Dua jalur pemikiran, dalam mengembalikan kekuatan Umno, sudah menjadi rahsia umum.
Satu jalur yg dikepalai oleh presiden, timbalan presiden, setiausaha agung, pengarah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk bekas presiden merangkap bekas perdana menteri dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Iaitu, Umno perlu bersendirian. Umno boleh cemerlang hingga menang bergaya.
Satu jalur lagi, mempercayai bahawa Umno akan kembali kukuh dan boleh memenangi PRU15 dengan cemerlang jika berpadu bersama PAS dan Bersatu.
Atas terdapatnya jalur tersebut, maka Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa Umno perlu mengadakan pemilihan kepimpinan pada tahun ini.
Bagi beliau, dengan terdapatnya kepimpinan baru, maka lebih jelas barisan kepimpinan yang dikehendaki oleh pendukung parti.
Kepimpinan MIC juga melontarkan persoalan, siapa yang akan menjadi kapten Barisan Nasional (BN) semasa PRU15 nanti?
Bagaimanapun, tiba-tiba Najib Razak cuba memangkas idea untuk diadakan pemilihan Umno pada tahun ini.
Dia melontarkan alasan, kononnya boleh menimbulkan perpecahan dalam Umno, sekiranya sebelum PRU15 pemilihan dilaksanakan.
Kononnya, orang yang kalah boleh dibeli atau lari memihak musuh.
Alasan seperti itu, tidak sewajarnya lahir dari bekas seorang presiden Umno.
Tidak mungkin, Najib tidak membaca sejarah pertandingan dan perpecahan Umno.
Benarkah perpecahan-perpecahan dan lahirnya parti serpihan Umno berpunca daripada pertandingan jawatan presiden?
Sebenarnya tidak begitu.
Tidak seperti apa yang menghantui fikiran Najib.
Cuba kita susur pertandingan-pertandingan jawatan presiden di dalam Umno.
Pertandingan pertama berlaku pada 1951, selepas Onn Jaafar meninggalkan Umno.
Pertandingan antara Tunku Abdul Rahman, Mustapha Hussain dan CM Yusuf (Chik Mohamad Yusuf).
Tunku dapat mengalahkan Mustapha Hussain dengan satu undi.
Mustapha adalah orang kiri, yg menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Tidak berlaku perpecahan.
Sebaliknya CM Yusuf dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yg ketiga (1964-1974).
Sulaiman Palestin, pernah mencabar Hussein Onn, untuk jawatan presiden pada Jun 1978.
Tiada perpecahan kesan dari pertandingan tersebut.
Begitu juga terjadi pertandingan di antara regu Razaleigh-Musa Hitam (Team B) menentang Dr Mahathir Mohamad-Ghaffar Baba (Team A) pada 1987.
Mahathir menang dengan 43 undi.
Difahamkan terjadi perpecahan dan penubuhan parti Semangat 46, bukan semata-mata kerana pertandingan.
Sebaliknya, kerana Mahathir menubuhkan Umno (Baru), dan tidak membenarkan geng Team B menyertainya.
Sejarah perpecahan Umno pada 1998 dan diikuti oleh penubuhan Parti Keadilan Nasional (kini PKR), tiada kena mengena dengan pemilihan Umno.
Perpecahan Umno dan penubuhan parti serpihan itu berpunca daripada pemecatan Anwar Ibrahim.
Begitu juga lahirnya Bersatu dan Warisan, tidak berpunca dari pertandingan jawatan presiden di dalam Umno.
Semua sedia maklum, bahawa lahirnya kedua-dua parti tersebut dari tindakan Najib memecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir.
Saya dan ramai percaya, Najib mahukan penangguhan tersebut bukan kerana soal perpecahan Umno.
Tapi soal sebenarnya, beliau tidak yakin regu Ahmad Zahid Hamidi-Mohamad Hasan boleh menang dalam pemilihan akan datang.
