Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah bermula secara tidak langsung.
Parti-parti politik kedua-dua belah sedang bergasak soal kerusi.
Ada yang sibuk mencari rakan baru maka datanglah naratif baru.
Di samping itu, mereka kini giat mencipta isu untuk memancing undi.
Di dalam soal kerusi, parti-parti politik mula melakukan tuntutan melalui media dan rundingan sesama sendiri.
“Ini kerusi saya.”
“Parti saya nak tanding 50 kerusi Parlimen.”
“Mohon rakan parti bagi laluan untuk parti kami tanding 30 kerusi.”
“Jangan sentuh kerusi kami.”
Begitulah jeritan-jeritan politik di media semata-mata untuk cuba membina sempadan, melihat reaksi terhadap tuntutan yang dibuat masing-masing dan yang paling penting, membina publisiti individu yang membuat tuntutan dengan harapan ia akan diberikan kerusi kerana suara lantangnya yang berani bersuara demi parti.
Kadangkala tuntutan dilakukan melalui media untuk melepaskan rasa geram dan tidak puas hati terhadap sikap rakan parti atau membantah keputusan kepimpinan parti yang dibuat secara senyap.
Portal-portal berita yang mempunyai kiblat politik pula sangat menyukai berita-berita sebegini, meskipun individu yang membuat tuntutan bukanlah orang penting.
Mengapa? Mereka boleh mengolah berita untuk melaga-lagakan parti lawan yang tidak disukai mereka.
Setelah memburukkan nama Umno untuk sekian lamanya sehingga ia tersemai di minda rakyat, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tiba-tiba berkata Umno dan PKR kini saling memahami.
Ini adalah contoh tindakan politik di dalam mencari rakan baru melalui naratif baru.
Naratif baru perlu dibuat dan disemai ke minda rakyat untuk menerima cerita cinta terbaru ini kerana banyak aktiviti menelan air liur sendiri perlu dilaksanakan.
Segala apa yang diucap dahulu perlu ditelan balik, dan rakyat perlu diberi jalan cerita, dalam erti kata yang lebih kasar maksudnya ialah dicuci minda, agar tidak menolak persahabatan ini secara totok.
Tapi jangan sesekali pandang rendah pada taktik ini – DAP pernah melakukannya dengan mengagungkan Dr Mahathir Mohamad yang dilanyak mereka berdekad lamanya sehingga memenangi PRU14.
Rakyat Malaysia memang terkenal kena main dengan ahli politik.
Bagaimana pula dengan aktiviti memancing undi?
Aktiviti memancing undi di Malaysia adalah lebih berbentuk menghalau orang makan joran pancing orang lain.
Mereka saling memburukkan dengan motif menimbulkan rasa meluat rakyat terhadap lawan mereka.
Ramai juga yang menggunakan taktik laman berita tular dan blog dengan menceduk berita portal-portal lain lalu memberikan tajuk sensasi untuk memburukkan lawan.
Ada pula yang rajin mengedit poster “screenshot” portal berita dan menukar tajuk berita palsu untuk mencari rakyat yang bodoh untuk mempercayai berita tersebut.
Bukan itu sahaja ramai juga sengaja menimbulkan persepsi buruk dengan melontarkan soalan-soalan di media sosial seolah-olah parti lawan telah melakukan perbuatan terkutuk.
Malah ada yang digaji untuk menulis komen untuk memancing undi.
Yang kesiannya ialah rakyat Malaysia.
Kerana pilihan terhad, kebanyakan masa kita terberi undi kepada mereka yang menganggap kita bodoh.