Pada tahun 1976, ketika mengayuh basikal untuk ke sekolah, saya melalui sebuah banglo sederhana berhalaman luas dipagari tembok tinggi.
Di pintu masuknya tertulis Kedutaan Besar Republik Demokratik Rakyat Korea.
Jalan Ampang menempatkan bukan saja kedutaan Korea Utara tetapi juga Soviet Union dan Republik Rakyat China, dua kuasa yang mempunyai pengaruh besar ke atas negara itu.
Ketiga-tiganya adalah negara blok Timur yang mempunyai senjata nuklear.
Mereka menghadapi negara nuklear blok Barat iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis.
Senjata nuklear itu memberikan keseimbangan geopolitik antara kedua blok.
Pada tahun sama, saya mengunjungi pameran dagang Korea Utara yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mereka mengedarkan lencana berupa bendera merah dengan gambar Kim Il-sung, pengasas Korea Utara.
Apa yang dipamerkan adalah alat-alat pertanian dan perindustrian yang digunakan oleh Korea Utara.
Dewan itu dihiaskan dengan bunga-bunga dan gambar-gambar kehidupan rakyat negara itu.
Di hujung dewan, diletakkan gambar besar yang memenuhi seluruh dinding.
Ia berupa pemandangan gunung-ganang dan hutan di Korea Utara.
Di tengahnya dipaparkan gambar Kim Il-sung mengangkat tangan.
Di bawahnya ialah gambar pelbagai lapisan rakyat Korea Utara.
Pada masa itu AS dan Soviet Union bersetuju untuk berpegang pada dasar “détente” dan “co-existence” yang berupa seperti gencatan senjata serta penerimaan kewujudan negara kedua-dua blok.
Malaysia yang walaupun condong pada AS dengan mengamalkan sistem demokrasi dan ekonomi pasaran turut mengiktiraf dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara blok Timur.
Pada masa itu, Korea Utara masih dipimpin oleh Kim Il-sung.
Cara pemerintahannya tidak berbeza dengan negara-negara komunis lain di Eropah Timur yang berpandukan pada fahaman Marxist-Leninist.
Pyongyang adalah sekutu Moscow tetapi mempunyai hubungan baik dengan Beijing.
Sedangkan Beijing sudah berkelahi dengan Moscow dan bermesra dengan Washington.
Kini Korea Utara sudah tidak lagi menyebut tentang Marxisme dan komunisme.
Untuk itu, perlembagaannya juga dipinda.
Fahaman politiknya lebih kepada nasionalisme dan patriotisme.
Ia tidak menjadi sekutu sesiapa walaupun masih mengekalkan hubungan isrimewa dengan China.
Republik Demokratik Rakyat Korea, DPRK adalah nama rasmi Korea Utara.
Semua negara republik bermaksud sistem pemerintahan di mana ketua negara dilantik dalam kalangan rakyat dan bukan daripada keluarga Diraja.
Korea Utara adalah sebuah republik.
Tetapi sejak penubuhan, presidennya adalah dari keluarga yang sama.
Apabila pengasasnya, Kim Il-Sung meninggal dunia, beliau digantikan oleh anaknya, Kim Jong-il.
Presiden sekarang, Kim Jong-un adalah cucu Kim Il-sung.
Seolah-olahnya republik hanya ada pada nama.
Dari segi amalan, ia melantik ketua negaranya seperti monarki.
Pada nama rasmi Korea Utara, ada perkataan demokratik.
Pada masa ini, apabila disebut demokratik tentulah gambarannya negara itu mengadakan pilihan raya umum dan kerajaannya dipilih oleh rakyat.
Tetapi tidak di Korea Utara.
Ia mengamalkan sistem satu parti yang berterusan memerintah tanpa saingan oleh pihak lain.
Ketika Soviet Union masih wujud, banyak negara komunis mempunyai perkataan demokratik pada nama rasmi mereka.
Takrifan demokrasi pada mereka berbeza daripada apa yang difahami oleh negara bukan komunis.
Demokrasi pada mereka ialah kebebasan rakyat daripada penindasan, ketidakadilan dan ketidaksamaan.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Iaitu banyak negara komunis sebelum mereka tumbang diperintah secara diktator melalui sistem satu parti dengan berlakunya penindasan, ketidakadilan dan ketidaksamaan.
Perkataan rakyat juga terdapat pada nama rasmi Korea Utara.
