- Iklan -
Kolum

Sokong lompat parti tetapi bersyarat?

Tindakan melompat parti ini sememangnya menepati hak asasi seorang wakil rakyat yang dipilih.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ramai yang berhujah bahawa sistem demokrasi adalah sistem politik yang terbaik di dunia.

Apabila berlaku insiden lompat parti yang dibenarkan dalam sistem demokrasi, apakah pandangan masih sama?

Bagi mereka memperjuangkan hak kebebasan bersuara, hak asasi membuat pilihan dan hak asasi manusia, mereka tidak perlu membantah di dalam hal ini.

Tindakan melompat parti ini sememangnya menepati hak asasi seorang wakil rakyat yang dipilih.

Usah bicara mengenai soal prinsip, amanah, khianat dan janji dalam isu melompat parti ini hatta soal norma masyarakat pun dilanggar para pejuang hak asasi manusia.

Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang mempunyai kiblat politik, apakah kalian bersetuju atau tidak bersetuju dengan tindakan melompat parti ini?

Ketika ada segelintir pimpinan Umno menyokong Anwar Ibrahim secara bersurat kepada Agong, apakah kalian bersorak atau membantah?

Apabila melihat lima ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah melompat ke PKR, apakah kalian bertepuk tangan gelak atau marah mencemuh?

Tatkala kalian terbaca berita dua ahli Parlimen PKR bertukar arah menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), apakah kalian bersyukur atau mendesak kedua mereka untuk meletakkan jawatan?

Maaf nak kata, jika dinilai daripada reaksi terhadap tindakan melompat parti ini – sebenarnya boleh disimpulkan bahawa rakyat Malaysia menyokong tindakan melompat parti ini, tapi secara bersyarat.

Syaratnya mudah, asalkan tindakan itu menguntungkan dari sudut kiblat politik mereka dan membantu mereka mengejek lawan.

Tindakan melompat parti itu akan dilihat sebagai satu penghijrahan dan bukannya pengkhianatan.

Kini lompat parti bukan sahaja dilihat sebagai penghijrahan atau pengkhiantan.

Ada pemimpin politik yang menyatakan ia merupakan satu strategi politik untuk lima Adun melompat ke parti kawan ketika bosnya menyatakan bahawa tidak manis untuk parti rakannya menerima lima Adun tersebut.

Fuh hebat hujah ini.

Jika begitu, mengapa tidak semua pimpinannya lompat terus ke parti kawan untuk menyakinkan orang ramai bahawa ia betul-betul satu strategi?

Tindakan melompat parti itu juga ada beza darjat maruahnya.

Mereka yang berani mengumumkan tindakan melompat parti dan sanggup berdepan dengan reaksi di media sosial boleh dikira sebagai golongan yang bermaruah.

Mereka yang bermain tarik tali, menyerang kawan sendiri secara berdepan sambil menghantar surat menyokong lawan di belakang tabir jauh ketinggalan darjat maruah mereka berbanding mereka yang berani mengumumkannya.

Tapi ingatlah tindakan melompat parti ini ibarat roda.

Sebatang pokok boleh jadikan mancis. Sebatang mancis boleh membakar pokok.

Siapa untung, siapa rugi bukannya boleh dilihat kesannya pada hari ini.

Rakyat perlu terima hakikat bahawa sistem demokrasi negara hanya memberikan kuasa kepada rakyat untuk mengundi siapa yang mewakili mereka, namun tidak memberi kuasa kepada rakyat untuk mengawal tindakan mereka yang sudah menang.

Akta Anti Lompat Parti hanyalah angan-angan.

YB mana yang mahu kebebasan mutlak ini dicabut dari tangan mereka?

Tanpa adanya lompat parti, bagaimana nak amalkan “amar makruf nahi mungkar” dengan menukar parti apabila merasakan parti sudah lari dari perjuangan?

Betul tak? Logik kan?

Tetapi, mengapa perlu menukar parti untuk mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Mengapa tak letak jawatan terus?

Dah kalian ingat di sini Jepun ke? Sini Malaysialah.