- Iklan -
Kolum

Kisah hutan rumbia Nippon Go

Kisah hutan rumbia ini terus melekat dalam ingatan aku.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Miyo!
Tokai ro tokai no sura akete,
Kyukujitsu tokaku kagayake ba,
Tenchi no seiki hatsuratu su.
Kibo wa odoru oyamashima.

Aku pernah mendengar lagu Jepun ini dari mulut Cikgu Zaleha Sidek.

“Lagu ni cikgu sojar Jepun ajar mak.. dia ajar sampai dapat. Lepas itu mak ajar semua murid di Sekolah Tengkek… kita beratur waktu pagi… ni lagu kami… lagu Kimi Ga Yo pun ada…donga dan ikut”.

“Kimigayo ni lagu apa mak?”

“Itu lagu Rajo Jopun.“ Mak aku memberi penerangan tentang pengalaman ketika belajar bahasa Jepun.

Ketika Jepun berkuasa Sekolah Tengkek masih dibuka. Mak aku salah seorang guru yang setia kepada Guru Besar Cikgu Bador. Guru Besar ini bernikah dengan sepupu mak aku.

Mengikut mak aku bahasa Jepun diwajibkan untuk semua murid.

Jadi seorang tentera Jepun khas yang berkhemah di Sekolah Tengkek mengajar mak aku bahasa Jepun.

Ketika mak aku mengeluarkan surah ini aku belum masuk sekolah lagi.

Malah seingat-ingat aku dari awal lagi, aku selalu mendengar cerita-cerita zaman Jepun dari sana, dari sini.

Setiap keluarga di kampung aku ada saja kisah mereka dengan Jepun.

Malah aku rasa setiap keluarga di Tanah Melayu termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei mesti ada cerita Jepun.

Kisah yang amat menggerunkan ialah perangai askar Jepun yang suka memancung kepala orang kampung.

Dari ceritanya pedang Jepun ini amat tajam.

Tok Wan aku bercerita tentang pedang Jepun ini lebih tajam dari parang panjang Tok Empat Hitam, bapak saudara aku.

“Tajam.. memang tajam… sekali pancung putus… batang pisang.” Tok wan aku memperkuatkan hujah.

Kisah kepala kena pancung oleh Jepun ini adalah kisah atas kisah, dengar atas dengar, dari surah bertali-temali tentang kepala si anu dan si anu kena pancung oleh askar Jepun.

“Tak tunduk pada Jopon kona pelompang….kalau dogil.. kona pancung kepala.” Tok wan aku mengsahihkan surah keganasan askar Jepun.

Bayangkan betapa takutnya anak berumur empat tahun bila mendengar surah ini.

Sebenarnya ketika aku dibesarkan di Kampung Tengah, di Tapak dan kemudian di Jelebu, tidak penah pun aku melihat sosok orang Jepun.

Aku hanya mendengar surah dan riwayat Jepun.

Seingat aku muka Jepun hidup yang pertama kali aku dapat lihat mungkin selepas tahun 1971 apabila aku masuk ke Universiti Malaya dan tinggal di Kuala Lumpur.

Di Jelebu tak ada Jepun. Yang ada hanya Pokok Jepun.

Tak tahu kenapa orang kampung aku panggil tumbuhan ini Pokok Jepun. Nama betulnya Pokok Selaput Tunggul.

Hakikatnya ketika aku membesar surah Jepun memang amat selalu aku dengar di rumah.

Surah dan ayat-ayat Jepun akan muncul ketika kami sedang duduk bersila atas tikar mengkuang untuk makan tengah hari atau makan malam.

Aku yang agak gelojoh ketika mengambil nasi akan menjemput surah zaman Jepun keluar. Tangan aku yang gelojoh akan menjadikan nasi bertaburan keluar dari senduk.

“Laaa… kau tak ingat musim Jopun… souleh nasi ni susah nak cari.” Tok wan aku akan memberi ingatan bila nasi aku tertumpah tak masuk ke pinggan.

Ingatan ini berbelas-belas kali aku dengar.

“Ekao tak raso laiii … macam mano makan ubi.” Tok wan aku menambah lagi.

Kisah zaman Jepun makan ubi kayu ini juga menjadi kisah klasik yang sering aku dengar.

Malah hingga ke hari ini bila sahaja aku melihat ubi kayu dalam apa bentuk pun, aku akan teringat surah dan ayat-ayat musim Jepun.

Aku akan tergambar wajah tok wan aku mengingatkan aku agar berhati-hati apabila mengambil nasi dari periuk.

“Mak … macam mana makan nasi dengan ubi kayu?” Aku bertanya dengan jujur. Hishamuddin Rais memerlukan pencerahan.

