Beberapa dekad sebelum Barack Obama dinobatkan sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) ke 44 pada 2008, adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan, malah satu fantasi, walaupun untuk mencadangkan seorang berkulit kulit hitam, yang nenek moyangnya diculik dari benua lain, disumbat ke dalam kapal dan dijual sebagai hamba, akan satu hari menjadi tuan rumah di Rumah Putih.
Tetapi Obama berjaya, dan selepas lapan tahun menjadi pemimpin paling berkuasa di dunia, beliau meninggalkan legasi ini: beliau tidak akan menjadi orang bukan kulit putih terakhir yang memegang jawatan itu.
Hari ini, orang kulit hitam, atau yang berketurunan India, Cina atau Arab, berpeluang menjadi presiden AS. Ia bukan lagi sesuatu penyimpangan atau utopia yang tidak boleh dikecapi.
Mengapa? Kerana halangan psikologi terbesar sudah tiada – lebih-lebih lagi apabila Obama meninggalkan jawatan itu tanpa membuat bising tentang diskriminasi yang dilaluinya semasa membesar, atau mencampur adukkan penderitaan nenek moyangnya dengan realiti semasa dalam persekitaran yang didominasi orang kulit putih Amerika.
Tetapi kejayaan sedemikian bukanlah sesuatu yang unik untuk AS sahaja. Di merata tempat di dunia, kita melihat individu daripada kumpulan minoriti memegang jawatan tinggi dalam masyarakat yang begitu lama didominasi sesuatu kaum.
Pada 2018, Tommy Thomas menjadi bukan Melayu pertama yang diberikan peluang untuk memegang jawatan tertinggi dalam bidang perundangan – dengan kuasa yang boleh membolehkannya mendakwa seorang perdana menteri sekalipun.
Proses melantiknya dipenuhi onak dan duri. Aktivis dan NGO bekerja keras untuk melobi, pelbagai kenyataan dikeluarkan menggesa Agong menerima cadangan Dr Mahathir Mohamad – juga selepas siri pertemuan untuk meyakinkan ahli politik veteran itu untuk melantik Thomas sebagai peguam negara. Dan tidak lupa juga doa dari komuniti Thomas sendiri, seperti yang pernah diakuinya sebaik dilantik menjadi peguam negara.
Pelantikannya merupakan suatu risiko yang diambil Mahathir ketika beliau dituduh mengenepikan dominasi Melayu untuk jawatan penting dalam kerajaan.
Namun, roboh sudah halangan besar untuk sebuah jawatan yang kebiasaannya diberikan kepada orang Melayu yang setaraf atau lebih layak daripada Thomas.
Ini merupakan peluang kepada Thomas untuk membetulkan naratif nasional. Beliau boleh membuktikan kepada pengkritiknya bahawa peguam negara bukan Melayu mampu menunjukkan prestasi sama baik dan adil, atau lebih daripada itu.
Disebabkan keyakinan inilah Mahathir melantik Thomas, walaupun tahu akan risiko kehilangan sokongan bagi dirinya dan partinya.
Bagaimanapun, buku Thomas “My Story: Justice in the Wilderness”, memusnahkan harapan ini. Beliau mencampur adukkan kegagalan dirinya untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan prejudis perkauman yang diwarisinya ketika dibesarkan dengan perspektif seorang dari kalangan minoriti.
Beliau juga gagal memahami kesan daripada “kejujuran” tak kena tempat yang ditonjolkannya, terhadap ramai bukan Melayu berkelayakan di masa depan.
Thomas meninggalkan kesan buruk kepada sebahagian besar penduduk dengan penulisannya yang angkuh dan merendah-rendahkan orang lain dalam memoirnya, iaitu buku yang Anwar Ibrahim sekali pun sukar untuk menerima walaupun beliau tidak menjadi sasaran Thomas.
Apakah kita berpeluang melihat bukan Melayu memegang jawatan tinggi seperti peguam negara selepas Thomas menonjolkan perasaannya kepada umum?
Segala kerja keras, melobi dan doa yang mengiringi pelantikannya sebagai peguam negara, akhirnya sia-sia.
Dan ini bukan disebabkan kegagalan atau kelemahannya. Seseorang masih boleh meninggalkan legasi baik di sebalik semua itu.
Ia disebabkan percubaan untuk mengalihkan kegagalannya dengan cakap lepas terhadap komuniti yang selama ini dipujuk untuk menerima meritokrasi sebagai sesuatu yang baik untuk negara.
Hakikatnya, Thomas, walaupun ditentang kumpulan berhaluan kanan, diberikan peluang oleh sebahagian besar orang Melayu yang mengundi kerajaan sebelum ini.
Mereka mula menerima eksperimen untuk melantik seorang bukan Melayu ke jawatan yang selama ini dikaitkan dengan kuasa politik Melayu.
Rasa baik sangka itu disia-siakan dengan sebuah penulisan yang di dalamnya sarat dengan kenyataan berat sebelah, yang rata-rata disandarkan dengan kejahilannya tentang penduduk majoriti, iaitu suatu kesilapan yang sering dilakukan masyarakat minoriti, temasuk minoriti umat Islam di sesetengah negara Barat.
Disebabkan biografi Thomas, ia akan mengambil masa berdekad lagi untuk memupuk kepercayaan, melobi dan tentunya lebih banyak doa sebelum keajaiban seperti seorang peguam negara bukan Melayu di Malaysia dapat dilihat lagi.
Abdar Rahman Koya merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengarang MalaysiaNow.