- Iklan -
Kolum

Dari pedalaman

Aku tidak ada hak menumpahkan suku darah keturunan Biduanda kepada anak aku.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku ini tidak begitu sedar ketika aku membesar, sebenarnya asal usul aku dari daerah pedalaman yang amat hulu sekali.

Aku dilahirkan di Kampung Tengah. Kampung yang menghala ke jalan yang tidak bersambung ke mana-mana, jalan mati.

Kampung Tengah – di tanah pusaka inilah tempat aku dilahirkan, tempat tumpah darah aku.

Dalam tanah pusaka ini juga tembuni dan tali pusat aku ditanamkan di belakang kepok padi.

Bukan saja tembuni aku yang ditanam dalam tanah pusaka ini – datuk aku pun ditanam di sini.

Makam datuk aku di tepi busut di belakang rumah. Menanam mayat, tembuni dan tali pusat dalam tanah pusaka adalah adat.

Adat bernegeri memagar negeri,
Adat berkampung memagar kampung,

Adat orang muda menanggung rindu,
Adat tua menanggung ragam,

Adat di atas tumbuh,
Pusaka di atas tempat,
Adat lama pusaka usang.

Tanah pusaka tempat aku dilahirkan ini masih wujud. Pokok manggis, mata kucing, kelapa, kundang dan durian masih hidup meliar tak berjaga.

Jika musim buah sampai ia menjadi rezeki sesiapa yang berani mencuri. Bangunan rumah tempat aku dilahirkan sudah lama lupus.

Tapaknya membelukar. Tanah pusaka menjadi kampung tinggal.

Tanah pusaka ini diturunkan untuk menjadi hak milik kakak aku. Anak jantan tidak ada hak ke atas tanah pusaka. Ini Adat Perpatih Negeri Sembilan.

Harta dan tanah pusaka dikembalikan kepada anak perempuan.

Begitu juga darah suku keturunan. Aku menerima darah keturunan suku Biduanda daripada emak aku.

Ayah aku susur galur tali perutnya dari Chenor, Pahang. Ayah aku tidak bersuku. Keluarga sebelah ayah aku menggunakan Adat Temenggung.

Aku tidak ada hak menumpahkan suku darah keturunan Biduanda kepada anak aku.

Anak aku akan menerima darah suku keturunan daripada emaknya – jika berkahwin dengan orang Negeri Sembilan yang bersuku.

Kerana itu Adat Perpatih melarang berkahwin dengan suku yang sama. Kahwin satu suku dianggap berkahwin dengan adik beradik.

Adat yang berpanas,
Syarak yang berlindung,

Adat penuh ke atas,
Syarak penuh ke bawah,

Adat di isi,
Lembaga dituang,

Adat hidup tolong menolong,
Adat mati jenguk menjenguk

Biar mati anak,
Jangan mati adat.

Daripada surah sahih yang aku terima, ketika aku dilahirkan yang menjadi bidan kepada emak aku ialah tok wan aku sendiri.

Surah ini diperawikan oleh emak aku. Ketika aku dilahirkan abah aku sedang bertugas sebagai Special Constable (SC) atau soldadu Orang Putih.

Setelah sihat bersalin, emak aku sendiri yang berbasikal enam batu pergi ke Rumah Pasung Padang Lebar untuk mendaftarkan aku.

Tuan DO Orang Putih dari Kuala Pilah memberi arahan kepada semua orang kampung agar semua anak yang baru lahir wajib didaftarkan di Rumah Pasung untuk mendapat surat beranak.

“Dah bosa…. agaknya budak ni …”. Mata-mata memberi ingatan kerana emak aku sendiri yang mendaftarkan aku. Kata-kata ini hanya ingatan kepada emak aku kerana lewat mendaftar.

Aku ini anak ketujuh daripada Rais bin Manaf dan Zaleha binti Sidek. Anak perempuan pertama dan kedua, mereka meninggal dunia.

Kemudian lahir dua kakak dan satu abang. Selepas abang aku, ada kakak perempuan yang juga meninggal dunia ketika lahir.

Kemudian aku muncul diikuti oleh dua adik lelaki. Kami adik beradik enam orang, dua perempuan dan empat lelaki.

Dari kiraan kelahiran anak Rais dan Zaleha, aku ini anak ketujuh.

Justeru aku tidak tahu tarikh sebenar aku dilahirkan.

Hakikatnya tarikh yang tertera dalam kad pengenalan rasmi bukan tarikh hari aku dilahirkan.

Itu tarikh emak aku bertemu dengan mata-mata di Rumah Pasung di Padang Lebar.

Kali pertama ayah dan emak aku datang ke London aku meneliti pasport mereka.

Aku ingin tahu bila tarikh lahir mereka.

Apa yang tertulis di kedua – dua pasport mereka ialah: Circa 1926.