Keluarga kami ada menanam ubi kayu di belakang rumah.

Mak aku selalu merebus ubi untuk dimakan bersama kelapa kukur dengan gula pasir atau gula kabung.

Rebus ubi hanya untuk sarapan pagi. Atau buat pengat, kuih talam ubi atau lepat ubi.

‘“Makanlaaa… macam makan nasi… nasi tak ada…ganti ubi.. kalau takda ubi ada keledek…. kalau tidak pisang.” Penerangan daripada mak aku.

“Makan dengan apa?” Aku bertambah ingin tahu.

“Gulai ikan makan dengan ubi. Gulai ayam makan dengan ubi. Gulai telur makan dengan ubi… ubi rebus ni jadi ganti nasi.” Penerangan Cikgu Zaleha Sidek kepada anaknya Hishamuddin Rais yang terus ingin mengorek kisah makan ubi di zaman Jepun.

“Mak masak gulai ayam dengan kunyit santan kelapa…goreng pucuk paku… ulam potai…. tapi nasi tak ado… ubi ganti nasi.”

“Sodap ko mak? Aku mencelah. Dalam kepala aku apakah rasanya makan gulai ayam masak lemak cili api dengan ubi kayu.

“Apo pulak tak sodap… gulai ayam… sodap laaa.”

“Pasal apa takde nasi.” Satu soalan dari aku yang membuka sejarah di Kampung Tengah.

“Bila Jepun mula sampai.. kita ada beras… kita ada nasi.. tapi bila askar Jepun masuk kampung, askar rampas padi… padi tak jadi… semua padi dikumpulkan di Sekolah Tengkek… ini untuk makanan askar Jepun… ayam itik .. telur semua askar ambil.” Emak aku memberi penerangan.

“Padi tak jadi … macam mana?” Aku masih belum puas hati.

“Padi tak jadi…air tak ada?”

Jawapan emak aku tentang padi tak jadi ini agak menghairankan aku.

Kenapa bila Jepun masuk Kampung Tengkek tiba-tiba air Batang Muar kering.

Bila aku sudah belajar tinggi baru aku faham kenapa ketika Jepun datang padi tak jadi.

Air Batang Muar tidak kering. Hujan sampai seperti biasa. Yang menjadikan padi tak jadi bukan cuaca tapi Jepun sendiri.

Perang bukan saja meruntuh bangunan, membakar kereta meriam atau menembak mati musuh.

Perang membawa bahaya yang lebih dalam, lebih luas dan lebih lama.

Bahaya ini tidak dapat dilihat. Bahaya kebuluran. Bahaya putus makanan.

Kesampaian Jepun ke Kampung Tengah mengoyak rabakkan susunan masyarakat kampung yang terbina beratus tahun.

Untuk pelajar penulisan kreatif atau pelajar filem – Jepun ini adalah pengganggu atau disruptor.

Dalam satu penceritaan kreatif wajib ada pengganggu untuk menjemput wira datang membantu.

Jepun adalah “biduk yang lalu di atas kiambang” yang tersusun indah di kampung Melayu.

Keganasan askar Jepun yang didengar ini ada ciri ciri pengganggu.

Dari mulut ke mulut cerita dan kisah keganasan Jepun pasti bertokok tambah. Kena tempeleng dan kena pancung ini menakutkan semua orang.

Tidak cukup dengan ini didengari juga kisah bagaimana Jepun memaksa orang kampung minum air sabun.

Minum air sabun ini dijadikan senjata untuk menyeksa orang kampung.

Apa yang berlaku ialah kehadiran Jepun membunuh sifat gotong royong Kampung Tengah.

Struktur kampung Melayu tradisional punah. Jepun tidak menghormati adat lembaga. Jepun tidak mengenal siapa Datuk dan Buapak.

Inilah makna apabila ayat tak tahu adat yang selalu aku dengar.

Jepun memang tak tahu adat. Jauh sekali mengenal Adat Perpatih yang menjadi tiang seri Kampung Tengah.

Justeru Datuk Empat tidak dapat memanggil orang kampung untuk berseraya membersihkan tali air.

Empangan di sungai yang rosak tidak ada tenaga gotong royong untuk membaiki semula.

Setiap tahun selepas menuai setiap keluarga akan menyimpan padi untuk di makan dalam kepuk.

Ada beberapa gemal padi yang terpilih – padi biasa dan padi pulut – terutama padi pulut hitam – yang terpilih.

Gemal padi terpilih ini akan diasingkan untuk dijadikan benih musim depan.

Jepun bukan sahaja merampas padi dalam kepuk. Benih padi pun dirampas sama.

Hasilnya orang kampung kehilangan padi dan benih padi.

