- Iklan -
Kolum

TV Pendidikan dalam kenangan

DidikTV mengambil alih saluran NTV7 yang berada di bawah Media Prima.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Akhirnya kementerian pendidikan melancarkan DidikTV setelah hampir setahun keadaan pembelajaran sekolah-sekolah negara ini berada dalam keadaan tidak menentu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

Reaksi spontan bagi menghadapi keadaan itu adalah membangun sistem pembelajaran dalam talian, seperti mana yang dilakukan di seluruh dunia.

Tentunya masalah yang dihadapi ialah kekurangan peranti dan liputan internet yang tidak menyeluruh dan tidak memuaskan.

Maka kembali menggunakan televisyen adalah satu langkah perlu.

DidikTV mengambil alih saluran NTV7 yang berada di bawah Media Prima.

Selama ini NTV7 menjadi saluran untuk penonton kaum Cina.

Tetapi apabila ia dijadikan DidikTV, banyak orang melahirkan rasa nostalgia terhadap NTV7 yang asal.

Perasaan ini dilahirkan melalui media sosial.

Pada awalnya, NTV7 berdiri sendiri dan tidak berada di bawah Media Prima.

Ia bermula sebagai televisyen dari Sarawak.

Dengan slogan “feel good channel” (saluran berasa seronok), ia menjadi televisyen keempat bagi rakyat Malaysia.

Pada masa itu, dengan adanya MetroTV yang juga berdiri sendiri, Malaysia memiliki dua saluran televisyen kerajaan dan tiga stesen swasta yang berasingan.

Tetapi kemudiannya semua televisyen ini duduk di bawah Media Prima dengan TV9 yang dikhaskan sebagai saluran agama.

Tidak ada lagi televisyen swasta yang independen, di luar Media Prima.

Tetapi bagi saya, perkembangan mengenai DidiktV ini membawa nostalgia pada TV Pendidikan.

Andai kata TV Pendidikan masih ada sebagai televisyen kerajaan, tentu tidak perlu bersusah payah menubuhkan DidikTV.

TV Pendidikan dengan serta-merta boleh digunakan bagi pembelajaran apabila sekolah ditutup akibat PKP.

Nostalgia saya terhadap TV Pendidikan adalah ketika ia mula dilancarkan pada tahun 1972.

Ketika itu saya berada di tingkatan satu dan bersekolah di High School Batu Pahat, Johor.

Masa itu perubahan sedang berlaku terhadap pendidikan sains dan matematik.

Matematik Moden diperkenalkan dan ia lebih menarik dan bersifat futuristik berbanding mata pelajaran sebelumnya.

Mata pelajaran sains yang dikenali sebagai General Science atau Sains Am digantikan dengan Nuffield Science yang berasal dari Scotland.

Mata pelajaran untuk ini dikenali sebagai Integrated Science atau Sains Panduan yang lebih menekankan kepada praktikal.

Jadi, TV Pendidikan menyiarkan pengajaran mata pelajaran sains yang baru ini.

Ia menggunakan saluran TV2.

Pada masa itu siaran TV2 hanya disiarkan pada waktu malam.

TV1 memulakan siaran pada pukul 3.00 petang.

Maka, TV Pendidikan boleh menggunakan saluran TV2 pada waktu siang.

Ketika itu saya amat teringin untuk menonton TV Pendidikan.

Tetapi masalahnya pada masa itu, di kampung saya, bukan sahaja tiada televisyen tetapi bekalan elektrik pun belum masuk.

Maka saya mengayuh basikal ke pekan Bukit Pasir untuk menonton TV Pendidikan.

Dengan jasa baik seorang datuk saudara saya, beliau mengizinkan saya menonton TV Pendidikan di rumahnya.

Sedikit sebanyak saya dapat memahami konsep-konsep sains melalui TV Pendidikan.

Televisyen menjadi alat bantu mengajar yang penting dan berkesan.

Pusat operasi TV Pendidikan berada di sebuah bangunan bersebelahan bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman yang juga menempatkan Balai Seni Lukis Negara di Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Kini ia telah menjadi Pusat Pelancongan Malaysia atau Matic.

TV Pendidikan terletak di bawah bahagian teknologi kementerian pendidikan.

Ia kemudian berpindah ke sebuah kompleks bangunan di Bukit Damansara, tidak jauh dari Pusat Sains Negara.

Pada tahun 1990-an ketika negara sibuk dengan pembangunan teknologi maklumat, Bahagian Teknologi ini menjadi pusat bagi membangunkan Smart School atau Sekolah Bestari di negara ini.

