- Iklan -
Rencana

Umno tempah baju ‘Pak Kaduk’ pada PRU15

Pak Kaduk, digambarkan sebagai lurus bendul. Tapi kadang-kadang mempunyai idea di luar lojik akal.

Kamarazaman Yacob
4 minit bacaan
Kongsi
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Cerita Pak Kaduk, adalah salah sebuah sastera rakyat Melayu.

Ianya sarat dengan pengajaran. Tentulah ditujukan kepada orang Melayu.

Atau masyarakat Melayu. Atau organisasi Melayu, yang tentunya untuk diambil iktibar oleh ketuanya.

Pak Kaduk, digambarkan sebagai lurus bendul. Tapi kadang-kadang mempunyai idea di luar lojik akal.

Misalnya, memakai baju kertas semasa menyabung ayam dengan raja.

Bahagian ini, mengajar orang Melayu atau pemimpin Melayu, supaya berfikir dengan betul. Dan membuat keputusan yg betul.

Ali Shariati, filsuf Iran mengatakan:

“Berfikir dengan betul. Bertindak dengan betul. Menghasilkan yang betul.

“Berfikir dengan salah. Bertindak dengan betul. Menghasilkan yang salah”.

Benar sekali peringatan Ali Shariati tersebut.

Pak Kaduk, yang memakai baju kertas, melompat keriangan, kerana gembira ayamnya menang. Dia lupa, sedangkan ayamnya ditukar dengan ayam raja.

Akhirnya, dia bertelanjang bulat. Dapat malu. Dan terpaksa menerima kekalahan.

Apakah, cerita Pak Kaduk ini, akan dirasai oleh pemimpin Umno pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti? Mengapa?

Saya percaya, nasib Pak Kaduk ini, akan menyerkup Umno semasa PRU15 nanti.

Saya berkata demikian, berdasarkan dua ucapan penting pemimpin tertinggi Umno semasa Perhimpunan Agung Umno 27-28 Mac 2021 lepas.

Iaitu ucapan perasmian sayap-sayap Umno dan timbalan presiden. Termasuk juga ucapan dasar presiden Umno pada 28 Mac yang lalu.

Kedua-dua pemimpin tersebut, menyatakan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo.

Maksudnya, semasa PRU15 nanti Umno akan bertanding bersendirian dengan menggunakan lambang BN.

Mereka percaya, Umno-BN, akan dapat mengembalikan maruah parti Melayu itu.

Umno boleh memenangi kerusi lebih banyak.

Umno kembali memimpin.

Bukan dipimpin atau berkongsi memimpin negara. Umno mahu kembali menjadi “Big Brother” atau “Abang Besar”.

Begitulah tingginya nafsu dan angan-angan mereka.

Benarkah Umno akan menang jauh lebih besar daripada 55 kerusi Parlimen seperti mana keputusan PRU14?

Benarkah Umno, BN akan mendapat laba bila bersendirian?

Pernahkah dalam sejarah pilihan raya Umno menang gagah bila bersendirian?

Barangkali, kedua-dua pemimpin ini, tidak pernah menyusur sungai sejarah pilihan raya yang dilalui oleh Umno.

Begitu juga rasanya, penyokong-penyokong mereka yang bersorak surai di dewan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mereka mungkin bebal dengan sejarah parti yang mereka dokong.

Wahai ahli-ahli Umno.

Cuba berpaling kepada sejarah Umno.

Mari lihat rekod yang ada.

Umno memasuki Pilihan Raya Majlis Perbandaran George Town, pada Desimber 1951.

Umno bertanding sendirian.

Akhirnya, Umno hanya menang 1 kerusi. Parti radikal menang 6 kerusi.

Parti Buruh menang 1 kerus.i Bebas menang 1 kerusi.

Tetapi, semasa Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952, Umno sangat berjaya. Mengapa?

Kejayaan itu kerana Umno membentuk pakatan dengan MCA.

Di mana Umno + MCA memenangi 9 kerusi. Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) menang 1 kerusi. Bebas 1 kerusi.

Pilihan Raya Majlis Perbandaran Tanah Melayu pada tahun 1952, pakatan Umno, MCA memenangi 26 daripada 37 kerusi yang dipertandingkan.

Pilihan raya umum yang pertama pada 1955, Umno atas nama Perikatan, bersama MCA dan MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi.

PAS menang satu kerusi di Krian, Perak.

Begitu juga pada pilihan raya pertama selepas merdeka, tahun 1959, Perikatan menang 74 daripada 104 kerusi.

Selepas itu Perikatan terus memenangi PRU-PRU yang diadakan.

Sehingga pembentukan BN, yang menggabungkan lebih banyak parti.