“Sekolah Tengkek tu… jadi kepuk padi Jepun. Tiap malam akan ada orang kampung diarahkan jadi pengawal kepuk padi ini.”

“Mak mengajar di mana?”

“Sekolah jadi kecil…Askar Jepun ada lima enam orang duduk di sekolah…ada khemah di kawasan sekolah kadang-kadang askar ni semua pulang ke Pilah…naik basikal.”

Mak aku bercerita bagaimana orang kampung dipanggil oleh Jepun.

Semua datang kerana takut.

Jepun datang minta padi dibawa ke sekolah.

Kemudian orang kampung dipaksa mengawal simpanan padi Jepun.

Siapa dilihat dewasa dan berbadan tegap dipaksa oleh Jepun untuk menjadi pengawal kepuk padi mereka. Atau membawa padi ke sekolah.

“Abah kau pun dipanggil Jepun… kena jaga kepuk padi Jepun… seminggu sekali berkawal. Abah kau jadi pengawal padi Jepun”

“Sapa nak lawan Jepun mak?” Aku bertanya.

“Mak dongar Cino Bintang Tigo.” Mak aku memberi penjelasan yang pada ketika itu aku tidak faham apa ertinya Bintang Tiga dan siapa pula yang berani melawan Jepun.

“Susah masa tu… ayam itik ada …. garam … garam susah nak dapat… kedai tiada… Padang Lebar tak ada barang apa-apa.”

“Garam tak de?” Aku menjadi hairan. Perkara yang paling murah dan paling banyak di sekeliling kita hari rupa-rupanya amat susah untuk didapati di Kampung Tengah pada zaman Jepun. .

“Garam laut tak ada… orang kampung cari garam bukit… tapi bukan senang nak dapat… kalau rumah kita di Melaka. Senang dapat garam…. masak air laut hingga kering jadi garam…. gula tak susah .. ada gula enau.. ada gula kabung.”

Mak aku membuka surah sedih tentang satu kematian di Kampung Majau.

Keluarga ini amat miskin.

Mayat yang meninggal dunia dibungkus dengan tikar mengkuang. Tidak ada kain kapan.

“Tak ada kain ke?” Aku dengan hairan bertanya.

“Kain baju kita pakai apa yang ada… Hari Raya ke… pakai yang satu saja … kalau ada tiga helai baju .. itu dah kayo…sekarang dah banyak… dulu tak ada.” Mak aku menerangkan.

“Ada orang kampung yang tak ada kain… pakai kulit kayu… Mak tak nampak … ini mak dengar.”

Ketika aku mendengar kisah tak ada kain kapan untuk pengebumian ianya agak memeranjatkan aku.

Ketika aku mendengar surah itu aku sebenarnya hanya mengumpul hadis. Aku belum ada keupayaan untuk menafsir hadis-hadis yang aku dengar.

Tapi bukan semuanya cerita sedih dan menakutkan tentang Jepun yang aku dengar dari mak aku.

Mak dan abah aku selalu membuka cerita tentang Karim.

Berulang ulang kali aku dengar kisah ini.

Si Karim ini murid sekolah aku. Murid datang ke sekolah kerana disuruh oleh mak bapak. Mak bapak takut kalau anak tak dihantar ke sekolah askar Jepun akan marah.

Satu pagi Udin kawan Karim datang bertemu mak aku.

‘“Si kuku si kuru…. si karin tak sekorah … si karin demam.” Udin memberi laporan kepada mak aku.

Emak aku akan mengulangi lagi ayat – si kuru si kuru… si karin tak sekolah…di hadapan kami adik beradik. Kemudian mak dan abah aku akan ketawa. Ini nostalgia komedi mengingati kembali zaman Jepun mereka.

Tapi ketika itu aku tak dapat memahami apa yang menggelikan hati mereka. Mak aku terpaksa menerangkan kenapa babak ini membawa ketawa.

“Si Udin ini.. belum boleh bercakap bahasa Jepun ..dia nak beritahu mak tentang Karim yang demam tak dapat datang ke sekolah…… Udin takut tak pandai cakap Jepun…dia takut askar Jepun dengar…. dia cakap Melayu guna lorat Jepun… bunyinya seperti bahasa Jepun… si kuru si kuru si karin tak sekolah.”

Mak dan Abah aku akan kembali ketawa. Kami – kakak, abang dan aku ikut ketawa merayakan nostalgia mak dan abah kami.

Setahun selepas Jepun masuk ke Tanah Melayu kakak aku Khamsiah Rais lahir pada 29 September, 1942.

Ini anak kelahiran ketiga. Dua orang kakak aku lahir sebelum Jepun sampai. Mereka meninggal ketika dilahirkan.

