Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dan kerajaan-kerajaan negeri mempertingkatkan usaha serta menambah baik pengurusan air bagi keperluan rakyat di negara ini.
Pada masa yang sama CAP turut menyeru orang ramai supaya menghargai air dalam kehidupan mereka dengan mengamalkan sikap berjimat cermat tanpa melakukan pembaziran.
Sempena Hari Air Sedunia tahun ini yang jatuh pada 22 Mac yang bertemakan “Menghargai Air”, CAP berharap semua pihak berganding bahu ke arah memulihkan dan memelihara sumber air yang semakin serius terjejas sejak beberapa tahun kebelakangan.
Tinjauan CAP mendapati ancaman terhadap sumber air seperti kemusnahan kawasan tadahan akibat aktiviti pembalakan, pencemaran sungai dan laut oleh sisa buangan kilang, sisa kumbahan, sisa racun dan mendakan dari kawasan pertanian, najis dan sisa ternakan termasuk pembuangan sampah sarap telah meningkat menyebabkan tahap kebersihan air amat membimbangkan.
Terdapat juga saliran di kawasan pertanian telah dijadikan tempat pembuangan bekas racun oleh segelintir petani menyebabkan airnya tercemar dan mengancam pembiakan ikan.
Kejadian baru-baru ini seperti penyusutan takungan air di beberapa buah empangan seperti di Empangan Muda di Kedah dan pencemaran sungai di Selangor dan Sungai Kim Kim di Johor sudah cukup membuktikan bahawa kesan amat buruk telah berlaku ke atas kualiti air dan kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.
Kualiti air di Tasik Timah Tasoh di Perlis dan Tasik Chini di Pahang juga turut terjejas akibat pencemaran alam sekitar yang berlaku di sini.
Manakala air laut di perairan negara pula telah tercemar oleh berbagai bahan buangan termasuk sisa minyak dari kapal-kapal dagang seperti yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan menyebabkan hidupan laut terancam dan sumber pendapatan nelayan teruk terjejas.
Di Kedah, berpuluh ribu penduduk di negeri ini merungut dan bimbang kesihatan mereka terjejas kerana bekalan air paip bukan saja berkurangan tetapi juga kotor serta berkeladak. Bagi mereka yang menggunakan sumber air dari bukit yang dikenali sebagai ‘air masyarakat, turut mengeluh kerana bekalan tersebut dicemari sisa lumpur akibat daripada aktiviti penerokaan hutan yang tidak terkawal.
Ancaman terhadap sumber air turut menjejaskan sektor pertanian di mana banyak kawasan pertanian terutama sawah padi mengalami kemerosotan hasil sekali gus menggugat sumber pendapatan petani.
Umumnya, masalah air yang berlaku bukan saja boleh menjejaskan kesihatan pengguna sektor pertanian, perikanan dan bekalan makanan untuk rakyat tetapi juga masa depan ekonomi negara.
Justeru itu adalah perlu slogan selamatkan hutan kita, sungai kita dan laut kita diterapkan kepada seluruh rakyat di negara ini bagi mengekalkan dan menyelamatkan sumber air dari terus terancam serta selamat untuk digunakan.
Undang-undang berkaitan air perlu dikaji semula bersesuaian dengan keadaan masa kini. Pihak yang melakukan kesalahan menjejaskan sumber air harus dikenakan hukuman lebih berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
CAP mencadangkan supaya lebih banyak kerjasama antara pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terjalin dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan penjagaan sumber air dalam kehidupan manusia.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.