- Iklan -
Rencana

Setahun Perikatan Nasional, terima kasih #Abah

Setahun berlalu, kerajaan Perikatan Nasional diberikan amanat atas takdir tuhan setelah dinilai oleh KDYMM Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang menamakan ‘Abah’, Muhyiddin Yassin (TSMY) selaku perdana menteri setelah melalui proses penilaian sehingga diputuskan oleh baginda YDPA. Maka telah disaksikan koalisi Perikatan Nasional tertubuh dan berada di persada. ‘Demi Rakyat’ dan ‘Prihatin’ sejak hari pertama kepimpinan […]

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
2 minit bacaan
Kongsi

Setahun berlalu, kerajaan Perikatan Nasional diberikan amanat atas takdir tuhan setelah dinilai oleh KDYMM Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang menamakan ‘Abah’, Muhyiddin Yassin (TSMY) selaku perdana menteri setelah melalui proses penilaian sehingga diputuskan oleh baginda YDPA. Maka telah disaksikan koalisi Perikatan Nasional tertubuh dan berada di persada.

‘Demi Rakyat’ dan ‘Prihatin’ sejak hari pertama kepimpinan TSMY, dua kata inilah yang menjadi slogan serta azimat dalam memastikan politik khidmat benar-benar diterjemah kepada rakyat. Bukan sekadar ‘politiking’ atau asyik memberi alasan atas amanah untuk membangunkan negara dan masyarakat.

TSMY telah membuktikan, di bawah kepimpinan beliau, Malaysia telah berjaya menjadi antara negara terbaik dalam pengurusan Covid-19. Beliau malah telah membuktikan sehingga hari ini, betapa selaku Perdana Menteri, beliau mendengar keluh kesah rakyat, prihatin dan peduli!

Antaranya i-Sinar tanpa syarat, moratorium, masalah-masalah terkait ekonomi rakyat, pendidikan dan juga pembangunan negara dan terkini usaha Perdana Menteri dan beberapa pasukan kabinet beliau yang menguruskan vaksin Covid-19 secara percuma untuk memastikan kesejahteraan masyarakat.

Dalam tempoh sukar, di mana seluruh dunia terhimpit dengan dua ancaman iaitu pandemik serta kemerosotan ekonomi global, Malaysia di bawah Perikatan Nasional dan teraju Muhyiddin Yassin telah membuktikan kesan dari kecekapan pengurusan masih mampu membangunkan program-program atau inisiatif yang jelas membantu rakyat seperti Prihatin, Penjana, dan Permai.

Kebaikan daripada pengurusan cekap dan bersasar ini jelas berjaya mengekang implikasi yang berkemungkinan lebih buruk sebelum ini yang dijangka melanda ekonomi serantau. Tetapi melalui Penjana sebagai contoh, atas bantuan kerajaan membantu syarikat-syarikat dari dibiarkan ‘bungkus’, telah menyebabkan peluang pekerjaan mampu kekal wujud selain inisiatif-inisiatif bersasar yang sekaligus membantu perkembangan ekonomi.

Hal perkembangan ekonomi kesan pengurusan cekap dan bersasar ini yang disahkan pakar dalam dan luar negara melalui laporan-laporan unjuran yang menjangkakan pertumbuhan positif ekonomi negara dalam tahun 2021 selaras apa yang diumumkan Perdana Menteri dalam amanat satu tahun Perikatan Nasional sebentar tadi.

Trend pertumbuhan ini turut disokong kesan dari program-program ‘Re-Skilling’ yang telah dan bakal dilaksana untuk membantu ruang dan bukaan peluang-peluang pekerjaan baharu, selaras agenda dan tekad kerajaan Perikatan Nasional mendepani IR4.0 dengan pelancaran MyDigital baru-baru ini yang akan memperkukuh lagi peluang-peluang ‘start-up’, bukaan peluang pekerjaan aras tinggi, peningkatan dalam proses pendidikan dan pembelajaran, ekonomi desa termasuk IKS sebegitu pelebaran ekonomi gig!

Alhamdulillah. Tahniah kerajaan Perikatan Nasional, Terima Kasih #ABAH.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Bersatu

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.