- Iklan -
Kolum

Perpecahan Umno akan menguntungkan semua pihak

Apakah ahli-ahli Umno faham sifir politik pimpinan mereka?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Umno kini di dalam “mood” mencari sebanyak musuh yang boleh.

Dengan Bersatu, Umno mahu memutuskan hubungan.

Mengukuhkan hubungan dengan PAS nampaknya tidak sepenting menjalinkan hubungan dengan PKR.

Semua tindakan-tindakan ini kononnya adalah atas alasan pertindihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika Umno bertindak mencari musuh, ramai yang sebenarnya mengharapkan parti Melayu berpecah.

Andaikan Umno berpecah, mereka yang ditolak di dalam parti itu tidak perlu lagi ragu-ragu keluar untuk bersama parti serpihan seperti Bersatu.

Kebetulan, kebanyakan mereka yang tidak menyokong Bersatu ini adalah daripada golongan yang mempunyai kes mahkamah dan menyebabkan Umno menjadi pembangkang pada PRU14.

Ada juga yang berpendirian berdikari seperti ahli Parlimen Gua Musang.

Mereka boleh memilih bersama Bersatu atau PAS dan sudah tentu akan diberi tempat di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ia juga membantu membersihkan imej PN daripada disokong golongan yang mempunyai kes mahkamah dan melangkah masuk ke PRU15 dengan imej yang lebih teguh.

Beban imej “kleptokrat” ini akan berpindah kepada pihak yang sanggup menerima golongan ini.

Di sebelah pembangkang pula, mereka mengharapkan Umno berpecah untuk memendekkan hayat kerajaan PN.

Namun apa yang diharapkan pembangkang bukanlah pilihan raya umum, tapi sekadar menukar kerajaan dan perdana menteri.

Disebabkan itu, mereka mendesak diadakan sidang Dewan Rakyat, dan bukannya pembubaran Parlimen.

Namun, siapakah yang mempunyai majoriti melebihi 112 untuk menandingi Muhyiddin Yassin?

Setakat ini belum ada yang dapat menunjukkan bukti tersebut.

Di dalam perang menarik sokongan, Anwar Ibrahim sering mendakwa beliau sudah mempunyai sokongan yang cukup untuk menjadi perdana menteri.

Namun begitu, setakat ini tiada seorang pun ahli Parlimen daripada pihak kerajaan yang berani menampilkan diri menyatakan menukar sokongannya kepada presiden PKR itu.

Ia berbeza dengan Muhyiddin yang setakat ini sudah ada tiga ahli Parlimen PKR berani berdepan dengan rakyat dengan menyatakan sokongan kepada perdana menteri secara terbuka.

Selain itu, perpecahan Umno juga diharap sedikit sebanyak dapat membawa undi Melayu kepada pihak pembangkang, dan diyakini melebihi apa yang boleh dibawa Amanah.

Meskipun pembangkang mendapat serpihan Umno yang berpecah, tapi jumlah kerusi yang bakal diberikan parti Melayu itu sudah tentunya besar jumlahnya, setara dengan apa yang diterima PKR dan DAP.

Kerusi siapa yang bakal digadaikan untuk Umno kalau bukan kerusi Amanah?

Semua pihak nampaknya mempunyai sifir tersendiri menunggu perpecahan Umno yang hampir pasti.

Sifir Umno sendiri macam mana pula?

Apakah ahli-ahli Umno faham sifir politik pimpinan mereka?