- Iklan -
Rencana

Pelbagai strategi imunisasi kunci kejayaan pelaksanaan

Pendaftaran awam yang rendah bagi program imunisasi kebangsaan menimbulkan kerisauan Malaysia tidak akan mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

Amanda Yeo
4 minit bacaan
Kongsi
Program vaksin kebangsaan dimulakan sejak Februari lalu masih menunjukkan kurangnya pendaftaran awam.
Program vaksin kebangsaan dimulakan sejak Februari lalu masih menunjukkan kurangnya pendaftaran awam.

Walaupun pendaftaran vaksin secara dalam talian dan manual diperkenalkan lebih dua minggu lalu, pendaftaran awam yang rendah bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menimbulkan kerisauan Malaysia tidak akan mencapai kekebalan kawanan (herd immunity) dalam masa terdekat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hanya 22.1 peratus penduduk (5,355,970 individu) telah mendaftar untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera pada 13 Mac. Ini adalah jauh dari matlamat yang diinginkan – menyuntik lebih 80% penduduk (hampir 27 juta daripada 32 juta rakyat Malaysia) dengan vaksin Covid-19 menjelang Mac 2022.

Sehingga kini, terdapat lima kaedah bagi warganegara Malaysia mendaftar untuk vaksinasi.

Menurut buku panduan PICK yang diterbitkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), orang ramai boleh mendaftar untuk vaksinasi secara dalam talian melalui aplikasi MySejahtera atau laman web www.vaksincovid.gov.my.

Dari segi pendaftaran vaksin secara manual, terdapat tiga kaedah untuk dipilih orang ramai – hubungi talian hotline untuk tujuan pendaftaran mulai 5 Mac; lawati klinik dan hospital awam serta swasta; dan melalui program pendekatan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Penubuhan JKJAV dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) baru-baru ini memang merupakan permulaan yang baik bagi Malaysia untuk melancarkan program imunisasi. Namun begitu, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat (the whole of government and the whole of society approach) yang jauh merangkumi kementerian sains, teknologi dan inovasi (Mosti), kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) amatlah diperlukan.

Ini melibatkan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, universiti dan penyedia perkhidmatan kesihatan, dengan tujuan mempercepatkan proses imunisasi.

Bagi memastikan setiap penduduk menerima vaksin, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) dan jawatankuasa penduduk perlu memainkan peranan proaktif ketika memantau liputan vaksin di komuniti masing-masing.

Walaupun pihak kerajaan dan media telah mengedarkan beberapa infografik secara dalam talian, individu yang mempunyai akses terhad dalam peranti digital atau data mungkin tidak akan memahami proses dan kebaikan imunisasi dengan sepenuhnya.

Demi memastikan program pendekatan penduduk yang berkesan di kawasan luar bandar dan pedalaman, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan mungkin dapat memainkan peranan berkesan dengan menyediakan maklumat mengenai kesan sampingan imunisasi dalam bentuk risalah selain menyebarkan informasi berkaitan melalui akhbar atau majalah. Ini dapat diagihkan melalui lawatan dari rumah ke rumah.

Walaupun pendaftaran bagi tanggungan, termasuk ibu bapa yang tua atau individu tanpa telefon pintar akan disediakan melalui aplikasi MySejahtera tidak lama lagi, anak-anak yang tidak tinggal bersama ibu bapa mereka mungkin tidak dapat membantu dalam hal ini.

Penduduk Sabah atau Sarawak yang kini bekerja atau tinggal di Semenanjung Malaysia juga tidak dapat pulang ke kampung mereka dengan segera, seperti yang mereka kehendaki. Mereka perlulah menjalani ujian swab dan memohon izin perjalanan sebelum bertemu dengan ibu bapa mereka yang tua.

Demi memastikan semua rakyat diberi vaksin, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan mungkin perlu membantu warga tua dalam pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera selain menjelaskan prosedur dan kemungkinan kesan sampingan vaksinasi semasa mengadakan lawatan dari rumah ke rumah. Mereka juga dapat membantu individu yang tidak memiliki akses Internet atau peralatan digital untuk mendaftar vaksinasi.

Di samping itu, KKM mungkin dapat merujuk pendekatan AS – mengerahkan sejumlah besar sukarelawan dalam program vaksinasi.

Selain pelajar perubatan, kejururawatan, farmasi dan fakulti kesihatan yang lain, sukarelawan vaksin itu juga dapat dibentuk di peringkat akar umbi dengan mengerahkan para pakar klinikal yang telah bersara atau tidak bekerja. Mereka boleh ditugaskan dalam penyuntikan vaksin, memantau individu yang baru menerima vaksin atau mengatur dos kedua agar vaksin berkesan sepenuhnya.

Pelajar yang menjadi sukarelawan vaksin dapat diberi latihan dalam pengurusan vaksin di kawasan perumahan kos rendah dan rumah-rumah perlindungan bagi gelandangan dan keganasan rumah tangga. Mereka juga haruslah diberikan pengangkutan ke tempat vaksinasi atau memberi perkhidmatan dos langsung kepada warga tua yang mengalami kesukaran keluar dari rumah.

Dengan mengerahkan sukarelawan vaksin secara besar-besaran, KKM dapat mempercepatkan pengagihan vaksin Covid-19 di seluruh negara selain memastikan dos diedarkan adalah secara adil dan saksama kepada setiap warganegara Malaysia.

Bagi mempercepatkan proses imunisasi, kerajaan juga dapat mempertimbangkan pendekatan Indonesia – bekerjasama dengan sektor swasta seperti Grab dan seterusnya melaksanakan vaksinasi secara pandu lalu di seluruh Malaysia.
Lebih-lebih lagi, sekarang adalah masa bagi kerajaan persekutuan dan negeri untuk berganding bahu dalam penyediaan klinik bergerak demi kemudahan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman dalam penerimaan vaksin.

Walaupun PICK telah menggariskan penggunaan klinik vaksinasi bergerak, sebahagian besar lokasi tertumpu di kawasan bandar yang terletak di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.

Dalam menangani masalah pusat vaksinasi yang tidak mencukupi di Malaysia Timur, kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mungkin boleh mewujudkan perkhidmatan doktor terbang (flying doctor) di kawasan pedalaman masing-masing. Hal ini dapat memendekkan masa penghantaran vaksin dan membolehkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri ini menerima suntikan vaksin dengan lebih awal lagi.

Setiap negeri Malaysia mungkin dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa pengawasan awam untuk mengkaji dan melaporkan sistem vaksinasi Covid-19. Dengan demikian, kumpulan sasaran dan penduduk yang kurang diberi perhatian dapat menerima vaksinasi daripada penyedia perubatan dan kesihatan awam mengikut jadual.

Dengan menggabungkan pelbagai strategi imunisasi melalui pengawasan awam, kerjasama dan keterlibatan masyarakat yang kukuh dalam imunisasi, kerajaan Malaysia akan mampu melaksanakan kempen vaksinasi yang berjaya – membina keyakinan rakyat yang lebih tinggi terhadap vaksinasi.

Amanda Yeo merupakan Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.