Oleh kerana terlibat dalam projek mengemukakan cadangan kandungan daripada pihak swasta untuk Smart School, maka saya seringkali berulang alik ke bahagian ini.

Dengan melndengar taklimat dan meneliti kertas cadangan yang tebal mengenai Smart School, saya pasti banyak kerja dan perahan otak yang dikeluarkan untuk menjayakan projek Smart School.

Sememangnya Smart School menggunakan pengajaran dalam talian tetapi lebih penting ialah perubahan sikap, minda dan pendekatan terhadap ilmu pengetahuan dan pembelajaran.

Daripada berasaskan buku, anjakan minda yang dikemukakan adalah untuk menggunakan multimedia.

Projek ini amat berinspirasi dan futurisrik.

Smart School ini jauh lebih besar daripada TV Pendidikan.

Walaupun syarikat di mana saya bekerja mencurah banyak belanja untuk kandungan Smart School tetapi kami gagal untuk mendapatkan projek itu.

Konsortium yang berjaya ialah yang duiketuai oleh Telekom Malaysia.

Sungguhpun banyak belanja dan masa yang dikeluarkan untuk Smart School, ia hanya tinggal dalam lipatan sejarah pendidikan.

Apa yang saya dapat tahu kemudian ialah Korea Selatan menjayakan program Smart School mereka.

Adalah dilaporkan bahawa mereka mengambil Smart School yang dibangunkan Malaysia.

Apabila TV2 mahu menggunakan keseluruhan hari siangnya untuk siaran, maka TV Pendidikan perlu mencari saluran baru.

Maka rancangannya ialah TV Pendidikan diambil alih oleh MegaTV, sebuah stesyen televisyen kabel pertama di negara ini.

MegaTV milik Media Prima menjadi saingan pada Astro yang ketika itu baru muncul sebagai stesyen televisyen satelit pertama negara ini.

Tetapi belum sempat persaingan berlangsung, MegaTV ditutup.

Astro pun mengambil alih TV Pendidikan.

Saya berasa kurang selesa dengan perkembangan itu.

TV Pendidikan yang sebelum itu disiarkan melalui televisyen kerajaan dan dapat ditonton secara percuma dan boleh ditonton oleh sesiapa saja  berubah menjadi sesuatu yang komersial.

Hanya pelanggan televisyen satelit boleh menonton TV Pendidikan.

Sekolah-sekolah yang mahu menontin TV Pendidikan perlu melanggan rangkaian itu.

Negara ini sebenarnya mengikut perkembangan semasa dalam membangun sistem teknologi pendidikannya.

Sebelum adanya TV Pendidikan, Malaysia mempunyai program pembelajaran melalui radio.

Ia bernama Siaran Radio ke Sekolah-sekolah  yang disiarkan melalui Rangkaian Nasional Radio Malaysia pada setiap hari sekolah.

Muzik pembukaan siaran adalah lagu instrumental Lenggang Mak Limah.

Pada tahun 1970 dan 1971, ketika itu saya berada di darjah lima dan darjah enam, program ini menjadi suatu saluran untuk menambah ilmu pengetahuan.

Apa yang menjadi tarikan pada saya adalah perkara-perkara yang bukan menjadi kandungan mata pelajaran di sekolah.

Salah satu pelajaran dalam program ini ialah muzik.

Di sekolah saya tidak ada mata pelajaran muzik.

Tetapi melalui radio pendidikan ini, saya diperkenalkan dengan muzik klasik.

Daripadanya saya mengenali Mozart dan Beethoven.

Satu persembahan yang terus menjadi ingatan saya ialah Hang Tuah Overture.

Selain itu, Siaran Radio ke Sekolah-sekolah ini menyiarkan lakonan-lakonan suara mengikut mata pelajaran sejarah dan sastera.

Antaranya ialah lakonan pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia.

Bagi pelajaran sastera, ia menyiarkan lakonan dari novel Pending Permata oleh Shamus frazier dengan pembukaannya disiarkan lagu instrumental The Good, the bad and The Ugly.

Daripada teks sastera tingkatan lima, program ini menyiarkan lakonan dari novel Atheis karya Achdiat K Mihardja.

Radio pendidikan memperkayakan khazanah ilmu pengetahuan yang tersimpan sepanjang hayat saya.

Sekarang untuk mendapan ilmu pengetahuan adalah jauh lebih mudah.

Tentulah diharapkan supaya kemajuan teknologi membangun generasi yang lebih progresif dari segi minda berbanding dahulu, dan bukan sebaliknya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.