Pada mulanya 9 parti politik, berkembang menjadi 13 dan seterusnya menjadi 16.

Umno-BN terus memenangi pilihan raya pada 1974 sehinggalah tumbang pada 2018.

Sejarah kemenangan yang panjang oleh Umno itu, adalah kerana mempunyai rakan semasa menghadapi pilihan raya.

Sejarah bersendirian, adalah menempah kekalahan, seperti mana terjadi semasa Pilihan Raya Majlis Perbandaran George Town.

Apakah Umno mampu meyakinkan MCA, MIC dan PBRS untuk bertanding pada PRU15 nanti menggunakan lambang BN?

Mahukah MIC, MCA, PBRS bersama Umno semasa PRU15?

Inilah yang perlu difikirkan oleh presiden, timbalan presiden, setiausaha agung dan pengarah pilihan raya Umno.

Daripada kenyataan setiausaha agung MIC, menampakkan parti itu sudah tidak yakin kepada Umno sekiranya mahu meninggalkan Bersatu dan PAS.

Pemimpin Umno jangan lupa, MIC hampir-hampir meninggalkan BN selepas tewas PRU14.

MIC pusing balik dan mendakap BN, bila Umno memenangi siri pilihan raya kecil bermula dengan Cameron Highlands.

Begitu juga MCA.

MCA bukanlah rakan sejati, kalaupun tidak seburuk perangai Gerakan.

Jangan lupa, semasa PRK Balakong, MCA bertanding atas lambang MCA.

Apa maknanya itu? Sendiri fikirlah.

Jadi menyingkap perangai MCA, MIC itu, apa jaminan kedua-dua parti ini akan bersama Umno, semasa PRU15, sekiranya Umno mengajak BN pergi solo?

Saya penuh yakin, sekiranya Umno meninggalkan Bersatu dan PAS, maka MIC, MCA dan mungkin juga PBRS turut mufarakah daripada Umno.

Sekiranya Umno bersendirian, saya percaya nasib Umno pada PRU15 menjadi seburuk semasa bertanding dalam Majlis Perbandaran George Town 1951.

Tidaklah saya maksudkan, yang Umno hanya boleh menang 1 kerusi. Tetapi nasib Umno jauh lebih buruk kalau dibandingkan dengan keputusan pada PRU14.

Saya percaya, ramai antara kepimpinan dan pendokong Umno, memandang MCA dan MIC tidak penting.

Mereka tidak kuat. Pengaruh MCA sudah mulai pupus sejak hilang Pulau Pinang kepada Gerakan pada PRU 1969.

MCA dan MIC sejak itu menang di kawasan pengundi yang majoriti Melayu.

Biarpun kedua-dua parti selekeh ini tidak mampu memberi sumbangan yang besar kepada Umno, namun ianya masih boleh membantu.

Sekurang-sekurangnya, jentera mereka dapat digunakan untuk mempengaruhi pengundi Cina dan India.

Iya, mungkin di sesetengah kawasan jentera MCA hanya mampu mendapatkan sokongan di antara 5-10% undi Cina.

Manakala jentera MIC mampu mendapatkan 10-20% undi India.

Jangan lupa, sekiranya MCA, MIC, sudah meninggalkan BN, kepada siapa Umno mahu harapkan untuk meraih undi Cina dan India?

Biarpun presiden dan timbalan presidennya, begitu bersemangat serta yakin Umno boleh kembali hebat bila berseorangan, semasa berucap.

Tetapi baru-baru ini presiden Umno, seperti merayu kepada PAS untuk bersama.

Cuba membangkitkan nostalgia semasa penubuhan Muafakat Nasional (MN).

Dan cuba mengingatkan PAS, akan kemenangan-kemenangan Umno dalam siri PRK terakhir.

Begitu juga seruan daripada pengarah pilihan raya Umno kepada PAS.

Yang natijahnya, adalah mengajak PAS bersama Umno.

Mengapa tiba-tiba presiden dan pengarah pilihan raya Umno berubah nada suara?

Mengapa tiba-tiba, cuba menjadi lembut dan lunak, sedangkan semasa ucapan dasar, menyindir PAS di depan presidennya.

Jadi eloklah, sekiranya ahli-ahli Umno dapat mengambil keputusan, sama ada boleh mendapat laba atau sebaliknya, jika bersendirian.

Oleh kerana terdapat dua jalur pemikiran. Ada yang mengatakan lebih untung. Ada yang mengatakan lebih rugi.

Bagi menentukan keputusan mana yang digemari oleh ahli dan pendokong parti.

Maka lebih eloklah disegerakan pemilihan parti.

Kamarazaman Yacob adalah penganalisis politik dan bekas aktivis mahasiswa 1970-an.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.