- Iklan -
Rencana

Penyertaan Gerakan bukti PN suara majmuk Malaysia

Ia dilihat dapat membantu memperkukuhkan lagi PN yang didominasi oleh parti berjalur masyarakat majoriti daripada pelbagai kelompok.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menyerahkan surat penerimaan kemasukan kepada Presiden Gerakan Dominic Lau, sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN). Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menyerahkan surat penerimaan kemasukan kepada Presiden Gerakan Dominic Lau, sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN). Gambar: Facebook

Sayap Armada Bersatu menyambut baik penyertaan terkini Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebagai salah satu rakan koalisi atau parti anggota Perikatan Nasional (PN) yang telah diterima masuk sejak 29 Januari yang lalu melalui surat terima keanggotaan ahli PN daripada pengerusi, Muhyiddin Yassin.

Proses penerimaan ini kemudiannya telah termeterai secara rasmi hari ini sekembalinya Muhyiddin untuk melaksanakan tugas-tugas rutin seharian beliau setelah menjalani proses kuarantin dan bekerja dari rumah, sepanjang seminggu yang lalu.

Penyertaan Gerakan yang diasaskan antaranya oleh Prof. Syed Hussein Alattas, Lim Chong Eu dan Veerappen Veerathanke dalam gabungan parti yang menerajui kerajaan dilihat sebagai bukti kemajmukan masyarakat dalam negara Malaysia bagi membantu memperkukuhkan lagi PN yang didominasi oleh parti berjalur masyarakat majoriti daripada kelompok Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Bersatu, STAR dan SAPP sebegitu berteraskan Islam seperti PAS.

Ditambah dalam suasana politik semasa, kemasukan Gerakan dilihat persis rekonsiliasi politik nasional sewaktu zaman Mageran biarpun latarnya berbeza, namun penyertaan ketika waktu “darurat” dilihat bukti PN bukan sekadar mendahulukan orang Melayu-Bumiputera, namun melihat kepentingan masyarakat berbilang kaum seluruhnya sebagai satu keluarga besar anak Malaysia yang begitu jelas dipelopori perdana menteri.

Maka dengan ini, Armada turut ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat datang kepada adik-beradik daripada parti Gerakan ke dalam koalisi PN.

Moga kerjasama erat dan tautan kasih ini membuka lembaran baru dalam membina Malaysia dengan silang budaya yang lebih utuh dan harmoni di bawah naungan PN dalam mengembalikan Malaysia selaku simbol keharmonian masyarakat Asia yang sebenar.

“Syabas TS Pengerusi, syabas tuan Presiden Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.”

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal adalah ketua Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.