Bertolak dari kebimbangan tersebut, lantas beliau melontarkan idea yang selekeh. Idea yang tidak akan bersambut oleh ahli-ahli dan pendukung Umno yang sudah dapat membaca kilat ikan di air.
Ketua pemuda Umno, berbeza pemikirannya dengan Najib.
Beliau mahu diadakan pemilihan pada tahun ini. Tapi bersyarat. Syaratnya, para menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkait kerajaan (GLC) mesti meletakkan jawatan.
Pelik juga dengan saranan ini.
Apatah lagi datangnya dari ketua Pemuda Umno yang berkelulusan PhD.
Beliau bimbang pemimpin Umno yang berjawatan, lantikan politik itu menggunakan kedudukan untuk meraih kemenangan.
Barangkali ketua Pemuda ini lupa, bahawa yang akan merebut jawatan di dalam parti ini, bukan hanya para menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC semata-mata.
Ada yang berjawatan menteri besar, ketua menteri, timbalan menteri besar, exco negeri dan bermacam-macam lantikan pilitik yang turut menawarkan diri.
Antara mereka, ada yang bertanding di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Kalau mengikut logik Asraf Wajdi, semuanya mesti meletakkan jawatan.
Aduh! Macam mana jadi begini Pak Dr?
Seorang kawan saya menelefon, tentang idea ketua Pemuda Umno ini.
Katanya, barangkali dalam sejarah ketua Pemuda Umno, inilah yang paling bebal.
Barangkali kerana punyai sifat kebebalan beginilah, menyebabkan beliau tewas dua kali dalam PRU, di dua Parlimen yang berbeza di Kelantan.
Semoga Pemuda Umno menukar pemimpin baru dalam pemilihan akan datang.
Pemilihan Umno tidak boleh ditangguh
Saya percaya, pemilihan Umno tidak mungkin dapat ditangguhkan pada tahun ini.
Difahamkan percubaan untuk menangguhkannya, dilontarkan di dalam mesyuarat MKT, sebelum PAU 27-28 Mac yang lepas.
Tapi percubaan itu gagal. Lontaran idea itu tidak bersambut. Maknanya majoriti di dalam MKT, tidak mahu ianya ditangguhkan.
Ramai menjangkakan hasrat Najib itu tidak akan tercapai. Hasrat beliau akan tersekat, kerana beliau bukan lagi perdana menteri.
Di samping itu terdapat beberapa faktor yang akan menggagalkan keinginan beliau.
Pertama, penangguhan atau tidak pemilihan parti, bukan ditentukan oleh MKT.
Ianya ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). RoS terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kedua, tiada alasan yang mampu meyakinkan RoS.
Alasan Covid-19, tidak mujarab lagi.
Sebabnya, Umno menjayakan PAU pada 27-28 Mac lepas yang tentu sekali menghiburkan presiden, timbalan presiden, setiausaha agung, pengarah pilihan raya dan Najib sendiri.
Ketiga, Umno tidak boleh memberi alasan-alasan lain, kerana DAP juga dapat melaksanakan pemilihan parti mereka di peringkat negeri.
Berdasarkan faktor di atas, saya percaya pemilihan Umno akan terjadi pada tahun ini.
Saya percaya perang antara dua jalur pemikiran di dalam Umno sudah bermula.
Bila cabaran Zahid kepada menteri untuk meletak jawatan tidak bersambut.
Begitu juga dengan gesaan Razaleigh supaya berhenti serta-merta, dikesampingkan oleh para menteri, timbalan menteti, pengerusi GLC.
Makanya perang antara “kluster mahkamah” dan “kluster menteri” pasti akan terjadi.
Apakah Mat Hasan yang senada dengan Zahid di pentas pada 27-28 Mac lalu akan kekal bersama?
Atau beliau akan membuat “pusingan U” bila merasa lemas bersama Zahid nanti?
Kamarazaman Yacob merupakan penganalisis politik dan bekas aktivis mahasiswa 1970-an.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.