Aku sedar Melayu jenis kami daripada suku sakai Biduanda memegang dan merayakan adat. Tapi kami tidak merayakan hari jadi.

Seingat-ingat aku, kesedaran aku bermula di Sekolah Tapak.

Ketika itu umur aku mungkin tiga atau empat tahun.

Aku tidak tahu bagaimana kampung ini dipanggil Tapak. Tak pernah aku terdengar surahnya.

Tapak apakah yang menjadikan kampung ini dipanggil Tapak. Wallahu a’lam.

Kampung Tengah yang dibuka oleh Tok Sidek, aku tahu kenapa namanya Kampung Tengah.

Ke hilir mengarah ke Kampung Majau dan Kampung Keru. Ke hulu mengarah ke Kampung Tampin dan Kampung Tengkek.

Kampung Tengah duduk di tengah-tengah.

Jalan masuk ke kampung aku bermula dari simpang masuk ke kiri dari jalan besar. Pertang ke Batu Kikir mengarah ke Kuala Pilah.

Dari simpang pekan Batu Kikir masuk enam batu hingga sampai ke Padang Lebar.

Padang Lebar ini pekan kecil, sederet rumah dan kedai Cina.

Tak sampai 10 buah kedai papan beratap rumbia. Ada sebuah kedai Malbari. Ada Rumah Pasung dan sekolah. Kedai sederet ini menghadap padang sekolah yang agak luas.

Padang Lebar adalah pekan untuk orang kampung dari kawasan hulu pedalaman. Orang dari kampung Majau, Tapak, Keru, Tengah, Tengkek dan akhir sekali Guntur.

Guntur perkampungan Orang Asli. Di Guntur jalan berakhir. Orang Perancis kata cul-de-sac – buntut kerpai.

Padang Lebar adalah pekan akhir yang boleh didatangi oleh kereta.

Dari Padang Lebar ke Guntur mungkin 20 atau 25 batu jauhnya untuk masuk ke kampung pedalaman – tidak ada jalan besar.

Hanya dua pilihan – jalan kaki atau naik basikal.

Orang kampung datang ke Padang Lebar membawa barang jualan dari hutan.

Mereka berbasikal membawa getah, rotan, manau dan damar. Ini bahan hutan yang berharga.

Ingatan aku menjadi cerah – lalu aku teringat ada beberapa tiang lampu jalan di Padang Lebar.

Ini bukan lampu elektrik. Elektrik belum sampai lagi.

Lampu jalan ini menggunakan minyak tanah. Setiap petang lampu ini akan dipasang dan dinaikkan ke atas tiang dengan menarik tali, sama seperti menaikkan bendera.

Aku tidak pernah tahu siapa yang menjalankan tugas memasang lampu ini.

Pada hemat aku pastilah mata-mata dari Rumah Pasung kerana ada tiang lampu tercacak betul-betul di hadapan Rumah Pasung.

Sekolah Tapak tempat emak aku menjadi guru ialah sekolah kampung. Sekolah ini ada dua bangunan.

Satu bangunan papan beratap rumbia dan bertiang batu tujuh mata tangga.

Di sebelah bangunan ini ada bangunan kayu, juga beratap rumbia dan berlantaikan tanah. Sebuah rumah guru.

Depan rumah guru sebatang pokok kuinin yang jarang berbuah. Padang sekolah agak luas. Sebelah padang ialah kolam ikan milik sekolah. Di tengah kolam ini ada pulau kecil dan sebatang pokok pinang.

Di belakang rumah guru ada bangunan dapur simen bertungku. Dapur ini digunakan untuk menyediakan minuman susu panas untuk murid sekolah.

Semua murid sekolah diberi minum air susu percuma ketika waktu rehat jam 10 pagi.

Seingat aku yang menyediakan minuman susu panas ini ialah guru sekolah sendiri.

Susu tepung ini datang dalam tin yang dihantar oleh Tuan DO Orang Putih dari Kuala Pilah.

Tin susu ini dibawa naik basikal dari Padang Lebar ke Sekolah Tapak.

Susu tepung dalam tin ini akan disimpan dalam dapur. Kadang kala “berkerak” kerana cuaca hujan dan panas.

Di sebelah rumah guru ada kawasan pertanian seluas satu padang bola.

Ada batas-batas untuk murid-murid diajar bercucuk tanam sayur.

Bercucuk tanam adalah sebahagian daripada mata pelajaran sekolah. Setiap darjah ada memiliki batas tanaman masing-masing.

Kawasan sekolah dibersihkan dan dijaga oleh murid dan guru. Sebelum masuk ke bilik darjah murid akan menyapu, potong rumput dan membersihkan kawasan sekolah. Menyiram tanaman di kebun sekolah.

Kebun sayur di sekolah ini sama selari dengan budaya kampung Melayu.

