- Iklan -
Rencana

200 nelayan terjejas pantai Permatang Tepi Laut diancam pencemaran

CAP percaya jika punca masalah ini dibiarkan sumber pendapatan dan kehidupan nelayan di sekitar kawasan itu akan terjejas.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
2 minit bacaan
Kongsi
Keadaan Sungai Kampung Permatang Tepi Laut yang tercemar. Gambar: CAP
Keadaan Sungai Kampung Permatang Tepi Laut yang tercemar. Gambar: CAP

Kira-kira 200 nelayan pantai di Kampung Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang terjejas sumber pendapatan berikutan masalah pencemaran air kumbahan dan sampah-sarap yang dihadapi mereka sejak beberapa tahun lalu.

Dalam tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kejadian ini telah menyebabkan air sungai di kampung itu keruh, berkelodak dan berbau busuk. Manakala di kawasan pantai pula dipenuhi sampah-sarap.

Menurut nelayan-nelayan yang terlibat masalah tersebut berpunca dari kediaman penduduk dan premis perniagaan sekitar Bayan Lepas membuang sisa kotoran termasuk sampah ke dalam sungai ini. Bahan buangan itu dibawa arus ke laut serta mengancam kawasan tangkapan mereka.

Ikan, udang, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di sini sejak dahulu kini diancam kepupusan dan telah berkurangan sekali gus menjejaskan hasil pendapatan mencecah 50% setiap kali turun ke laut.

Di samping itu, enjin bot nelayan-nelayan juga kerap mengalami kerosakan kerana tersangkut pada sampah ketika menjalankan aktiviti tangkapan. Mereka juga mendakwa mengalami gatal kulit bila terkena air yang tercemar oleh bahan buangan ini.

CAP kesal dan bimbang dengan kejadian ini walau pun sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan. CAP diberitahu oleh nelayan-nelayan di sini, sudah beberapa kali sampel air sungai diambil oleh pihak yang bertanggungjawab untuk diuji tetapi hingga sekarang keputusan ujian tersebut tidak diketahui mereka.

Oleh yang demikian CAP menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

CAP percaya jika punca masalah ini dibiarkan sumber pendapatan dan kehidupan nelayan-nelayan yang terlibat akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.