- Iklan -
Kolum

Falsafah sebiji kelapa

Benih yang baik dipukul ombak akhirnya akan menjadi pulau.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Berita Operasi Lalang mula menyerap dalam kalangan aktivis dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) kota London yang mengambil tahu hal Malaysia dan Asia Tenggara.

Beberapa minggu sesudah tangkapan aku lihat peranan Amnesty International menyebarkan berita dan berkempen cukup unggul.

Udo lelaki German yang bertugas di Amnesty International terus menyampaikan maklumat terkini.

Dari mana punca maklumat ini aku tidak tahu. Aku anggap Udo dan Jomo Kwame Sundaram sebagai perawi sahih seperti Bukhari dan Muslim.

Hadis-hadis mereka sampai kepada aku dalam masa seminggu atau dua minggu, bukan 200 tahun kemudian.

Justeru amat meyakinkan untuk dipercayai.

Perjumpaan di 44, Newmill House bersetuju untuk mengumpulkan pelajar kota London.

Tugas ini senang dan susah. Senang kerana aku tak perlu minta kebenaran daripada sesiapa.

Bilik dan dewan boleh digunakan. Dewan milik universiti atau dewan milik majlis tempatan boleh diguna pakai jika kosong.

Tidak perlu mengisi borang berjela-jela, tak perlu letak gambar kad pengenalan, permit polis atau surat kebenaran naib canselor.

Susah kerana aku hanya seorang diri cuba membuat dan menyusun kembali gerakan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Aktivis lama dari FEUMSSO hampir semua sudah balik kampung.

Senang kerana dewan kuliah untuk membuat perjumpaan di universiti atau di luar universiti boleh mudah diminta.

Ini mengingatkan aku kembali ke zaman pelajar aku di Universiti Malaya (UM).

Kumpulan pelajar, kelab siswa atau persatuan pelajar di UM boleh bebas bergerak, menyusun dan mengatur aktiviti tanpa halangan.

Aku dari Kelab Sosialis selalu mengadakan forum dan perbincangan.

Forum biasanya diadakan di dewan kuliah Fakulti Sastera. Jika dijangka ramai yang akan datang maka kami mengadakan di Dewan Kuliah F.

Dewan Kuliah F adalah yang terbesar di fakulti. Untuk perbincangan yang lebih intim dan serius kami dari Kelab Sosialis akan berkumpul di bilik kelas di Fakulti Sains.

Di zaman aku menjadi mahasiswa semua aktiviti pelajar berjalan lancar sama seperti yang aku rasakan ketika aku sedang kembali menjadi siswa di Polytechnic of Central London tahun 1987.

Aktiviti pelajar lancar tanpa gangguan. Di London kalau menggunakan dewan milik majlis tempatan, wajib membayar sewa yang paling minimum.

Paling afdal warga yang tinggal di majlis tempatan itu sendiri yang melamar. Semua beres. Semua tuntas.

Inilah kota London bukan Kuala Lumpur yang aku tinggalkan.

Aku memberi pencerahan pada diri aku bahawa tahun 1987 Kuala Lumpur dan Malaysia di bawah kawalan Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Polis Negara Haniff Omar – seorang “old boy” Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Pada tahun 1974 ketika polis dan tentera masuk merempuh ke UM untuk mencari aku, Mahathir pada ketika itu baru sahaja menjadi menteri pelajaran.

Untuk rakaman sejarah, Mahathir bertanggungjawab meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada tahun 1975.

Haniff diangkat oleh Abdul Razak Hussein yang juga “old boy” sebagai ketua polis negara.

Ketika aku berdemonstrasi di awal tahun 1970 hingga tahun 1974, aku sering ternampak sosok ini menjadi “ketua gedebe” di bulatan Jalan Pantai.

Polis dan tentera masuk merempuh masuk ke UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pagi 8 Disember, 1974 kerana pelajar turun berdemo.

Dari pagi Selasa, 3 Disember, 1974 demo pelajar bermula di Dataran Merdeka.

Demo berlanjutan setiap hari hingga ke subuh Ahad, 8 Disember, 1974.

Selama lima hari kami berdemo, pagi, petang, siang dan malam.

