Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyambut baik agenda pemerkasaan digital yang direncanakan pihak kerajaan menerusi pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia hari ini.
Ini selaras perkembangan kemajuan teknologi global dalam negara kita mendepani Revolusi Industri (IR) 4.0 untuk memastikan masyarakat dapat berkembang selaras perkembangan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), internet kebendaan (internet of things), analitik data raya (big data analytics) serta blok rantai (block chain) yang ternyata telah merevolusikan tata hidup masyarakat.
Inisiatif MyDigital yang berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia bagi memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.
Idea ini merangkumi pelan untuk meningkatkan literasi digital, menjadikan urusan perbankan dan kewangan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada pelajar, membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil sebegitu menepati hasrat kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Pun begitu, dalam pada Armada menyambut baik pelan tindakan yang dijangka mencapai sasaran pada tahun 2025 meliputi keperluan rakyat, pembangunan ekonomi dan pemerkasaan sektor kerajaan.
Armada berharap keghairahan ini menepati keperluan untuk memastikan akses internet adalah menyeluruh ke segenap ceruk di dalam negara.
Kita tidak mahu lagi mendengar rintihan permasalahan seperti yang dialami oleh adik Veveonah dan hanya bersifat reaktif menyelesaikan sesuatu hal atas permasalahan yang timbul.
Mungkin ada keperluan untuk naik taraf rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi kepada 5G seperti keyakinan yang diberikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar bagi membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.
Tetapi merujuk kepada hakikat keperluan, Armada lebih prihatin soal capaian supaya ia menyeluruh ke segenap pelusuk biarpun sekadar pada kelajuan 4G.
Bukan tujuan untuk menggantikan teknologi semata, sebaliknya memastikan teknologi “viable” kepada seluruh masyarakat haruslah menjadi keutamaan.
Di samping itu selain akses yang menyeluruh, Armada berharap jalinan pihak kerajaan bersama syarikat telekomunikasi dapat memastikan harga capaian internet yang murah dan berpatutan buat seluruh masyarakat.
Dengan adanya capaian yang menyeluruh ini juga peluang membangun ekonomi gig di desa atau pedalaman dapat digagaskan.
Terima kasih Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas inisiatif ini.
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Bersatu
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.