- Iklan -
Rencana

PAS tolak kluster mahkamah, sokong PN

Konsep dalam PN adalah saksama, tiada fahaman ‘abang besar’ sepertimana yang masih cuba dibawa oleh sebahagian pimpinan Umno terutama dari ‘kluster mahkamah’.

Bayan Budiman
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam sebuah sidang media. Gambar: Bernama
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam sebuah sidang media. Gambar: Bernama

Menilai ‘tinta fikir’ Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menerusi coretan beliau di laman Facebook miliknya semalam. Seakan jelas tampaknya gagasan pemikiran yang dituju beliau dalam memimpin gerakan ‘islah’ dan kini terpasak medan perjuangannya menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Coretan semalam juga ibarat lentera yang menjadi penyuluh buat segenap pendukung mahupun ‘ikhwan’ dalam kalangan ahli PAS.

Menyorot perenggan demi perenggan apa yang disampaikan tuan guru, sememangnya ketetapan PAS dan tawakal perjuangan mereka telah diperlihatkan dengan memberikan gambaran bahawa PN adalah merupakan suatu jalan yang wajar digembleng secara bersama oleh ahli-ahli PAS dan juga sebagai jawaban kepada toleransi sebegitu integrasi dalam dinamisme politik di tanah air.

Konsep dalam PN adalah saksama, tiada fahaman ‘abang besar’ sepertimana yang masih cuba dibawa oleh sebahagian pimpinan Umno terutama dari ‘kluster mahkamah’ yang terangan beriltizam untuk mendominasi waima ke atas PAS yang jujur melebarkan sayap persaudaraan sedang hakikatnya Umno yang mempergunakan ‘gerakan islah PAS’ sebagai talian hayat mereka selama ini.

PRN Sabah juga telah membuktikan menerusi kemenangan PN dan penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lebih harmoni tanpa mengikut telunjuk ‘kluster mahkamah’ bagi pihak Umno di Sabah, ternyata mengangkat PAS untuk turut terlibat dalam beberapa peranan pentadbiran kerajaan di negeri Sabah, sekaligus telah membuka minda masyarakat Sabah untuk lebih menerima PAS.

Toleransi sebegini adalah bukti kesepaduan dan harmoni yang berjaya dibawa Perikatan Nasional dan dibuktikan melalui pergerakan GRS di Sabah. Ini hanya mampu terjadi atas takdir dan iktibar kewujudan gabungan Perikatan Nasional yang dipelopori secara bersama pemimpin seperti ‘Ayah Chik’ dan ‘Abah’ serta lain-lain pimpinan PN.

Dalam pada itu, mesej seruan pengukuhan PN oleh tuan guru juga barangkali adalah semboyan dan refleksi atas kebiadaban Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi baru-baru ini yang secara terangan memberikan mesej kepada Umno Terengganu bahawa beliau sendiri sanggup ‘laggar’ PAS Terengganu yang juga merupakan negeri presiden PAS. Itu adalah bukti sifat buruk sebahagian kepimpinan Umno yang menjadi pembela kepada ‘kluster mahkamah’. Ia hakikatnya bukanlah dapatan umum akar umbi sebegitu sebilagan besar pemimpin Umno lainnya yang mula sedar dan tidak dibelenggu sejarah kegemilangan lalu. Sejarah yang hakikatnya membawa Umno dan Barisan Nasional kepada kehancuran!

Menerusi coretan itu turut diperjelas, secara terangan tuan guru seakan menggambarkan penolakan ke atas ‘kluster mahkamah’ pada coretan beliau itu apabila membicarakan soal menjunjung ‘integriti’ sebagai suatu budaya atau amalan yang ditekankan ajaran Islam dan peri pentingnya meninggalkan perbuatan salah laku, rasuah dan pecah amanah. Sebegitu dibuktikan dalam konteks PAS seperti yang diperkatakan oleh tuan guru, mengimbau kepimpinan mereka yang telah pergi dan pernah memimpin kerajaan negeri sebelum ini (menjadi menteri besar), dan sedikit pun tidak mengendahkan hal duniawi melainkan jalan kepimpinan menuju ukhrawi.

Adalah diharapkan, dari apa yang dikalamkan oleh Presiden PAS ini, dapat menjadi suatu penilaian mahupun pedoman sesama inti kesepaduan dalam gabungan PN, sebegitu ianya menjadi wasilah kepada rakan-rakan dari Umno untuk senada dengan pandangan tuan guru dalam menggesa perubahan dalaman Umno untuk dapat membina sebuah gagasan baharu dengan sendi kekuatan Melayu-Islam bersama-sama PAS, Bersatu dan Umno (baharu) dalam satu ketumbukan.

Perubahan ini adalah normal, suatu masa Umno mempelopori Perikatan sebelum kemudiannya buat sekian lama dikenali sebagai Barisan Nasional. Tetapi jika difahami seruan atau gesaan presiden PAS ini, nyata dalam dinamik semasa, koalisi Umno secara bersama dalam PN adalah penyelesaian baik yang turut diidamkan rakyat Malaysia.

Wallahualam, Seeru Ala Barakatillah.

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.