Konsep republik rakyat diperkenalkan oleh pihak komunis untuk menunjukkan bahawa negara mereka berdiri di atas aspirasi rakyat, dan bukannya pada golongan elit bangsawan dan pemodal.
China masih mengekalkan perkataan rakyat pada nama rasminya.
Tetapi adakah Korea Utara diperintah sebagai negara yang mencerminkan aspirasi rakyatnya?
Apabila melihat laporan-laporan yang diperoleh mengenai negara itu dari internet, di mana maklumat mengenainya tidak sukar untuk diketahui, maka dapat disimpulkan ia merupakan negara yang wujud untuk memenuhi aspirasi satu elit politik.
Kebanyakan negara di dunia tidak mempunyai perkataan rakyat pada nama rasmi mereka.
Tetapi adalah diketahui bahawa pada umumnya, kerajaan mereka yang dipilih secara demokratik berusaha untuk memenuhi aspirasi rakyat.
Kedua-dua Korea Utara dan Korea Selatan hanya menyebut perkataan Korea pada nama rasmi mereka.
Tiada utara atau selatan.
Ini kerana mereka merupakan satu bangsa yang mana pemerintah Seoul dan Pyongyang menganggap mereka mewakili keseluruhan Korea.
Penyatuan kedua-dua bahagian Korea itu merupakan impian yang kekal diinginkan oleh rakyat kedua negara itu.
Ketika Soviet Union tumbang dan berakhirnya Perang Dingin, maka banyak pihak di dunia mengharapkan berlakunya penyatuan Korea.
Iaitu seperti mana apa yang terjadi pada Jerman.
Rejim komunis di Berlin Timur tumbang.
Republik Demokratik Jerman dibubarkan dan Jerman Timur menjadi sebahagian daripada Republik Persekutuan Jerman.
Tetapi perkara itu tidak berlaku kepada rejim komunis di Pyongyang.
Korea Utara muncul sebagai salah satu daripada lima negara komunis yang tidak tumbang.
Negara lain ialah China, Vietnam, Laos dan Cuba.
Dua negara komunis yang dapat mengubah dasar ekonomi mereka dengan memberikan kebebasan ekonomi dan kemakmuran pada rakyatnya ialah China dan Vietnam.
Maka dunia mengharapkan Korea Utara sekurang-kurangnya akan mengikut jejak China dan Vietnam untuk mengamalkan sistem pasaran terbuka seperti mereka.
Malah China juga sanggup memberikan kerjasama.
Pada awalnya, harapan itu ada dengan beberapa kawasan berhampiran sempadan China dibuka untuk pasaran terbuka.
Tetapi ia terhenti di situ dan tidak meluas ke bahagian lain negara itu.
Ternyata kelangsungan hidup rejim Pyongyang bergantung kepada keupayaannya menggunakan senjata nuklear.
Sementara ekonomi negara itu jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan.
Daripada pelbagai laporan yang kini mudah dibaca melalui internet, banyak dakwaan yang menyatakan rejim itu melakukan amalan yang tidak konvensional dan tidak dapat diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai sumber pendapatan negara.
Tetapi masalah di semenanjung Korea itu bukan saja mengenai senjata nuklear Pyongyang.
Perkara lebih besar ialah soal geopolitik antara China dengan AS.
Pada masa ini sempadan antara zon pengaruh AS dan China adalah perbatasan Korea Utara dan Korea Selatan.
Maka rejim Pyongyang berdiri di atas manfaat keseimbangan ini.
Tetapi keseimbangan geopolitik China dan AS bukan saja berlaku di semenanjung Korea tetapi keseluruhan rantau Asia Timur, dari Laut China Utara sampai ke Laut China Selatan.
Semua negara di rantau ini harus meniti di atas keseimbangan ini.
Kejatuhan Soviet Union memaparkan bagaimana keseimbangan geopolitik terganggu.
AS tidak teragak-agak meluaskan pengaruhnya bukan saja pada Jerman yang bersatu tetapi hingga ke sempadan Rusia.
Peluasan Pertubuhan Perjanjian Atkantik Utara (Nato) untuk meliputi negara-negara bekas komunis sehingga ke Ukraine mengejutkan Rusia.
Kini hubungan Washington dan Moscow tidaklah begitu baik dengan kedua-duanya masih mempunyai senjata nuklear.
Dalam geografi, keseimbangan plat tektonik memberikan kestabilan pada benua bagi membolehkan penghuninya hidup tanpa bencana.
Maka bagi geopolitik, keseimbangan kuasa politik mewujudkan perdamaian bagi pembangunan negara-negara.