- Iklan -
Rencana

Ketidakpadanan gaji dan kos sara hidup

Wujud keperluan untuk mengkaji semula gaji minimum bagi mempertimbangkan sama ada jumlah tersebut sesuai atau tidak dengan keadaan ekonomi semasa.

Sofea Azahar
4 minit bacaan
Kongsi
Golongan B40 lebih cenderung untuk membeli makanan, peningkatan harga makanan yang konsisten akan menyebabkan kumpulan isi rumah ini terkesan daripada kadar inflasi yang lebih tinggi.
Golongan B40 lebih cenderung untuk membeli makanan, peningkatan harga makanan yang konsisten akan menyebabkan kumpulan isi rumah ini terkesan daripada kadar inflasi yang lebih tinggi.

Dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi pada waktu ini, rakyat juga dibelenggu kos sara hidup yang masih tinggi dan tidak selari dengan pasaran buruh yang tidak stabil dan menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan. Oleh itu, jalan penyelesaian yang sesuai dan lestari diperlukan dalam hal ini.

Walaupun kadar inflasi sedang berada pada tahap yang rendah, kos sara hidup dikatakan melangkaui harga semata-semata. Menurut kajian Bank Dunia, isu-isu yang berkaitan dengan kos sara hidup termasuklah pertumbuhan pendapatan yang lambat, peningkatan hutang isi rumah dan juga harga rumah yang tinggi.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan, pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional meningkat pada kadar 4.3 peratus dalam tempoh antara tahun 2016 dan tahun 2019 manakala pendapatan boleh guna purata (pendapatan selepas ditolak bayaran pindahan termasuklah bayaran wajib yang dikenakan ke atas isi rumah) menaik pada kadar 4.5 peratus dalam tempoh yang sama.

Mengikut kumpulan isi rumah, pendapatan isi rumah rata-rata untuk B40, M40 dan T20 juga meningkat dalam tempoh bermula pada tahun 2016 sehingga tahun 2019.

Namun, persoalannya, adakah statistik ini mencerminkan realiti terutamanya selepas terjadinya pandemik yang tidak pernah terjadi sebelum ini?

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata juga meningkat pada kadar 4 peratus dalam tempoh 2016-2019. Di antara semua perbelanjaan, peruntukan bagi perbelanjaan makanan dan minuman bukan alkohol adalah tinggi (17.3 peratus) dan berbanding dengan kumpulan isi rumah yang lain, isi rumah B40 memperuntukkan perbelanjaan yang tertinggi untuk makanan dan minuman yang bukan beralkohol.

Namun, harga makanan terus meningkat jika dibandingkan dengan barangan yang lain dan memandangkan kumpulan isi rumah B40 lebih cenderung untuk membeli makanan, peningkatan harga makanan yang konsisten akan menyebabkan kumpulan isi rumah ini terkesan daripada kadar inflasi yang lebih tinggi.

Selain itu, hutang isi rumah berada pada tahap yang tinggi – 82.7 peratus daripada KDNK pada tahun 2019. Tahap kecelikan kewangan rakyat Malaysia juga tidak memuaskan terutamanya dalam kalangan belia. Bukan sahaja kadar pengangguran sudah meningkat, terdapat juga isu ‘underemployment’ yang semakin serius.

Dalam perbincangan mengenai kos sara hidup, status kemiskinan harus dipertimbangkan kerana isi rumah yang termasuk dalam kumpulan ini merupakan mereka yang paling tidak bernasib baik.

Kemiskinan di Malaysia diukur dengan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di mana konsepnya dan metodologinya adalah berasaskan konsep keperluan minimum makanan dan bukan makanan (pakaian, perumahan, pengangkutan dan lain-lain) setiap ahli isi rumah untuk hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.

Dalam erti kata lain, PGK juga bermaksud pendapatan yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan.