Dalam budaya orang kampung aku ada konsep peraq. Peraq ialah tempat menanam sayuran di tepi atau di belakang dapur.

Peraq tidak luas. Dalam peraq ini akan ada sepokok dua lada, serumpun serai, dua tiga batang rumpun kunyit, batas pegaga, sepohon terung Belanda. Hakikatnya peraq ini tempat memetik sayuran segar.

Orang kampung hanya perlu membeli garam, gula dan ikan masin.

Ini boleh dibeli di Padang Lebar. Sayur-sayuran semua dipungut dari peraq. Ayam, itik dan telur semua ada di belakang rumah. Untuk ikan ada “tobek” atau kolam kecil di mana puyu, haruan, sepat dan sembilang dipelihara.

Sekolah pada ketika itu hanya mengajar anak-anak kampung untuk tahu membaca, menulis dan mengira.

Mereka disekolahkan agar menjadi pak tani yang boleh mengira, membaca dan tidak menjadi buta huruf.

Sekolah ada pakaian seragam. Baju putih dan seluar hitam untuk lelaki. Baju kurung putih dan kain sarung biru untuk perempuan. Kasut “raba” putih.

Tapi bukan semua datang dengan pakaian sekolah. Ada yang datang berkaki ayam. Tidak ada buku. Papan batu dan kalam pun tidak ada.

Mereka hanya duduk mendengar dan ikut mengulang apa kata guru.

Aku masih ingat lagi. Arwah emak aku sesekali membawa aku curi-curi masuk ke sekolah. Biasanya tok wan menjaga aku di rumah. Bila tok wan ada hal, aku dibawa ke sekolah.

Kerana aku ini anak Cikgu Leha maka ada murid-perempuan yang bersedia mengambil aku dan duduk di sebelah mereka.

Aku hanya duduk mencangok melopong dan mendengar. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Sekolah Tapak ini sampai ke darjah enam. Murid tidak ramai, tak sampai 80 orang.

Nama saja sampai darjah enam. Ramai berhenti setengah jalan. Murid-murid pun dicampur-campurkan dalam satu kelas. Ini kerana cikgu hanya ada tiga orang.

Orang Kampung Tengah tidak pernah memanggil emak aku Cikgu Zaleha. Mereka memanggil emak aku Buruk. Ini nama yang orang kampung beri kepada emak aku. Ini budaya Melayu.

Ramai orang di kampung aku namanya ditukar dari nama asal yang tertulis di surat beranak. Ini kerana nama asal yang diberi dianggap tidak sesuai dengan badan.

Ketika kecil jika selalu demam atau menangis pada waktu malam. Maka nama diganti dengan nama yang lebih sesuai.

Atan, Dol atau Amin selalu jadi nama gantian anak jantan.

Su, Yam atau Kintan nama gantian untuk anak perempuan.

Nama-nama ini mengikut kiraan ajaran bomoh Melayu.

Emak aku menjadi Buruk untuk mengelakkan dari diambil hantu jembalang. Ini kerana hantu jembalang mengikut ajaran bomoh suka kepada anak perempuan yang cantik. Yang buruk dan hodoh, hantu tidak berminat.

Aku sendiri pun ada memakai lebih dari empat nama. Ini bukan kerana aku nak lari dari hantu jembalang. Tidak.

Ini kerana aku nak lepas lari dari mata-mata suruhan Inggeris.

Emak aku mula menjadi guru di zaman Inggeris.

Daripada surah yang aku dengar emak aku masuk ke Sekolah Tengkek.

Sekolah ini kira-kira dua batu dari Kampung Tengah. Emak aku belajar di sini hingga darjah enam. Kemudian menjadi guru pelatih.

Sekolah pertama emak aku menjadi guru ialah di Seri Menanti mukim Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Di Seri Menanti anak dara bernama Zaleha Binti Sidek tinggal bersama ibunya yang bernama Rahmah Binti Kecik.

Antara murid yang diingati diajar oleh Cikgu Zaleha ialah Tengku Bahiyah anakanda kepada Tengku Abdul Rahman Yang di-Pertuan Agong pertama.

Tengku Bahiyah kemudian menjadi Pemaisuri Agong.

Baginda juga menjadi Canselor Universiti Malaya (UM) ketika aku aktif dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Baginda Permaisuri juga belajar melukis dari Ibrahim Husin yang ketika itu menginap di Kolej Kelima UM.

Aku dan Ibrahim ketika itu mula menjadi kenalan rapat aku.

Tidak jauh dari Seri Menanti ialah Kampung Pelangai.

Di sini ada Sekolah Pondok Lebai Maadah yang terkenal.

Maadah bin Layang (1895 -1943 ) ialah datuk Saudara aku.

