- Iklan -
Kolum

Menjadi pekak dalam Sound of Metal

Sebuah filem arahan Darius Marder dilakonkan oleh Riz Ahmed, Olivia Cooke, Paul Raci, Lauren Ridloff dan Mathieu Amalric.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Bagaimana rasanya menonton sebuah filem yang bermula dengan kebingitan, dan kemudian di hujungnya berakhir dengan kesenyapan?

Ada sebuah filem yang temponya bergerak perlahan – malah serasa bukan Hollywood – dengan judul Sound of Metal (2019) yang sangat menggamamkan.

Filem arahan Darius Marder ini dilakonkan antara lain oleh Riz Ahmed, Olivia Cooke, Paul Raci, Lauren Ridloff dan Mathieu Amalric.

Ia mengenai seorang pemain dram kumpulan genre rock metal yang tiba-tiba kehilangan pendengarannya dan menjadi pekak total.

Ruben, pemain dram ini dilakonkan oleh Riz Ahmed, bersama-sama kekasihnya Lou. Mereka tinggal di dalam RV, dan mengitar Amerika untuk membuat persembahan di pelbagai persembahan.

Band mereka Blackgammon, meski kecil, tetap cukup untuk menyara hidup sederhana.

Lou penyanyi kumpulan ini nampaknya bukanlah seorang wanita biasa melainkan anak seorang hartawan Eropah.

Sejak mulai ditayangkan di Pesta Filem Toronto pada September 2019, Sound of Metal telah menerima sambutan yang menggalakkan.

Apabila ia mulai ditayangkan di pawagam terpilih pada November 2020, pengkritik tidak ada ulasan lain kecuali memuji filem ini sepenuhnya.

Ia kemudian menemui penonton sejagat menerusi Amazon sejak Disember 2020.

Riz Ahmed, sudah pun memenangi gelar pelakon lelaki terbaik oleh American Film Institute dan National Board of Review dan kini dicalonkan untuk merebut gelar yang sama bagi Golden Globe dan Screen Actors Guild Award, yang mana akan sangat menentukan siapakah calon dan johannya di Anugerah Oscar kelak.

Saya mengikuti lakonan-lakonan Riz sejak mengenali beliau menerusi The Road to Guantánamo, sebuah doku-drama 2006 arahan Michael Winterbottom dan Mat Whitecross yang memaparkan penahanan dan pemenjaraan secara salah tiga orang remaja lelaki warga British di Guantanamo Bay Naval Base, Cuba kerana disalah faham sebagai pengganas.

Lakonan Riz sungguh mengesankan dan kelihatannya beliau mempunyai potensi besar.

Namun demikian tidak banyak yang boleh diharapkan untuk Riz berkembang jika watak yang beliau perolehi ialah watak-watak yang sama iaitu seorang Muslim di Barat yang kelihatannya terperangkap dalam kebencian dan Islamofobia.

Ini misalnya watak yang dipegang oleh beliau dalam The Reluctant Fundamentalist adaptasi novel Mohsin Hamid oleh Mira Nair.

Beliau malah diberi peranan pentas sekitar naratif yang sama dalam opera Gaddafi dan teater Shan Khan’s Prayer Room.

Riz namun demikian mulai mendapat perhatian setelah muncul dalam Nightcrawler arahan Dan Gilroy dan kelihatannya tidak segan untuk menanggalkan pakaian.

Ini membolehkan beliau juga tampil dalam Rogue One pada tahun 2016, dan kemudian beroleh kemenangan untuk kerjanya di kaca televisyen bagi Anugerah Emmy Awards ke 69 menerusi The Night Of.

Untuk ini beliau menewaskan bintang-bintang handalan Hollywood seperti Robert De Niro, Benedict Cumberbatch, Ewan McGregor, dan Geoffrey Rush.

Beliau menjadi pelakon beragama Islam yang pertama memenangi Emmy.

Oleh sebab deretan kerja yang bermutu di atas, kehadiran Riz Ahmed untuk Sound of Metal ini sangat ditunggu.

Kali ini, Riz tidak lagi diberi watak seorang Muslim yang lelah di mana beliau kini hanya dikenali sebagai Ruben Stone.

Kepercayaan dan agama Riz tidak diperagakan di skrin.

Filem selama 120 minit ini meletakkan Riz muncul di sepanjang masa tayangan.

Ini menjadikan lakonannya benar-benar teruji.

Riz kelihatan sungguh-sungguh menghayati peranan pemain dram kehilangan pendengaran ini.

Riz Ahmed.

Beliau mempelajari bahasa isyarat selama enam bulan, dan belajar memainkan dram selama enam bulan lagi. Riz, untuk rekod, adalah juga seorang pemuzik tetapi genre beliau berbeza iaitu rap.

Sebagai pemain dram, hidup Ruben adalah sepenuhnya muzik metal.

