- Iklan -
Kolum

Menyanyi jazz kisah pembunuhan

Penyanyi piring hitam kita hampir tiada yang menggunakan muzik untuk melawan.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Umum mengenali Cassandra Monique Batie atau Andra Day, dengan lagu ikoniknya Rise Up, dari album Cheers to the Fall (2015).

Nama pentasnya Day, adalah dari Holiday, penyanyi pujaannya iaitu Billie Holiday.

Untuk penggemar jazz dan blues, Billie Holiday adalah penyanyi genre tersebut yang khas.

Cara mendiang menyanyikan setiap lagunya begitu tersendiri.

Dia mencurahkan rasa dan emosi girang, sendu, gedik dan amarah dalam tiap dendangannya.

Lady Day sukar ditandingi.

Maka apabila Andra Day diminta melakonkan watak Billie Holiday dalam filem The United States vs. Billie Holiday, ia adalah kesempatan yang tidak seharusnya dipersiakan oleh Andra.

Tentu pada mulanya ramai meragui kemampuan Andra berlakon.

Filem “The United States vs. Billie Holiday”.

Demikian hidup, Andra sudah memenangi Golden Globe secara mengejut untuk lakonannya itu, dan kini mengintai anugerah Oscar tidak lama lagi.

Beliau dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Filem The United States vs. Billie Holiday ini bukan naratif biasa.

Ia mengambil satu sudut paling sensasi dalam karier Lady Day.

Ia mengenai bagaimana Lady Day menggunakan pentas, jazz, suara serak dan juga pengaruhnya dalam bidang nyanyian untuk mengkritik sistem Amerika Syarikat, khusus rasisme terhadap kulit hitam.

Ia menjadikan lagunya, atau lebih tepat liriknya penuh provokasi dan “political”.

Sukar untuk kita membandingkan Lady Day dengan mana-mana penyanyi Malaysia sebagai contoh.

Penyanyi piring hitam kita hampir tiada yang menggunakan muzik untuk melawan.

Saya tidak dapat memikirkan seorang pun.

Menonton The United States vs. Billie Holiday selama dua jam sepuluh minit, menyanyi separuh menyundal dan kadang kala mencari pasal bukanlah pengalaman biasa.

Billie Holiday dibenci oleh pemerintah Amerika Syarikat dalam tahun 1940-an dan 1950-an kerana Lady Day menggunakan kuasa suara dan muziknya untuk mengincah ketenangan air politik dalam bidang seni.

Satu penyakit yang merosakkan seniman tentunya ialah ketagihan dadah.

Pun, Lady Day tidak sampai seperti Whitney Houston misalnya.

Dia tidak terjerumus dalam lecak kemabukan dan ketagihan melainkan dia sedia mengawalnya.

Membesar di rumah pelacuran (ibunya adalah pekerja seks), dia mendengar rekod nyanyian dan belajar menyanyi sendirian.

Lady Day atau Eleanora Fagan mengambil dadah untuk memadam derita anak dan remajanya.

Filem ini, The United States vs. Billie Holiday adalah penyataan hak asasi manusia yang luar biasa.

Adegan Billie Holiday melihat pembunuhan keluarga kulit hitam atau dikenali sebagai “lynching” iaitu satu bentuk teror kaum yang menakutkan amat mengesankan sekali.

Lady Day meresapi diri Andra.

Demikian kita memahami mengapa Lady Day memilih perlawanan dengan mikrofon dan pentas (dan tentu sekuntum bunga tersisip di telinganya) seraya suara seraknya menyanyikan bait-bait mengenai pembunuhan ini.

The United States vs. Billie Holiday adalah mengenai kenekadan Billie Holiday menyanyikan lagu berhantunya, iaitu Strange Fruit.

Lagu ini ada sebab dinamai berhantu kerana balada pendek itu menggambarkan teror psikologi yang dialami oleh masyarakat kulit hitam di Amerika. Antara bait lagu aneh tahun 1939 itu (tetapi amat bertenaga) berbunyi; “black bodies swinging in the Southern breeze,” dan “Strange fruit hanging from the poplar trees.”

Lady Day menyanyikan lagu ini di hadapan audien kulit hitam dan putih, melakukan konfrontasi secara berani ketika dekad Amerika sedang menghukum siapa sahaja yang berani nekad bersuara.