Lebai Maadah ini membawa ajaran “kaum muda”. Antara murid Lebai Maadah yang dikenali sejarah ialah Shamsiah Fakeh (1924-2008).

Seorang lagi anak murid Lebai Maadah ialah Rais Bin Manaf dari Kampung Chenor Jelebu.

Dua murid dari guru yang sama. Seorang menjadi penentang Inggeris. Seorang lagi menjadi soldadu Inggeris.

Dari sekolah pondok Lebai Maadah inilah Zaleha Sidek jatuh cinta dengan Rais Manaf.

Emak dan abah aku tak pernah bersurah tentang percintaan mereka. Hanya desas-desus yang aku dengar dari tok wan aku.

Selain dari kisah cinta sendiri – emak aku memang suka bersurah.

Malah sebelum aku tahu membaca menulis emak aku sudah memperkenalkan aku dengan cerita rakyat.

Cerita dari mulut emak aku inilah yang menjadikan aku ingin membaca.

“Masa tu… kalau nak ambil gaji .. Mak kena pergi ke Pilah”. Emak aku bercerita bagaimana cara mengambil gaji di zaman itu.

“Mak pagi pagi naik basikal ke Padang Lebar…tumpangkan basikal di kedai Malbari… tunggu dan cari kereta ke Batu Kikir.. di Batu Kikir tunggu bas dari Simpang Pertang… ke Pilah.. depan kedai tukang besi Batu Kikir… situ mak tunggu… sehari suntuk tak ada kerja lain…dari Subuh pagi … malam baru sampai rumah”.

“Mak ada kenal Jepun di Kuala Pilah…kedai pinggan mangkuk tembikar Jepun di Pilah semua orang tahu…. murah”. Ini surah kedai Jepun yang aku dengar dua tiga kali dari emak aku.

Tanpa diketahui orang kampung kedai Jepun yang menjual pinggan mangkuk murah ini sebenarnya kedai yang didirikan khas oleh pasukan perisik Jepun. Jepun sudah lama merancang untuk menawan Tanah Melayu.

“Mak pernah masuk ke kedai itu. Isteri Jepun itu baik… ada ambil gambar mak… dia ada kamera”.

Surah kedai Jepun ini akan dibuka oleh mak aku bila saja ada perbualan tentang Jepun.

Bila ada sanak saudara membuka kisah Jepun masuk ke Tanah Melayu emak aku akan bersurah.

“Hari itu mak nak pergi ke Pilah… nak ambil gaji… Mak menunggu bas di depan kedai tukang besi… lama mak menunggu… bas tak datang.. yang banyak lalu lori askar… lepas satu…satu”. Surah mak aku tentang apa terjadi ketika dia hendak ke Kuala Pilah mengambil gaji.

“Tiba-tiba sebuah lori askar berhenti”.

“Kak.. kakak … nak ke mana? Naiklah… saya nak ke Pilah”. Pemandu lori askar ini mempelawa masuk.

Emak aku duduk di sebelah anak muda Melayu 20-an. Dia memakai baju askar. Emak aku tak tahu apa jenis askar anak muda ini. Emak aku hanya tahu anak muda ini askar Melayu.

“Kakak tahukan Jepun dah masuk Tanah Melayu….perang pecah”.

Emak aku tak tahu apa-apa tentang keadaan ketika itu. Yang emak aku tahu dia wajib ke Pejabat Tuan DO di Kuala Pilah untuk mengambil gaji.

“Saya ni … lepas ni ….tak tahu nak ke mana… nak balik kampung… lepas Pilah nanti saya nak tinggalkan lori ini ..dan lari balik kampung”. Anak muda ini bercerita dengan harapan emak aku bersimpati.

“Kakak.. nak ke mana?”

“Nak ambik gaji Pejabat Tuan DO”. Emak aku memberi penjelasan tanda berterima kasih.

Kisah emak aku naik lori askar ke Kuala Pilah ini juga berkali-kali aku dengar.

“Di Pilah .. lori askar berhenti … Mak turun ..lori askar … terus berjalan”.

Emak aku bersurah bagaimana setelah turun dari lori askar dia menapak menuju ke Pejabat Tuan DO.

“Betul- betul di hadapan Pos Opis…. kapal terbang lalu…terbang rendah… orang semua lari bertempiaran… ada yang melaung.. lari..lari ..lari….Mak pun ikut sama lari … Mak masuk ke gaung dan menyorok… lima enam buah kapal terbang lalu rendah… Mak tak fikir gaji lagi … ini perang macam kata askar tadi .. Mak hanya ingat nak pulang ke rumah”.

Kisah emak aku menumpang lori askar ini pasti berlaku pada 11 atau 12 Disember 1941.

Ini minggu pertama bulan Disember, minggu ambil gaji.

Jepun mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember 1941, tiga hari sebelum mak aku dapat mengambil gajinya.