Ketika ini abah aku bekerja kampung. Bercucuk tanam – berkebun sayur, menternak ayam itik untuk menyara kehidupan.

Jepun membayar gaji cikgu dengan duit cap batang pisang. Duit ini tidak ada nilai. Malah kalau ada pun duit tidak dapat membeli apa apa di Kampung Tengah.

Seminggu sekali abah aku akan pergi ke Sekolah Tengkek untuk mengawal harta rampasan Jepun.

Sehari suntuk abah aku bertugas untuk Jepun. Ini buruh paksa tidak ada bayaran.

Jepun sudah sampai ke Kampung Tengah lebih dari setahun.

Desas desus mula kedengaran bahawa ada kumpulan Cina yang mula melawan Jepun.

Dari surah yang aku terima askar Jepun ini memilih-milih.

Askar Jepun agak kurang ganas memancung kepala orang Melayu. Tapi bila nampak sahaja orang Cina, Jepun akan menangkap mereka.

Pernah satu petang ketika dalam darjah tiga. Aku mendengar perbualan dalam kedai kopi tentang pengalaman “orang lama-lama” di musim Jepun.

“Cino Bintang Tigo.. kek Titi kono tangkap… Jopon bawak ke pejabat Kempetai…. mampuih minum air sabun…. bagi minum lopes tu dipijak porot… keluar muntah.”

Ujang dengan berani membuka cerita ini kerana ketika Jepun berada di Tanah Melayu dia anak muda.

“Jopun ni memang bonci pado Cino … dah lamo porang.. di Titi ..Jopun bunuh Cino… kek Titi… mulo mulo Cino ini dipakso buek lubang kemudian… pancung kepala… lubang kubo buek sendiri…bukan sorang dua .. ramai.”

Aku melopong mendengar hadis sahih daripada Ujang.

Permusuhan antara Jepun dengan China di Tanah Besar merebak hingga ke Tanah Melayu. Permusuhan lama ini cukup jelas dari cara Jepun membasmi orang China di Tanah Melayu.

“Jopun ni…. dah lamo beporang dongan Cino.” Ujang menyampaikan maklumat kepada kami yang sedang duduk-duduk di kedai kopi Raja Suman di Batu Serambai Ulu Klawang, Jelebu.

Ketika itu Emak aku dah menjadi guru di situ.

Masuk tahun kedua Jepun di Tanah Melayu, suasana semakin tegang.

Di Kampung Tengah Jepun terus berkawal menjaga padi rampasan. Padi dan ayam itik ini menjadi sumber makanan untuk tentera di tempat lain.

“Orang kampung makin takut… Mak dengar Jepun mula mengambil anak dara dan budak perempuan.” Mak aku menambah cerita.

“Kak Ngah kau kocik laaai… tapi kami rasa tak selamat kerana dia perempuan.”

“Tu… Mak buat apa dengan Kak Ngah.”

“Abah kau buat rumah pundung dalam hutan paya rumbia tengah sawah…siang menyorok di situ.” Emak aku memberikan pencerahan.

“Lamo ko… dalam hutan tu…?” Aku bertanya penuh debaran.

“Sampai Jopun kalah… siang di sana… malam kek rumah.. menyorok bila ramai Jepun ada di sekolah. Wan kau bawak Kak Ngah kau masuk payo.”

Kisah hutan rumbia ini terus melekat dalam ingatan aku.

Setiap kali aku melintasi hutan rumbia ini aku tergambarkan pondok kecil di mana Kak Ngah aku dijagai oleh Tok Wan.

Aku tidak tahu bagaimana rupa bentuk pondok ini kerana apabila aku membesar hutan rumbia ini semakin meliar.

Bila aku melintasi hutan rumbia ini aku amat yakin bahawa tentera Jepun tidak akan terfikir ada pondok di tengah paya rumbia ini.

Emak aku bersurah dengan muka sedih mengingatkan kembali kisah membesarkan anak pertama dalam zaman Jepun.

Aku pula gembira kerana aku anggap abah aku bijak dapat mencari jalan keluar daripada kezaliman Jepun.

Setiap kali aku menonton filem Perang Dunia Kedua, jika ada babak melarikan diri dari tentera Hitler maka aku akan menggambarkan hutan rumbia di tengah sawah di kampung tanah pusaka aku.

Hutan rumbia sebagai tempat menyorok yang selamat untuk melarikan diri dari kezaliman kuasa yang memerintah.

Cerita-cerita ini mendidik aku hingga aku mendewasa.

Akhirnya aku sendiri alami apabila aku memiliki pencerahan dan kesedaran untuk bangun melawan kezaliman pemerintah.

Aku juga menyorok dan menghilangkan diri untuk menyelamatkan diri.