- Iklan -
Rencana

CAP gesa jabatan perikanan siasat masalah ‘ikan rakyat’ di pasaran

MyCC mendakwa kekurangan ikan kembung dan peranan orang tengah menyebabkan harganya meningkat di pasaran antara RM18.00 hingga RM22.00 untuk berat 1 kg.

Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP)
1 minit bacaan
Kongsi
Ikan kembung dianggap sebagai ikan rakyat kerana menjadi antara sumber protein utama pengguna Malaysia. Gambar: CAP
Ikan kembung dianggap sebagai ikan rakyat kerana menjadi antara sumber protein utama pengguna Malaysia. Gambar: CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan Malaysia dan agensi berkaitan menyiasat dakwaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bahawa berlaku kekurangan ikan kembung dan peranan orang tengah menyebabkan harga makanan rakyat itu meningkat di pasaran antara RM18.00 hingga RM22.00 bagi berat 1 kg.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail, berikutan masalah tersebut Malaysia terpaksa mengimport ikan kembung dari negara China, Yaman dan Pakistan serta ikan sejuk beku dari negara-negara Timur Tengah termasuk Singapura bagi menampung keperluan tempatan.

Mengulas laporan akhbar The Star hari ini (7 April 2021) berjudul “Poor man’s fish overfished”, CAP merasa bimbang jika kejadian itu benar berlaku ia boleh menjejaskan sumber bekalan makanan negara sekali gus membebankan para pengguna.

Pihak berkuasa berkenaan perlu memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan siasatan serta tindakan segera perlu dilakukan di mana hasilnya hendaklah didedahkan kepada umum dengan secepat mungkin.

Di samping itu, CAP turut meminta Jabatan Perikanan mengambil tindakan ke atas nelayan-nelayan yang menangkap anak ikan kembung dan dijual kepada pengusaha projek akuakultur untuk dijadikan makanan ikan ternakan mereka.

Aktiviti penangkapan ikan baja ini telah lama berlaku dan ia mungkin menjadi salah satu penyumbang kepada kekurangan bekalan itu dan peningkatan harga di pasaran. CAP juga menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas bagi menjamin pengekalan sumber perikanan negara untuk masa depan.

Mohideen Abdul Kader adalah Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.