sudah cukup melakukan apa yang perlu dalam hubungan dua hala boleh melemahkan kelangsungan sedia ada.

Inilah sebabnya kedua-dua negara patut berusaha untuk memantapkan hubungan dua hala dengan visi untuk mengisytiharkan status “hubungan istimewa” menjelang tahun 2022.

Status “hubungan istimewa” akan mencerminkan realiti pertalian Malaysia dan Indonesia yang memangpun sudah terjalin melalui budaya, sejarah, keselamatan dan kemakmuran bersama.

Realitinya kedua-dua negara tidak mungkin dapat dipisahkan.

Jauh daripada sekadar menokok penggunaan jargon baru dalam hubungan Malaysia – Indonesia, status hubungan istimewa merupajan formalisasi proses yang mampu menggalakkan pemikiran baru dan meniup semangat kerjasama yang amat penting ini.

Menyedari hubungan kukuh Malaysia-Indonesia bersedia memasuki era yang lebih komprehensif, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia, CSIS Jakarta dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, ISIS Kuala Lumpur akan memantapkan kerjasama, sepadan dengan usaha pemimpin kedua-dua negara untuk terus bergerak seiringan dengan mantap, membentuk formasi kukuh bagi menghadapi suasana dunia yang kian mencabar.

Herizal Hazri adalah ketua eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Kuala Lumpur dan Philips Vermonte adalah eksekutif direktor Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia (CSIS) Jakarta.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.