Pihak berkuasa malah mensasarkan Lady Day dengan harapan dia akan diam, akan berhenti.

Satu caranya ialah memastikan Billie Holiday dimusuhi kerana aktiviti dadahnya.

Lagu tersohor Billie Holiday ini bermula dengan sebuah puisi, mengenai lebih empat ribu orang masyarakat kulit hitam yang diseksa, dan dibunuh secara publik, selalunya dengan cara digantung di pokok, atau kadang-kala dibakar hidup-hidup.

Siri “lynching” ini, satu bentuk terorisme digunakan sebagai senjata untuk menakut-nakutkan masyarakat kulit hitam antara tahun 1877 sehingga 1950.

Penggiat hak asasi manusia menerusi National Association for the Advancement of Colored People berusaha menjadikan perbuatan wewenang ini satu jenayah oleh pendokong ketuanan kulit putih, tetapi kekal gagal.

Lagu “Strange Fruit” bermula dengan puisi Abel Meeropol, puisi seorang Yahudi Amerika dengan judul “Bitter Fruit” yang menulis mengenai pembunuhan pada 7 Ogos 1930, iaitu epsiod “lynching” terhadap J Thomas Shipp dan Abraham S Smith di Marion, Indiana.

Shipp, berusia 18 tahun manakala Smith berumur 19, bersama-sama James Cameron berumur 16 tahun asalnya dituduh melakukan rompakan, pembunuhan dan pemerkosaan.

Cameron dapat melarikan diri dari kemarahan orang ramai, tetapi Shipp dan Smith diheret keluar dari lokap polis tempatan dan dibunuh.

Mereka digantung di pokok, dan khalayak kulit putih menyorakkan pembunuhan tersebut.

Pertama kali mendendangkan lagu ini, tidak ada siapa pun dari khalayak berani menepuk tangan.

Akan tetapi lama kelamaan Lady Day mulai dikenali dengan lagu tersebut.

Apabila Holiday merakam rekod lagu “Strange Fruit” dengan Commodore Records pada 20 April 1939, lagu itu melonjakkan nama Holiday di usia 23 tahun.

Setiap kali menyanyikan “Strange Fruit”, Lady Day melakukannya dengan efektif sekali.

Apa yang beliau lakukan ialah meletakkan lagu itu di hujung tiap persembahannya.

Oleh kepakaran Holiday melakukan improvisasi, puisi Meeropol tersebut menjadi sangat menggerunkan.

Holiday akan berhenti di ayat akhir lirik lagu tersebut yang membuatkan penonton serba salah, tersentak dan dilanda satu perasaan terpukul; “here is a strange and bitter crop”, setelah menjeritkan satu ingatan mengenai bau mayat orang kulit hitam yang hangus hangit dibakar hidup-hidup; “then the sudden smell of burnin’ flesh”.

Adegan Andra menyanyikan Strange Fruit dalam filem ini dapat dikatakan sebagai klimaks.

Tentu musuh Holiday ialah Pengarah Federal Bureau of Narcotics, Harry Anslinger yang memang diketahui rasis.

Ini mengakibatkan Holiday dipenjarakan pada tahun 1947 kerana kesalahan memiliki bahan narkotik.

Meskipun dilarang membuat persembahan di kabaret, lagu Strange Fruit kekal bergema dan pada tahun 1999 majalah Time memilih Strange Fruit sebagai “Lagu Kurun Ini”.

Tidaklah mudah menjiwai watak Billie Holiday yang demikian huru-hara, kacau, dan sangat terganggu itu.

Akan tetapi Andra Day terlihat melakukannya dengan mudah.

Filem ini bukan untuk penonton dengan jiwa yang lemah.

Ia mendera, kerana jerit pekik saling bertingkah dengan persembahan nyanyian yang melesukan, dan adegan berahi yang tidak perlu.

Suntingan filem ini lemah dan untuk memberi gambaran bagaimana Amerika melawan Lady Day, taburan masa lakon antara Day sebagai Holiday dengan ejen muda FBI Jimmy Fletcher (lakonan Trevante Rhodes), menyebabkan kita hilang tumpuan.

Namun demikian, sepanjang dua jam sepuluh minit itu kamera tidak sedikit pun teralih dari Andra Day.

Mungkin inilah sebabnya Andra Day, pelakon pertama kali meraih perhatian elitis wayang gambar di Hollywood.