Perubahan metodologi telah menyebabkan peningkatan ketara dalam nilai PGK daripada RM908 pada tahun 2016 kepada RM2,208 pada tahun 2019. Oleh sebab yang sama juga, kadar kemiskinan mutlak telah meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.

Tambahan lagi, perkara yang lebih membimbangkan adalah kerana PGK ini belum mengambil kira kesan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan sosioekonomi di Malaysia.

Setelah pandemik melanda, lebih ramai yang hilang pekerjaan, terpaksa menerima pemotongan gaji ataupun diminta cuti tanpa gaji.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, anggaran daripada Jabatan Perangkaan setelah mengambil kira wabak Covid-19 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan akan meningkat sebanyak 3 titik peratusan daripada kadar semasa iaitu 5.6 peratus.

Jadi, kita bakal lihat lebih ramai yang hidup dalam kemiskinan berbanding 405,441 isi rumah yang telah dilaporkan sebelum ini akibat tamparan hebat daripada krisis.

Kos sara hidup, kuasa membeli dan PGK juga berlainan mengikut negeri. Kebiasaannya, persepsi umum adalah bahawa kos sara hidup di negeri-negeri maju lebih tinggi berbanding dengan kos sara hidup di negeri-negeri yang kurang maju. Namun, bagi beberapa negeri, tidak semuanya begitu.

Jika kita lihat pada purata nilai PGK mengikut negeri, Sabah dan Labuan mempunyai nilai PGK yang tinggi berbanding dengan negeri lain termasuklah negeri yang maju seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Kadar kemiskinan di Sabah juga amat tinggi pada kadar 19.5 peratus. Jadi, ini menunjukkan bahawa kehidupan di luar bandar juga boleh menjadi mahal, bukan hanya di negeri-negeri yang lebih membangun.

Jurang gaji tidak membantu dalam menyokong kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebagai contoh, semasa perbincangan kumpulan fokus EMIR Research yang diadakan pada suku ketiga tahun lepas, seorang peserta dari Sabah memberitahu bahawa terdapat keperluan untuk menyeragamkan gaji di seluruh negara memandangkan kos sara hidup di Sabah sama tinggi seperti di negeri yang lebih membangun tetapi jurang gaji sangatlah besar!

Inilah realiti yang mungkin tidak dicerminkan sepenuhnya oleh statistik tetapi ia dapat dirasai dengan ketara oleh golongan-golongan yang terkesan.

Gaji minimum kekal rendah (RM1,100-RM1,200) walaupun terdapat usaha untuk menghapuskan jurang gaji di antara Semenanjung Malaysia, dan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Contohnya, sesebuah isi rumah yang berpenghuni oleh seorang individu yang berpendapatan RM1,200 sebulan dan tinggal di Kuala Lumpur tetapi jumlah pendapatan untuk membeli keperluan asas minimum adalah sebanyak RM2,206, adakah keadaan sebegini wajar dan masuk akal?

Jadi, terdapat keperluan yang sangat penting untuk mengkaji semula gaji minimum bagi mempertimbangkan sama ada gaji minimum ini sesuai atau tidak dengan keadaan ekonomi semasa.

Statistik juga telah menunjukkan bahawa pampasan untuk pekerja di Malaysia jauh lebih rendah berbanding dengan ekonomi maju seperti Singapura dan Korea.

Kenaikan gaji harus seiring dengan peningkatan kemahiran pekerja (melalui pendidikan) dan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi harus diwujudkan melalui pelaburan bernilai tinggi. Dengan cara ini, pekerja yang lebih berkemahiran dapat memenuhi keperluan industri dan boleh menuntut gaji yang lebih tinggi.

Ketidakpadanan gaji pekerja dan kos sara hidup merupakan isu yang sudah lama dan semestinya tidak mempunyai satu sahaja jalan penyelesaian. Namun, kita harus mula berfikir secara mendalam tentang isu ini sebelum terlambat.

Sofea Azahar merupakan Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

 

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.