Apabila tiba-tiba Ruben bingkas dan mendapati dia mendengar dengan minimal sekali, Ruben lakonan Riz tidak ditunjukkan melatah dan kelalut tidak pasal.

Ruben mandi dan mendapati bunyi air sudah tiada, dia juga mendapati mesin pembuat jusnya tidak lagi mengeluarkan bunyi, malah bunyi derap kakinya sendiri hilang.

Ruben masih terlihat mengawal dirinya ketika ke farmasi dan kemudian menemui pakar pendengaran.

Akan tetapi tekanan menjadi perlahan-lahan memuncak apabila orang sekelilingnya mulai tertekan.

Itu ditunjukkan menerusi watak Lou yang benar-benar terganggu, terdesak dan panik oleh apa yang menimpa Ruben.

Range lakonan Ruben menjadi lebih luas apabila ia harus merespon keperluan orang lain sebagai seorang pekak.

Ruben kemudian mendaftar masuk sebuah komuniti pekak yang mengalami masalah ketagihan.

Lou tidak dibenarkan tinggal di situ.

Di sini beliau dibimbing oleh Joe, lakonan Paul Raci, seorang bekas tentera Amerika yang menjadi pekak ketika perang Vietnam.

Falsafah mereka berlaga.

Joe dan anggotanya tidak percaya pekak itu sebagai kelainan upaya.

Di sini, kita melihat Ruben perlahan-lahan berusaha mengimbangi perasaannya yang mulai terdesak untuk pulih.

Dia kini hidup dalam kalangan orang asing, dalam dunia yang tidak dikenalinya, dan dalam dunia yang senyap dan dia tidak boleh berhubung.

Untuk menambah tekanan perasaan Ruben, dia kini terpaksa belajar bahasa isyarat dengan sekumpulan kanak-kanak.

Ruben bagaimanapun berusaha mengawal dirinya agar tidak nanar.

Menerusi kanak-kanak pekak ini perlahan-lahan Ruben belajar bahasa isyarat.

Apabila dia menawarkan diri memperkenalkan kanak-kanak itu dengan muzik, Ruben mulai rindu akan minat lamanya dan ini mendorongnya menghubungi seorang audiologis untuk mendapatkan pembedahan menanam peranti bantuan pendengaran.

Untuk itu Ruben terpaksa menjual RV beliau.

Oleh sebab pilihan ini juga, Joe mengusir Ruben dari kampung pekak itu.

Lakonan Riz sebagai Ruben sebenarnya terletak pada mimik mukanya dan juga kawalan perasaannya yang terlihat begitu nyata dan mendalam.

Seolah-olah Riz memang pekak. Kita dapat mengesani perubahan-perubahan ini misalnya ketika Ruben bertemu dengan doktor pendengaran, atau lebih memukau apabila Ruben pertama kali dapat mendengar semula tetapi hilang harapan kerana pendengaran itu tidak cukup baik.

Ruben kelihatan bingung, kecewa, dan kita dapat melihat bagaimana harapannya yang menggunung tiba-tiba meleset, apabila diberitahu deria pendengarannya tidak pun pulih.

Kesakitan Ruben sebagai seorang pekak semakin terjejas apabila beliau terbang ke Belgium, bertemu kembali Lou yang kini sudah menukar cara hidupnya, dan juga genre muziknya.

Apabila Lou menyanyi dengan iringan piano ayahnya, Ruben menerima dengan nyata bahawa dia kini kehilangan segala-galanya.

Sebahagian besar lakonan Riz menjadi hebat oleh gerakan kamera yang kreatif di mana syot dekat wajah kacaknya dimanfaat untuk menampilkan perasaan kacau Ruben.

Sinematografer Daniël Bouquet betul-betul menggunakan alam tanpa kesan bunyi untuk menunjukkan bagaimana rasanya kehilangan pendengaran. Kesan khas bunyi filem ini juga sungguh luar biasa.

Penata bunyi Sound of Metal, Nicolas Becker, bermain dengan segamat-gamat bunyi sehingga ke bunyi yang minimal dan akhir sekali keadaan nyahbunyi.

Justeru kita audien disakat dengan pesawat di langit yang tiada deruman, dentingan piano yang rosak, bunyi denting sudu garpu berlaga ketika sekumpulan orang pekak sedang makan minum, burung yang tidak lagi berkicau atau denting jam di menara yang mengganggu.

Semua bunyi dan kesenyapan itu kemudian terlihat pada mata, kerut, mimik dan getar bibir Ruben lakonan Riz Ahmed.

Sebagai muslim, Riz Ahmed aktif melobi keamanan di Syria dan juga menolak sektarianisme di Pakistan.

Jika beliau beroleh Oscar, Riz akan mencipta sejarah sebagai Muslim arus perdana dan pelakon keturunan Asia Selatan yang pertama memenanginya.

Sebelum ini Mahershala Ali, seorang Ahmadi Muslim, telah memenangi Oscar dua kali.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.