Jam 10 pagi kami mula berhimpun di sudut pidato depan perpustakaan, kemudian kami berarak menghala keluar kampus ke bulatan Jalan Pantai sebelah Masjid Universiti.

Tujuan untuk mara ke kota Kuala Lumpur. Dari Bukit Pantai, pelajar UKM akan turun berdemo sama. Kami berhimpun di sekitar bulatan Jalan Pantai.

Pertempuran antara pelajar dan Polis Simpanan Khas (FRU) akan berlaku di sekitar masjid dan bulatan Jalan Pantai.

FRU akan menembak gas pemedih mata untuk memaksa kami masuk kembali ke dalam kampus.

Restoran Amjal pada ketika itu hanyalah sebuah restoran setinggan. Amjal menjadi saksi paling setia dan melihat apa yang berlaku.

Pelajar dan mahasiswa berdemo untuk membuktikan setia kawan pelajar dengan petani miskin di Baling, Kedah.

Dua minggu sebelum 3 Disember petani dan warga Baling yang juga disertai oleh warga kampung dan pekan yang berdekatan turun ke jalan raya berdemo mengepung bangunan kerajaan dalam pekan Baling.

Musim hujan bulan Disember 1974 membawa malapetaka. Getah tidak dapat ditoreh. Makanan habis.

Kemiskinan merebak. Kebuluran sampai. Ada warga yang papa kedana terpaksa makan ubi gadung.

Petani di Baling, Kedah yang “kaya” dengan kemiskinan bangun menunjukan perasaan marah dan melawan kemiskinan.

Mereka membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Tun Razak dan United Malays National Organisation (Umno) sudah gagal.

“Cakap bedekah-dekah hal Melayu, yang lapar tak makan pun Melayu”.

Inilah cerita yang kami di Kuala Lumpur dengar datang dari mulut petani Kedah.

Selepas aku meninggalkan UM pada petang Ahad, 8 Disember, 1974 aku selalu mendengar kisah-kisah tentang UM. Tempat terberak lagi dikenang ini kan pula tempat menyorok!

Surah ini berkisah bagaimana sesudah Mahathir meluluskan pindaan AUKU 1974, jika ada pelajar nak terkentut, mereka wajib mendapat surat kebenaran daripada Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Mengikut surah ini semua aktiviti pelajar wajib mendapat kelulusan dari HEP, termasuk terkentut.

Semua ini aku difahamkan adalah mengikut fasal dan peraturan dalam pindaan AUKU 1974.

Wow! Bagaimana agaknya Jantan Muda dan Minah Bergetah hendak memadu kasih? Opps.. silap …perkataan yang tepat di zaman itu di UM ialah bagaimana nak “smelling” di bawah pokok buluh di tepi Tasik Universiti Malaya.

Apakah nak “berendut” perlu mendapat watikah dari Ungku Aziz, naib canselor UM ketika itu atau dari Pemaisuri Agong yang menjadi canselor UM tahun 1974?

Kini aku berhadapan dengan keindahan dan istimewanya kota London.

London kota “kapir” di mana warganya memulakan pagi dengan “full English breakfast”, melayan keberahian seksual yang bebas lagi lumayan dan duduk di pub meneguk beer sebelum pulang ke rumah dari pejabat.

Bancian suara pada Disember 2018 oleh Eurostat dan Eurobarometer menunjukkan 40.2% warga Britain tidak beragama, “agnostik dan ateis”.

Ini berbeza dari negara Malaysia yang mendabik dada mengakui sebagai negara Islam.

Menjadi anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi langsung tidak menghormati hak asasi manusia yang paling asas.

Hakikatnya di Malaysia pada tahun 1987, sesiapa yang bersuara dan mengkritik kerajaan Mahathir dari parti Umno dan kuncu-kuncunya akan ditangkap di bawah ISA.

Akan masuk penjara tanpa dibicarakan. Operasi Lalang adalah buktinya.

Tangkapan bermula pada 27 Oktober, 1987. Akhirnya pada 20 November, 1987, Operasi Lalang menangkap 119 warga Malaysia di bawah ISA.

Kawan aku Yunus Ali ditangkap sama. Aku wajib melakukan sesuatu di London.

Kota London ini mengalu-alukan percambahan fikrah.

Kota yang merayakan segala bentuk pandangan. Kota yang menyediakan prasarana untuk sesiapa sahaja membuat kajian ilmiah dan non ilmiah.

Kota di mana wujudnya pelbagai bentuk gerakan politik, dari kiri ke kanan. Dari ekstrem kanan ke ekstrem kiri. Dari yang terbuka hingga yang gelap di bawah tanah.

London dari zaman berzaman bangga sebagai tempat suaka pelarian politik.

London berbangga kerana Karl Marx yang lari dari tangkapan polis Jerman pada tahun 1849 tinggal di situ hingga meninggal dunia pada tahun 1883.

Di London, Marx tinggal di 28, Dean Street di Soho.

Marx membaca dan membuat kajian di Muzium British. Dari perpustakaan ini lahirnya Al- Kitab, “Das Kapital”.

Aku juga berbangga kerana berjaya lari dari polis Malaysia pada 1974 dan sampai ke London.

Aku juga akhirnya bekerja sebagai pelayan di Restoran Desaru, juga di Soho.

Restoran Desaru ini tidak jauh dari bekas rumah sewa Marx.

Vincent Van Gogh warga Belanda juga datang ke London.

Dia bekerja di galeri lukisan di Convent Garden. Van Gogh tinggal di Brixton.

Dia jatuh cinta dengan seorang Minah di Brixton.

Cinta Van Gogh ditolak. Dia merana patah hati lalu kembali pulang ke Amsterdam.

Kemudian Van Gogh ngelencong ke Borinage, Belgium untuk merancang menjadi paderi.

Aku dari Jelebu sampai ke Wavre, Belgium.

Ngelencong ke London. Tinggal di 44, Newmill House di Bromley-by-Bow kemudian pindah ke Brixton.

Aku terlupa. Apakah aku ada jatuh cinta di Brixton?

Opss.. jawabnya ada.

Cinta aku juga ditolak.

Aku sedih – tapi apa yang boleh aku lakukan.

Aku tak mungkin dapat pulang ke kampung.

Tidak seperti Van Gogh yang pulang dari Brixton ke Amsterdam untuk berjumpa adiknya Theo Van Gogh yang bersedia memberi sokongan emosi dan “fulus”.

Tiba-tiba di satu malam aku mendapat panggilan telefon.

“Isham… hit the iron when it’s hot… tak buat apa-apa ke?”

Ini suara Minah yang aku tak pernah kenal . Suara yang tak pernah aku dengar.

“My brother pun kena tangkap… you know my brother K K Tan”.

Suara itu mengeras memberi penerangan.

“I don’t think so”. Aku menggeleng kepala. Mustahil Minah ini nampak gelengan kepala aku.

“My brother … lecturer at UPM… what you want to do? Isham….you must do something”.

Suara ini melembut dan merayu. Aduh. Aku terperanjat.

Ada lagi suku sakat ISA di London. Aku wajib memukul telefon untuk bertanya siapa KK Tan ini.

Aku semakin disedarkan bahawa jala ISA semakin meluas menangkap.

Jelas terbukti semakin ramai suku sakat yang terkena hingga menular sampai ke London.

Geng aktivis lama aku di 34, Birnam Road semua sudah balik kampung.

Sosok yang terus tinggal di London tak pulang-pulang hanyalah Mr Tan Wah Piow.

Wah Piow ini kenalan lama aku dari zaman Tasik Utara, Johor Bahru.

Ketika aku setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) 1974.

Wah Piow menjawat presiden University Singapore Student Union (USSU).

Dua persatuan pelajar, PMUM-USSU sering mengadakan program bersama.

Aku pernah di jemput ke Singapura sebagai ahli panel forum USSU.

Pertama kali aku duduk sepentas berkenalan dan bercanggah pandangan dengan Syed Husin Al-Attas.

Wah Piow terlibat dalam kes mogok kilang buruh elektronik di Jurong, Singapura.

Dia ditangkap kerana dituduh merusuh.

Wah Piow dibicarakan dan di penjarakan dua tahun oleh Lee Kuan Yew.

Keluar dari penjara Wah Piow diwajibkan menjadi tentera – pasukan meriam.

Wah Piow lesap melarikan diri dan muncul di London untuk mendapat suaka politik.

Melalui Wah Piow aku diberitahu Minah yang menelefon aku namanya Karen Tan.

Kakak kepada K K Tan. Suami Karen bernama Jeffrey dari Sabah.

Mereka tinggal di Shepherd’s Bush di West London dan menjadi penduduk tetap United Kingdom.

Karen bekerja sebagai misi. Jeffrey menjalankan peniagaan menjual tiket kapal terbang untuk pelajar Malaysia.

Dari Jomo aku diberitahu bahawa K K Tan ialah aktivis alam sekitar.

K K Tan lulusan bidang jurutera dari Manchester University.

Kemudian menyambung ilmu alam sekitar di University of Carlifornia, Bekerley di Amerika Syarikat.

Pulang dari Bekerley dia menjadi pensyarah alam sekitar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

K K Tan menyusun dan memimpin gerakan alam sekitar.

Pensyarah ini memberi pencerahan tentang pencemaran akibat dari radioaktif perlombongan nadir bumi di Papan dan Bukit Merah, Perak.

Pusing punya pusing, kempen punya kempen – kami semakin ramai di London.

Satu petang Rohana memperkenalkan aku dengan seorang Minah Melayu.

Kami berjumpa di kedai kopi di China Town.

Sembang punya sembang Minah Melayu yang bernama Farida ini berasal dari Bukit Chandan.

Dia anak kepada Megat Khas.

Megat Khas ini aku tahu dan kenal. Megat Khas ialah pengerusi MCKK ketika aku belajar di sana. Abang kepada Farida ialah Megat Najmuddin, “old boy”, senior kepada aku.

Sokongan bertambah lagi.

Dari dunia akedemiknya Rohana memperkenlkan aku dengan John dan Prema.

John pensyarah dari London School of Economics (LSE). Manakala Prema Devaraj Minah cun dari Pulau Pinang ini sedang menyambung belajar di London.

Prema dan Rohana berkawan lama.

Rohana mengajar di universiti di Pulau Pinang dan Prema warga Pulau Pinang.

Semua yang berlaku kepada diri aku di London sesudah Operasi Lalang, mengingatkan aku kembali kepada cerita pendek “Aku Di Sebuah Pulau”.

Buku kumpulan cerpen dengan nama yang sama ini milik arwah emak aku.

Aku membaca kumpulan cerita pendek ini dalam tahun 1958 ketika berada dalam darjah dua.

Aku tidak akan melupakan kisah ini.

Kisah sebiji kelapa yang jatuh dipukul angin dibawa air sungai ke laut.

Dipukul ombak dan badai, melintasi pelbagai halangan.

Akhirnya kelapa nan sebiji ini terdampar di pasir.

Kelapa ini tumbuh bercambah dan akhirnya menjadi sebuah pulau.

Cerita pendek Aku Di Sebuah Pulau yang aku baca ketika aku kanak-kanak ini menjadi pemandu dan falsafah hidup aku.

Cerita ini menjadi pedoman dan jurumudi dalam perjalanan hidup aku ketika berkelana.

Cerita ini tidak pernah meninggalkan aku.

Ketika aku berpindah dari kota ke kota. Ketika aku berpindah dari negara ke negara. Ketika aku berpindah dari penjara ke penjara.

Cerita sebiji kelapa ini tetap setia bersama aku.

Pernah aku membuka kisah kelapa ini di Melbourne, Australia pada tahun 1977. Ketika itu aku dihalau keluar dari Australia oleh kerajaan Malcolm Frazer.

Kawan aku aktivis pelajar, anak kelahiran Malaysia T M B Krishnan merasa risau dan gusar kerana kerajaan Australia menolak permintaan suaka politik aku.

Aku wajib meninggalkan Australia.

“Krish .. not too worry mate… a good coconut… blown into the sea… will ends up as an island…. fair dinkum…dinkie die”.

Aku tersenyum memberi semangat harapan kepada kawan aku sebelum meninggalkan Melbourne.

Penerangan aku kepada Krishan bertujuan untuk meredakan kegusaran keselamatan aku yang dipaksa meninggalkan Melbourne.

Falsafah sebiji kelapa ini betul-betul aku curi dari cerita pendek Aku Di Sebuah Pulau.

Benih yang baik dipukul ombak akhirnya akan menjadi pulau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.